
Pihak dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Jabatan Perhilitan berusaha memindahkan dua gajah betina yang ditangkap.
BENTONG - Dua gajah betina berjaya ditangkap Jabatan Perhilitan dengan kerjasama penduduk setempat di sebuah hutan antara Kampung Chemomoi dan Pusat Latihan Polis Daerah Bentong, di sini, minggu lalu.
Kedua-dua gajah terbabit kini dipindahkan ke tempat yang lebih sesuai di Terengganu oleh Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Jabatan Perhilitan, dua hari lalu.
Penduduk Kampung Manchis, Lee Ah Kaw berkata, dengan penangkapan dua gajah terbabit, ia menjadikan keseluruhan 15 gajah telah berjaya ditangkap sejak ia mula mengganggu penduduk pada 2012.
“Sekarang berdasarkan tinjauan penduduk, masih terdapat kira-kira 23 gajah liar yang masih berkeliaran di kawasan hutan berhampiran kebun penduduk Kampung Telemung, Manchis, Chemomoi dan Simpang Pelangai,” katanya.
Menurutnya, jumlah gajah liar terbabit semakin bertambah berikutan terdapat gajah yang baru sahaja dilahirkan.
“Kami dapati kira-kira lima gajah yang masih kecil seperti baru sahaja dilahirkan menambahkan lagi jumlah gajah yang terdapat di kawasan ini,” katanya.
Dalam pada itu, penduduk khususnya pekebun berterima kasih atas tindakan berterusan pihak Jabatan Perhilitan menangkap gajah liar yang berkeliaran di kawasan kebun penduduk.
“Sejak adanya kerja-kerja penangkapan ini, keadaan kebun penduduk semakin terkawal dan gangguan di kawasan kebun penduduk semakin berkurangan berbanding sebelumnya,” katanya.
Sejak hampir tiga tahun lalu, penduduk khususnya pekebun kerugian hampir ratusan ribu ringgit berikutan tanaman mereka dimusnahkan kumpulan gajah liar terbabit.
Difahamkan, gajah liar tersebut terbahagi kepada beberapa kumpulan di mana sebahagiannya telah berjaya ditangkap dan dipindahkan ke Taman Negara Jerantut dan Terengganu oleh Jabatan Perhilitan.
Gangguan gajah liar terbabit juga berpunca daripada habitat asal mereka yang telah musnah akibat diteroka menjadikan hidupan terbabit terpaksa berpindah ke kawasan lain dan mengganggu tanaman penduduk.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: