> Mereka bayar Wolfsburg £52 juta untuk pemain asal Belgium itu
> Pemain berusia 24 tahun itu adalah pemain terbaik Bundesliga musim lalu
> Jumlah yang dibayar itu adalah rekod perpindahan baru untuk City
> De Bruyne adalah bekas pemain Chelsea pada 2012 tetapi pindah ke Wolfsburg pada 2014
> Dia kini menandatangani kontrak enam tahun dengan City
CALON popular juara Liga Perdana Inggeris musim ini, Manchester City mengumumkan ketibaan pemain terbaik liga Jerman, Kevin De Bruyne dari Wolfsburg yang dibeli pada harga £52 juta iaitu rekod baru perpindahan buat kelab berkenaan.
Pemain berusia 24 tahun itu menandatangani kontrak selama enam tahun dengan City dengan bayaran gaji di sekitar £200,000 seminggu.
De Bruyne pernah bermain selama dua musim dengan Chelsea sebelum berpindah ke Wolfsburg pada tahun 2014. Dia terpilih sebagai pemain terbaik Liga Jerman musim lalu - sekaligus menaikkan sahamnya di pasaran Eropah.
Dan kini pemain yang berasal dari Belgium itu menyertai nama-nama terkenal lain seperti Raheem Sterling, Nicolas Otamendi dan Fabian Delph sebagai pemain baru Manchester City.
Dia memulakan kariernya dengan kelab Belgium, Genk selama empat tahun sebelum Chelsea menyambarnya pada 2012.
Dua tahun sebelum itu, dia sudah pun mencipta nama sebagai pemain regular skuad kebangsaan Belgium.
Ketika De Bruyne menyertai Chelsea pada Januari 2012, kelab itu di bawah Andre Villas-Boas. Chelsea membayar £7 juta untuk mendapatkannya.
Selepas Villas-Boas dipecat dan digantikan dengan Roberto Di Matteo, De Bruyne bergelut untuk menempatkan diri sebagai pilihan utama.
Dia dipinjamkan kepada kelab Jerman, Werder Bremen pada Ogos 2012. Di liga inilah dia menyerlah sebagai seorang pemain berbakat.
Sekembalinya dia ke London, Jose Mourinho telah mengambil alih pengurusan Chelsea.
Mourinho tidak dapat memberi jaminan kepada De Bruyne yang dia akan menjadi pilihan utama setiap minggu yang sekaligus mendorongnya untuk memohon berpindah ke kelab lain dan Mourinho tidak langsung menghalang.
Lima bulan selepas musim 2013-14 bermula dia meninggalkan Chelsea untuk kembali ke Bundesliga tapi kali ini dengan Wolfsburg.
Kelab Jerman itu membayar sebanyak £18 juta untuk mendapatkan khidmatnya.
Musim lalu, dia menjaringkan 16 gol dan muncul pemain terbaik liga.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: