Wednesday, November 19, 2014

Buku uji ilmu al-Quran


LUQMAN menggalas jawatan sebagai pengarang majalah Solusi sejak dua tahun lalu.


MENDEKATKAN diri dengan al-Quran melalui kaedah permainan agak janggal dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini.
Ini kerana, sejak kecil kita dilarang sama sekali untuk bermain-main dengan kitab suci tersebut.
Namun, itulah kelainan yang cuba dilakukan oleh Ustaz Muhammad Luqman Makhtar dalam buku pertamanya bersama syarikat penerbitan Telaga Biru.
Buku berjudul X-plorasi Surah-Surah al-Quran yang diterbitkan pada tahun lalu itu menyediakan beberapa permainan bagi mendekatkan diri para pembaca dengan al-Quran.
“Idea menulis buku ini bertitik tolak daripada lambakan buku permainan menguji minda yang dikeluarkan oleh penulis beragama lain.
“Jadi, tidak salah sekiranya saya cuba membawa sesuatu yang baharu ke negara ini,” katanya ketika di temu bual Kosmo! baru-baru ini.
Katanya, ia bukan sahaja menyeronokkan tetapi pembaca juga mendapat mengetahui dengan lebih mendalam mengenai al-Quran.
Antara permainan yang terdapat dalam buku setebal 253 muka surat itu ialah teka silang kata, cari kata, rungkai perkataan misteri, matematik dan lain-lain.
“Buku ini mengandungi 111 cabaran yang harus diselesaikan oleh pembaca.
“Melalui pendekatan ini, kaedah pembelajaran al-Quran tidak lagi sukar dan membosankan,” katanya yang juga merupakan pengarang majalah Solusi.
Konvensional
Luqman berkata, buku berharga RM10 senaskhah itu sesuai untuk semua peringkat umur dan tidak terhad kepada golongan kanak-kanak atau remaja sahaja.
Tambahnya lagi, cara masyarakat mendapat maklumat sudah berubah kerana mereka tidak lagi menggunakan kaedah konvensional seperti membaca.
“Kita boleh lihat kejayaan aplikasi permainan seperti teka silang kata, puzzle dan lain-lain.
“Permainan-permainan ini bukan sahaja dimainkan oleh golongan kanak-kanak tetapi golongan dewasa juga tidak ketinggalan untuk bermain,” katanya.
Menurut anak kelahiran Bachok, Kelantan itu, sejak diterbitkan pada awal tahun lalu, buku tersebut mendapat respons yang baik daripada pembaca dan pengedar di negara ini.
Situasi itu menyebabkan Luqman bersemangat untuk menerbitkan siri kedua buku tersebut.
“Buku ini sudah masuk cetakan kedua. Maklum balas yang diterima sangat bagus,” katanya sambil memaklumkan bahawa siri kedua buku tersebut akan menemui pembaca pada akhir tahun ini.

LUQMAN mengambil masa selama enam bulan untuk menyiapkan buku ini.


Sementara itu, mengulas mengenai cabaran menulis buku penulisan berbanding permainan, Luqman memberitahu bahawa kedua-duanya berbeza sama sekali.
Ujarnya, mencipta sesuatu permainan bukan tugas mudah seperti yang disangkakan.
Bagi menyiapkan sesuatu permainan, ia memerlukan kemahiran tersendiri dan waktu yang panjang.
“Mencipta permainan menguji minda nampak macam senang.
“Namun, sebenarnya ia lebih sukar daripada menulis buku biasa. Kalau tidak percaya cubalah dahulu, baru anda tahu bagaimana susahnya,” tambah Lokman.
Mengimbau penglibatannya dalam bidang penulisan, bapa kepada tiga cahaya mata itu memaklumkan bahawa ia bermula sejak dia di bangku sekolah menengah lagi.
Namun, dia gemar menulis dalam bentuk cerpen kerana ia lebih mudah dan tidak memerlukan masa yang lama untuk disiapkan.
“Minat menulis ini sudah lama. Saya selalu masuk pertandingan menulis cerpen sejak dia di bangku sekolah lagi.
“Walaupun tidak pernah memenangi hadiah utama, ia sudah cukup untuk memberi kepuasan kepada saya,” ujar Luqman.
Selepas menamatkan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa pada tahun 2007, Luqman memilih untuk menjawat jawatan sebagai pensyarah di sebuah kolej swasta di ibu negara.
Namun, disebabkan minat mendalam dalam bidang penulisan, beliau memilih untuk menerima tawaran sebagai Pengarang majalah al-Ustaz di Telaga Biru.
“Ketika bergelar pensyarah, saya lebih banyak terlibat dengan aktiviti-aktiviti di kolej seperti memberi motivasi dan kaunseling kepada pelajar.
“Saya tidak mempunyai masa secukupnya untuk menulis dan berdakwah. Jadi, saya menyahut cabaran untuk menjadi Pengarang di sini,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: