|
PEMBABITAN awal Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail dalam industri muzik tanah air bermula sekitar tahun 1990-an. Ketika itu dia vokalis kumpulan remaja popular, New Boyz yang cukup digilai ramai.
Lagu-lagu tangkap leleh dan ‘jiwang karat’ daripada kumpulan itu, ada yang masih menjadi siulan sehingga ke hari ini. Apa yang pasti, lagu-lagu dendangan New Boyz seperti Sejarah Mungkin Berulang akan kekal dalam ingatan peminat yang membesar pada zaman tersebut.
Mengambil keputusan untuk memacu prestasi kerjayanya secara solo, Tomok yang juga merupakan juara program One In A Million (OIAM) pada tahun 2009, kini melebarkan sayapnya untuk terbang lebih tinggi dalam perjalanan seninya dengan kehadiran album kedua.
Tomok optimis bahawa karya tersebut mampu meraih sambutan yang baik daripada peminat seluruh negara. Turut diakui Tomok, album itu menampilkan sisi matangnya sebagai seorang penyanyi berdasarkan pemilihan lagu yang dimuatkan di dalam album berkenaan.
Diberi judul Tomok: Aku Datang, album yang mengandungi tujuh buah lagu kesemuanya itu selamat dilancarkan dalam satu majlis yang diadakan di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Antara lagu yang terkandung dalam album itu adalah Padam, Aku Datang, Penipu, Maafkan Aku, Cintalah Aku Pula, sebuah lagu nyanyian bersama pelakon Yana Samsudin, Cinta Jangan Pergi dan sebuah lagu daripada kumpulan New Boyz yang diberi nafas baharu iaitu Hiasan Di Laman Rindu.
Jadi penerbit
Memulakan bicara, lelaki berusia 30 tahun itu cukup berbesar hati apabila diberi kepercayaan oleh syarikat rakamannya iaitu Monkey Bone untuk berdiri sebagai penerbit kepada album sendiri. Walaupun tugas itu memberikan Tomok satu cabaran baharu dalam mewarnai perjalanan kariernya, namun kepercayaan yang diberikan kepadanya tidak mahu dipersia-siakan begitu sahaja.
“Saya akui, menggalas tugas selaku penyanyi dan penerbit untuk album sendiri bukanlah sesuatu yang mudah. Saya menyifatkan ia sebagai satu tanggungjawab yang besar buat saya. Namun, setelah album ini dilancarkan, saya cukup berpuas hati dengan hasilnya.
“Walaupun album ini sebenarnya mengambil masa yang agak lama iaitu empat tahun untuk dihasilkan, tempoh itu sebenarnya ada kebaikan. Tempoh yang panjang itu memberi ruang kepada saya untuk lebih bersedia untuk menghasilkan kualiti terbaik,” ujar penyanyi yang berasal dari Kuala Lumpur optimis.
Sebagai salah satu langkah dalam mempromosikan album terbaharunya, penyanyi yang pernah menjuarai program realiti Versus itu juga dijadualkan akan mengadakan beberapa jelajah ke beberapa buah negeri di seluruh negara bermula pada 9 November depan.
Jelajah tersebut akan mula menemui peminat di Hard Rock Cafe, Melaka pada 9 November, diikuti dengan Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur (16 November), The Bed, Kota Kinabalu, Sabah (18 November), Beyond 2000, Wilayah Persekutuan Labuan dan Paragon Superclub, Kuching, Sarawak pada 24 November depan.
Kurangkan aktiviti publisiti
Mengakui wajahnya jarang muncul dalam mana-mana media cetak mahupun elektronik, Tomok yang pernah membintangi filem Istanbul Aku Datang dengan rendah diri mendedahkan perkara sebenar. Menafikan sering mengelak daripada ditemu bual atau menjalani sesi fotografi, penyanyi yang juga pelakon itu memberitahu, dia lebih selesa untuk menghadiri fotografi sekiranya ada produk yang mahu dihebahkan.
“Sejujurnya, saya bukan mahu mengelak, sebaliknya, saya lebih selesa membuat publisiti sekiranya ada produk atau album baharu untuk dikongsikan dengan peminat. Jika sekadar dipanggil untuk berkongsi cerita mengenai hidup, gosip atau sebagainya, kalau boleh saya tidak mahu.
“Kisah hidup dan gosip itu sudah lama saya lalui. Saya tidak mahu lagi menjaja cerita publisiti yang sebegitu. Saya mahu sesuatu yang lebih bermakna jika muncul membuat publisiti.
“Lagi pun, pada usia yang sudah menjangkau 30 tahun begini, biarlah saya berehat daripada melakukan banyak aktiviti mencari publisiti. Sebelum ini pun, sejak bersama kumpulan New Boyz lagi, hari-hari saya dipenuhi dengan aktiviti fotografi. Saya sudah lama melalui semua itu.
“Sekarang pun, semakin ramai artis baharu muncul memeriahkan dunia seni, jadi apa salahnya jika saya beri peluang kepada muka baharu pula untuk menonjolkan karya mereka kepada media,” ujarnya jujur.
Timang anak kedua
Menyelami kehidupan berumah tangga, Tomok sedang meniti hari bahagia apabila isteri tercinta, Siti Rahayu Abas, 35, kini hamil anak kedua. Kandungan Rahayu kini berusia lima bulan dan mereka dijangka akan menyambut kehadiran anak kedua pada bulan Februari tahun hadapan.
Bersyukur atas kurniaan rezeki itu, Tomok semakin bersedia untuk melengkapkan keluarga kecilnya dengan kehadiran orang baharu. Apatah lagi, bayi dalam perut isterinya itu juga bakal menjadi kawan kepada putera sulungnya, Arrianshah Akid yang sudah menjangkau usia tiga tahun.
“Walaupun kandungan isteri sudah masuk bulan kelima, jantinanya belum diketahui kerana tidak berapa lama lagi kami akan ke hospital untuk membuat pemeriksaan lanjut. Saya tidak kisah tentang jantina bayi kedua saya itu sama ada lelaki atau perempuan.
“Sebenarnya tidak banyak persiapan besar kami lakukan untuk menyambut kelahiran bayi ini nanti. Apa yang penting, saya juga tidak sabar mahu menunggu kehadiran orang baharu dalam keluarga.
“Sekarang saya agak sibuk, namun, keselamatan isteri yang semakin sarat tetap menjadi keutamaan. Jika saya terpaksa keluar bekerja untuk tempoh yang lama, saya akan hantar isteri dan Arrianshah ke rumah ibu bapa atau mentua saya. Barulah hati rasa lega sekiranya ada keluarga yang dapat berada di sisi mereka,” ujarnya ceria mengakhiri perbualan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: