Thursday, November 20, 2014

Rosak kerana cinta terhadap wang


Ibu bapa sanggup memarahi anak-anak apabila mereka menghabiskan wang belanja sekolah dalam sekelip mata. – Gambar hiasan


SEJAK kebelakangan ini, kita digemparkan dengan gejala rasuah dan salah guna kuasa yang berlaku dalam kes penerokaan tanah secara haram di Cameron Highlands, Pahang.
Dua bulan sebelum itu, kita dikejutkan dengan soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang dibocorkan oleh individu tidak bertanggungjawab.
Kes-kes salah laku seperti ini sebenarnya akan berterusan dan menjadi barah dalam sektor perkhidmatan awam.
Dalam istilah psikologi, gejala-gejala buruk dan menghinakan ini dinamakan sebagai counter productive behavior atau lencongan.
Dalam kata mudah, ia melibatkan gejala songsang yang tidak sepatutnya berlaku, apatah lagi apabila ia dilakukan oleh mereka yang diberikan kepercayaan untuk menjaga amanah rakyat dan negara.
Isu mengapa seseorang boleh tergamak melakukan gejala menyimpang dalam pekerjaan ini sudah banyak dibincangkan. Secara umumnya, rata-rata pengkaji menyifatkan perbuatan seumpama ini sebenarnya lebih berkait dengan kecenderungan untuk melakukannya secara ‘sukarela’.
Ini bermakna, sekalipun individu tadi melakukan sesuatu yang boleh menguntungkan diri sendiri, pada masa yang sama mereka juga tahu bahawa apa yang dilakukan itu adalah satu perbuatan salah.
Kajian-kajian cuba memberikan pelbagai jawapan mengapa orang sanggup melakukan gejala songsang di tempat kerja. Antaranya ialah sebagai satu bentuk sabotaj terhadap organisasi apabila mereka merasakan berlaku ketidakadilan terhadap mereka.
Jadi, salah satu cara untuk membolehkan mereka merasa tenteram ialah dengan melakukan sesuatu yang dianggap boleh merosakkan imej atau reputasi organisasi berkenaan.
Bagaimanapun, ada satu penemuan lain yang sangat menarik dan berkemungkinan besar ia relevan dalam banyak situasi yang melibatkan salah laku dan gejala rasuah di Malaysia.
Boleh dikatakan bahawa sesetengah individu ini sememangnya memiliki sikap ‘kecintaan terhadap wang’ atau dalam istilah bahasa Inggeris, the love of money.
Motivasi
Sifat ini tidak semestinya negatif dan kadang-kadang ia adalah sesuatu yang normal. Jadi, sebab itulah ada orang sanggup bekerja lebih masa untuk mendapatkan wang yang lebih banyak dan ada pula yang terangsang motivasi mereka sekiranya dijanjikan dengan bonus berbentuk wang dan bukannya dalam bentuk yang lain.
Ia mula menjadi satu masalah apabila kecintaan terhadap wang ini tidak dapat dikawal. Ada orang yang sanggup berbuat apa sahaja asalkan mereka mendapat wang.
Dalam erti kata lain, wang dianggap mempunyai makna yang sangat besar dalam kehidupan seseorang.
Ada orang yang sanggup membunuh sesama sendiri semata-mata kerana wang tetapi mereka mungkin boleh bersabar sekiranya ia melibatkan isu lain.
Terdapat juga ibu bapa yang tidak dapat mengawal kemarahan terhadap anak-anak sekiranya diberitahu bahawa mereka telah menghilangkan wang belanja sekolah atau berbelanja sewenang-wenangnya.
Ironisnya, ibu bapa tadi mungkin tidak berasa gelisah pula sekiranya anak tadi tidak mendapat markah yang baik dalam peperiksaan.
Kajian-kajian yang dilakukan di Barat setakat ini menunjukkan ada kecenderungan untuk mereka yang mempunyai sikap kecintaan terhadap wang dengan beberapa isu salah laku
di tempat kerja.
Berdasarkan kepada tanggapan bahawa sikap itulah yang membentuk tingkah laku, ahli psikologi percaya bahawa sekiranya sikap kecintaan terhadap wang ini tinggi, maka secara tidak langsung ia mendorong seseorang itu untuk melakukan apa sahaja bagi mendapatkan ganjaran.
Dalam kebanyakan kes yang berlaku di Malaysia misalnya, ada kemungkinan mereka yang terbabit dengan gejala salah laku dan rasuah ini mempunyai kaitan dengan sikap ini.
Mereka merasakan wang adalah segala-galanya. Ini menyebabkan apabila mempunyai kesempatan, mereka akan terangsang untuk menjadikan kesempatan itu dalam habuan wang.
Keuntungan
Dalam kes UPSR misalnya, secara logiknya ia hanya ujian untuk menilai prestasi pelajar sekolah rendah sebelum ditempatkan ke sekolah menengah. Bagaimanapun, ada individu yang sanggup bertindak membocorkan kertas ujian itu untuk keuntungan yang lain.
Sekiranya sekadar untuk keuntungan diri sendiri, soalan tadi mungkin akan diberikan kepada anak-anak sendiri atau kepada ahli keluarga yang terdekat.
Namun, apabila melihat kepada kebanyakan soalan peperiksaan yang bocor dan tersebar itu, pada akhirnya ia mungkin dijadikan sebagai satu peluang untuk mencipta wang.
Mungkin sudah tiba masanya pihak yang terbabit melakukan saringan ke atas kakitangan dengan melakukan ujian kecintaan terhadap wang ini.
Mereka yang terlibat dengan agensi-agensi tertentu, khususnya penguat kuasa tidak boleh meletakkan pegawai yang mempunyai kecenderungan tinggi terhadap wang. Ia mungkin memberikan natijah yang lebih buruk.
Wang mungkin penting dalam hidup manusia. Bagaimanapun, kerosakan yang dicetuskan oleh kecintaan melampau terhadap wang juga patut dibimbangkan bersama.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: