suasana hujung minggu di Putrajaya cukup meriah baru-baru ini apabila Perbadanan Putrajaya (PPj) menganjurkan Sirkit Pancing Putrajaya siri 3/2014.
Pertandingan yang diadakan di Pesisiran Tasik Putrajaya berhampiran dengan Monumen Alaf Baru di Presint 2 itu berjaya menarik lebih 3,000 peserta.
Hampir 5,000 pengunjung hadir ke program yang turut menganjurkan pelbagai aktiviti antaranya pertandingan memasak, mewarna, memancing udang bagi kanak-kanak dan reka cipta bot.
Penyertaan pertandingan memancing yang terbuka kepada orang ramai, khususnya penduduk pusat pentadbiran kerajaan itu bermula pada pukul 8 pagi hingga 12.30 tengah hari.
Setiap peserta dikenakan bayaran sebanyak RM10 bagi setiap joran dan pemenang ditentukan berdasarkan sistem mata serta berat ikan yang berjaya dipancing.
Johan pertandingan memancing itu, Bahanuddin Mohd. Salleh, 63, berkata, dia tidak menyangka penyertaan kali ini membuahkan hasil apabila muncul juara dengan membawa pulang wang tunai RM7,000 berserta hamper.
Dengan hanya bermodalkan RM20 dan menggunakan umpan dedak, Bahanuddin berjaya mengalahkan 3,000 peserta lain selepas 15 minit berusaha menjinakkan ikan temoleh seberat 7.6 kilogram.
Bahanuddin yang merupakan seorang pesara kerajaan bersyukur dengan kemenangan tersebut setelah beberapa kali menyertai pertandingan memancing di pusat pentadbiran kerajaan itu, namun gagal meraih tempat.
Bapa kepada tiga orang anak itu merancang untuk menggunakan wang kemenangan tersebut bagi membeli peralatan memancing selain kegunaan keluarga.
Tempat kedua dan ketiga dimenangi Hamzah Hamid, 40, dan Roslan Mohamed, 26, masing-masing membawa pulang RM5,000 dan RM3,000.
Memasak
Dalam pada itu, pertandingan memasak pula dimenangi oleh seorang peniaga makanan, Juamrizam Mohamad, 32, yang berjaya menewaskan 25 peserta lain termasuk 14 orang wanita.
Dia yang mengetengahkan menu berkonsepkan Asia Barat, dikenali sebagai udang skewer siamee sauce berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM500 berserta hamper dan dua tiket menaiki cruise.
“Udang tersebut saya perap bersama limau, serai, bawang sebelum digoreng dan dihidangkan dengan sos istimewa. Tidak sangka hidangan itu berjaya memikat hati juri,” katanya.
Setiap peserta pertandingan memasak dibekalkan dengan kotak rahsia yang mengandungi pelbagai jenis bahan masakan dan bahan utama adalah udang serta labu.
Kesemua peserta diberi masa selama satu jam setengah untuk menyiapkan dua hidangan iaitu menu utama dan pencuci mulut.
Pengarah Jabatan Perancangan Bandar PPj, Datuk Omairi Hashim berkata, sirkit pancing yang dimulakan pada tahun 2012 itu mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.
Katanya, program tahunan ini akan diteruskan kerana selain dapat memperkenalkan keistimewaan pusat rekreasi di Putrajaya, ia juga mampu mengeratkan hubungan antara rakan dan keluarga.
“Pengisian yang terdapat pada sirkit ini bertujuan untuk mengisi masa lapang pengunjung daripada pelbagai peringkat umur,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: