Wednesday, September 23, 2015

Ciptaan melangkaui teknologi abad ke-21


Ciptaan melangkaui teknologi abad ke-21

PENCIPTA dan pemimpin masyarakat berkulit hitam abad ke-20 ini bukan sahaja dikenali kerana mereka beberapa produk dipatenkan seperti pengubahsuaian mesin jahit, lampu isyarat yang terus digunakan sehingga kini. Malah keberaniannya menjadi wira menyelamatkan sekumpulan pekerja terperangkap di dalam terowong air sedalam 15 meter di dasar Tasik Erie dengan menggunakan alat ciptaannya pernah menjadi tajuk berita utama akhbar di Cleveland pada 1916. Beliau menggunakan kepakarannya untuk menghasilkan ciptaan dan inovasi yang melangkaui teknologi zaman moden.

Kehidupan Awal

Garrett Augustus Morgan dilahirkan pada 4 Mac 1877 di Paris, Kentucky dan merupakan anak ketujuh daripada 11 adik beradik.

Bapanya, Sydney Morgan adalah bekas hamba yang dibebaskan pada 1863 manakala ibunya, Elizabeth Reed pula adalah berketurunan India-Afrika.

Beliau hanya mendapat pendidikan sekolah rendah sehingga gred enam sebelum berpindah ke Cincinnati, Ohio ketika berusia 16 tahun untuk mencari pekerjaan.

Morgan diterima menjadi pekerja rencam untuk seorang pemilik tanah yang kaya raya.

Pada 1895, beliau berpindah ke Cleveland, Ohio di mana Morgan bekerja membaiki mesin jahit untuk sebuah syarikat pembuat pakaian.

Pengalaman itu telah mencetuskan sifat ingin tahu dan minat beliau dalam bidang tersebut.

Ciptaan pertama Morgan adalah pengikat tali untuk mesin jahit.

Pada 1907, beliau akhirnya membuka perniagaan membaiki kasut dan mesin jahit selepas hampir sedekad menimba pengalaman.

Kira-kira dua  tahun kemudian, Morgan bersama isterinya, Mary Anne mengem-bangkan lagi perniagaan mereka dengan membuka kedai pakaian.

Rekaan pengikat tali mesin jahit yang dipatenkan pada 1912 itu berjaya membina reputasi beliau dan Morgan mula dikenali kerana kemahirannya membaiki peralatan di Cleveland.
 
Hasilkan pelbagai ciptaan

Susulan momentum kejayaan perniagaannya, Morgan cuba bereksperimen dengan cecair yang menjadikan jarum mesin jahit berkilat selain menghalang kerosakan fabrik ketika proses jahitan.

Pada 1905, beliau secara tidak sengaja membuat penemuan bahawa cecair tersebut juga boleh meluruskan rambut.

Morgan akhirnya menjadikan cecair itu dalam bentuk krim dan melancarkan G A Morgan Hair Refininf Company untuk memasarkan produk tersebut.

Beliau turut mencipta pewarna hitam untuk rambut dan sikat melengkung untuk meluruskan rambut pada 1910.

Perniagaan itu membawa pulangan yang lumayan dan membolehkan Morgan mengembangkan lagi perniagaan beliau.

Pada 1914, beliau mempatenkan alat pernafasan yang membolehkan pemakai bernafas dengan lebih selamat dalam situasi asap tebal dan kehadiran bahan pencemar lain.

Ia akhirnya menjadi prototaip dan pelopor untuk topeng gas yang digunakan untuk memberi perlindungan kepada tentera dari gas toksik ketika Perang Dunia Pertama.

Ciptaan itu melayakkan beliau untuk menerima hadiah tempat pertama di Second International Exposition of Safety and Sanitation in New York City.

Kesesakan lalu lintas selepas kereta buatan pertama Amerika dihasilkan telah mencetuskan idea kepada Morgan untuk mencipta alat yang boleh menyelesaikan masalah itu.

Sekitar 1913, beberapa versi peranti isyarat lalu lintas telah dicipta, namun ia masih tidak dapat mengurangkan insiden kemalangan jalan raya.

Pada 1922, Morgan akhirnya mempatenkan peranti kawalan trafik selepas menyaksikan kemalangan serius di sebuah persimpangan.

Kira-kira setahun kemudian, Pejabat Paten Amerika Syarikat memberikan nombor paten 1,475,074 untuk rekaan lampu isyarat hasil ciptaan beliau.

Beliau tetap meneruskan eksperimen untuk menghasilkan beberapa lagi ciptaan walaupun separa buta dan semakin uzur.

Menjelang 1943, Morgan menjadi buta selepas menderita glaukoma selama beberapa tahun.

Beliau meninggal dunia pada 27 Julai 1963 pada usia 86 tahun dan jasadnya disemadikan di Lake View Cemetery di Cleveland.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: