Tuesday, September 1, 2015

Wartawan Didakwa Punca Pasaran Saham China Merudum




Wang Xiaolu kini dalam tahanan pihak berkuasa China.
BEIJING: Seorang wartawan sebuah majalah perniagaan terkemuka China dipersalahkan kerana menyebabkan kerugian teruk pasaran saham susulan artikel ditulisnya, Julai lalu.
Wang Xiaolu, wartawan majalah Caijing ditahan selepas menghasilkan rencana mengenai pengawal selia sekuriti yang mempertimbangkan untuk mengeluarkan dana kerajaan dari pasaran.
Pengakuan Wang memohon maaf dan mengaku menggunakan penulisannya untuk menarik perhatian pembaca itu disiarkan badan penyiaran kerajaan, CCTV.
“Saya tidak sepatutnya menyiarkan laporan yang menyebabkan kesan buruk terhadap pasaran dan negara serta pelabur saham mengalami kerugian.
“Saya benar-benar meminta maaf,” katanya.
Xinhua melaporkan, Wang didakwa mereka-reka cerita dan menyebarkan maklumat palsu yang mencetuskan panik serta kekacauan di pasaran saham, menggugat keyakinan terhadap pasaran dan mengakibatkan kerugian teruk terhadap negara serta pelabur.
Sementara itu, kementerian keselamatan awam berkata, 197 orang dihukum ‘kerana menyebarkan khabar angin di Internet’ berhubung beberapa isu termasuk pasaran dan letupan di pelabuhan Tianjin pada 12 Ogos lalu.
Menurutnya, 165 akaun media sosial turut ditutup kerana menyebarkan, antara lain khabar angin bahawa seorang lelaki membunuh diri di Beijing disebabkan pasaran saham merudum, selain 1,300 orang dikatakan terbunuh di Tianjin - jauh berbeza dengan jumlah rasmi 158 kematian dan 15 hilang.
Kumpulan hak asasi Wartawan Tanpa Sempadan berkata, tidak masuk akal untuk menyalahkan seorang wartawan atas kejatuhan pasaran saham China dan mendesak Wang segera dibebaskan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: