Monday, November 3, 2014

Setelah empat tahun berehat


NANA berasa teruja untuk kembali beraksi sebagai pengacara menerusi program pencarian bakat berkumpulan remaja, Pop Krew.


LAMA benar rasanya kelibat pengacara dan bekas penyampai radio itu tidak kelihatan dalam kaca televisyen.
Sejak mendirikan rumah tangga bersama Mohamed Raqeem Brian Abdullah, 40, dan melahirkan dua orang anak, tumpuan Nurul Hana Che Mahazan atau lebih popular dikenali sebagai Nana Mahazan, 31, terhadap dunia hiburan dilihat tidak selincah seperti ketika zaman bujangnya dahulu.
Bekas peserta program realiti Akademi Fantasia (AF) musim pertama itu lebih gemar menghabiskan masa di rumah sambil menguruskan dua orang buah hatinya, Althea Raqeem Brian, 3, dan Aaqib Raqeem Brian, 11 bulan.
Namun, siapa sangka, rasa rindu terhadap bidang yang telah lama ditinggalkannya itu mengatasi segala-galanya.
Memutuskan untuk menyambung karier sebagai pengacara, pada 14 November depan, anak jati kelahiran Muar, Johor itu bakal kembali beraksi di hadapan kamera bagi mengendalikan pertandingan realiti terbaharu TV9 berjudul Pop Krew.
Program pencarian bakat ber­kumpulan remaja yang bakal bersiaran pada pukul 8.30 malam itu turut menampilkan penyampai ra­dio Hot FM, Deen sebagai rakan setugas.
Terdapat dua orang jurulatih yang telah dilantik untuk membimbing para peserta program tersebut iaitu Stacy dan Tomok.
Tawaran
“Setelah empat tahun berehat daripada dunia pengacaraan, rasa rindu untuk kembali mengacara itu tiba-tiba datang.
“Jadi, apabila ditawarkan untuk mengendalikan Pop Krew, saya berasa sungguh teruja dan terus menerima tawaran itu.
“Lagi pun, anak-anak sudah besar dan program ini juga tidak memerlukan saya berjauhan dengan mereka dalam tempoh yang terlalu lama,” ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran program tersebut di The Terrace, The Curve, Mutiara Damansara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Tambah Nana, dia tidak perlu gusar tentang keadaan anak-anak kerana ibunya akan datang ke Kuala Lumpur setiap minggu untuk menggantikan tempatnya menjaga Althea dan Aaqib sepanjang ketiadaannya.
“Saya tidak mempunyai orang gaji apatah lagi pengasuh. Saya tidak mudah percaya kepada orang asing.
“Bagi mengelakkan berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini, ibu saya menawarkan diri untuk menjaga kedua-dua anak saya,” ujarnya lagi.
Instagram
Kehidupan bekas penyampai radio Era FM itu sering menjadi perhatian peminatnya menerusi platform media sosial.
Selain menulis blog, Nana juga aktif memuat naik gambar-gambar rutin harian ke akaun Instagram miliknya.
Walaupun gemar berkongsi cerita dengan peminat, akui Nana, dia tidak pernah terlepas daripada menerima komen-komen negatif daripada pengikut di laman sosial.
“Kadang-kadang, saya berasa sangat pelik kenapa pengguna media sosial di Malaysia berperangai sungguh kejam.
“Jika bukan saya, anak-anak saya akan jadi mangsa. Sehinggakan ada yang pernah menyamakan rupa anak-anak saya seperti tupai.
“Memang perasaan marah itu akan muncul, tetapi, saya mengambil jalan mudah dengan tidak menghiraukan komen itu dan menyekat akses mereka ke akaun Instagram saya,” katanya dengan nada kesal.
Namun, bagi Nana, dia tetap berasa bersyukur kerana masih ada peminat yang memahami dan sentiasa menyokongnya dari belakang.
“Sebab itu, saya sentiasa menjadi diri sendiri. Saya tahu masih ada yang menyokong dan positif dengan apa yang saya kongsikan dengan mereka,” ujarnya mengakhiri perbualan.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: