Wednesday, November 19, 2014

Seni perantara bantu gelandangan


AKTIVITI bermain belon gergasi menjadi tumpuan pengunjung dalam acara Art For Homeless.


TAMPIL dengan tema Art For Homeless yang bermaksud seni untuk gelandangan, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Majlis, Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Puncak Alam, Selangor menganjurkan acara tersebut di Laman Seni 7, Seksyen 7, Shah Alam pada 1 November lalu.
Menggelar kumpulan mereka sebagai KOLONI INC, acara tersebut merupakan projek akhir dalam semester lima. Kumpulan yang terdiri daripada 26 orang pelajar itu menggembleng tenaga sejak semester dua untuk merealisasikan usaha dan komitmen mereka.
Pelbagai acara seni dihimpunkan sepanjang acara yang berlangsung selama sehari itu. Terkenal sebagai sebuah lokasi tumpuan ramai, Laman Seni 7 berjaya menarik minat pelajar UiTM dan golongan belia untuk berkunjung ke Art For Homeless.
Antara acara yang dijalankan ialah bazar jualan, pasar pakaian percuma, lukisan grafiti, mural, pameran lukisan penggiat seni tempatan, bengkel teknik pakaian ikat celup dan lukisan contengan.
Bertepatan dengan tema acara tersebut, kesemua hasil karya yang dilakukan dan dipamerkan oleh penggiat seni tempatan itu dihasilkan dengan konsep seni jalanan.
Pengurus Projek Art For Homeless, Nurul Saflinda Abd. Razak, 24, memberitahu, acara tersebut bertujuan mewujudkan kesedaran untuk membangunkan nilai-nilai seni jalanan ke tahap yang lebih tinggi.
Jelasnya, selain daripada penyertaan penggiat seni visual dan lukisan tempatan, KOLONI INC juga memberi peluang kepada pelajar-pelajar UiTM untuk mempamerkan karya mereka.
“Sepanjang acara berlangsung, pengunjung dapat melihat karya-karya seni di gerai pameran Artomovement, my_genggua dan Padang Produksixv yang sememangnya terkenal dengan aktiviti kesenian mereka. Selain itu, penglibatan gerai Dapur Jalanan Kuala Lumpur juga menepati konsep dan tema kami iaitu untuk membantu golongan gelandangan.
“Pelajar Fakulti Seni dan Reka Bentuk UiTM turut sama mempamerkan karya yang bertajuk seni untuk gelandangan. Seperti yang dapat dilihat, pelajar jurusan fotografi menghasilkan gambar-gambar menerusi lensa kamera mengikut tema yang telah dipilih,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

PAMERAN seni foto yang dihasilkan dengan menggunakan telefon pintar daripada kumpulan my_genggua menarik perhatian pengunjung.


Industri pekerjaan
Tambahnya, penganjuran acara itu merupakan gabungan teori dan praktikal yang dipelajari oleh pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Majlis sebagai persediaan sebelum melangkah masuk ke dalam industri pekerjaan tidak lama lagi.
Pelajar jurusan itu juga mengadaptasikan ilmu pembelajaran sepanjang lima semester seperti pemasaran dalam majlis, perhubungan awam dan risiko dalam mengendalikan majlis untuk merancang serta mengendalikan projek tersebut.
Menerusi program Art For Homeless, KOLONI INC berjaya mengutip dana sebanyak RM5,000 hasil sumbangan orang perseorangan, syarikat korporat dan sumbangan pengunjung ke acara tersebut. Dana tersebut akan digunakan sepenuhnya untuk membeli makanan dan diserahkan kepada golongan gelandangan di sekitar ibu negara pada 16 November lalu.
Pensyarah jurusan Pengurusan Majlis, Fakulti Perniagaan, UiTM Puncak Alam, Wan Soraya Wan Abdul Ghani, 28, memberitahu, Art For Homeless merupakan sebuah acara amal yang dianjurkan mengikut konsep dan minat golongan belia masa kini.
Wan Soraya yang juga penasihat KOLONI INC sepanjang mengendalikan projek akhir itu berkata, pelajar bebas menganjurkan acara mengikut pilihan dan idea mereka sendiri asalkan mendapat persetujuan daripada setiap ahli.
“Idea KOLONI INC menerusi Art For Homeless mempunyai hala tuju dan identiti mereka. Fokus utama acara ini juga adalah untuk mengumpul dana bagi golongan gelandangan. Kumpulan ini membuktikan bahawa mereka mampu menganjurkan acara bermanfaat, sekali gus menyumbang kepada masyarakat.
“Berdasarkan pemerhatian saya sepanjang semester ini, KOLONI INC bijak mengaplikasikan subjek yang dipelajari sebagai seorang pelajar pengurusan majlis. Mereka juga menjalankan prosedur yang tepat terutama dalam aspek permohonan lesen untuk mengadakan acara dan penajaan,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: