Thursday, November 13, 2014

Penangan lagu Xiao Pingguo



POPULARITI lagu Xiao Pingguo berjaya melonjakkan imej tarian Dama.


LAGU Little Apple atau Xiao Pingguo mencetuskan fenomena baharu di China. Dari taman sekitar Beijing hingga ke bangunan pencakar langit di Shanghai, kilang-kilang sekitar Guangzhou hingga ke bilik karaoke di Macau, semuanya mendendangkan lagu tersebut.
Lagu tersebut turut berjaya menawan hati sebahagian besar anggota tentera dan polis di negara yang terkenal dengan Tembok Besar itu.
Dua anak muda, Xiao Yang dan Wang Taili yang tidak mempunyai tali persaudaraan bertekad untuk menubuhkan kumpulan Chopsticks Brother bagi melariskan lagu tersebut.
Lagu Xiao Pingguo pada asalnya dicipta untuk mempromosikan filem terbaharu mereka yang dikeluarkan pada Julai lalu. Bagaimanapun, lagu tersebut berjaya menarik hati para pendengar.
“Lagu ini mudah untuk diikuti kerana liriknya berulang-ulang. Wanita-wanita tua di taman awam juga mampu belajar lagu ini dengan mudah,” ujar salah seorang pendengar dari daerah Sichuan, Zeng Qiumei.
Video muzik tersebut ditonton lebih 50 juta orang menerusi platform video di China seperti Sohu, iQiyi dan Youku.
Klip video berdurasi enam minit itu bermula dengan operasi pembedahan plastik tidak menjadi sebelum Yang dan Taili nekad untuk berbogel di Taman Eden.
Selepas itu mereka muncul dengan beberapa jujukan termasuk berpakaian menyerupai ikan duyung di tepi pantai dan berlakon sebagai anak kampung.
Sebahagian besar lirik dalam lagu tersebut tidak masuk akal seperti korus ‘Kau epal kecil saya, anda epal kecil saya’.
Namun, lagu tersebut sering diputarkan sama ada di pusat-pusat beli-belah, kelab malam, gimnasium mahupun sebagai nada dering telefon bimbit.
Populariti lagu tersebut turut dibantu dengan kelonggaran terhadap pemilikan harta intelek di China.
Tambah menarik, lagu tersebut turut digunakan oleh pihak tentera di bandar Xian sewaktu merekrut anggota manakala polis di Shandong mengubah lirik lagu itu untuk pengiklanan kes penipuan perbankan melalui telefon bimbit.
“Kami mengubah perkataan dalam lagu ini bagi memberi kesedaran kepada masyarakat,” ujar seorang pegawai polis dalam sebuah program yang disiarkan di saluran CCTV.
Klip video yang menunjukkan anggota tentera menari dengan lagu Xiao Pingguo bersama seorang kanak-kanak yang terselamat dalam kejadian gempa bumi di selatan negara itu turut menjadi sensasi dalam internet.

PIHAK tentera di bandar Xian menggunakan lagu Xiao Pingguo ketika merekrut anggota.


Parodi
Selain itu, terdapat pelbagai video amatur lain terhasil daripada lagu berkenaan, termasuk melibatkan pramugari, kumpulan sorak, anggota bomba dan pelajar.
Sebuah parodi menujukkan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un; Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama; Presiden Rusia, Vladimir Putin; Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe dan Ketua Setiausaha Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Ban Ki-moon turut dihasilkan.
Kejayaan lagu tersebut juga melonjakkan imej Dama iaitu tarian yang melibatkan wanita-wanita tua pada setiap pagi di dataran sekitar China.
Menurut seorang pesara, Zheng Xiaoming, 76, fenomena tarian Xiao Pingguo membuatkan orang ramai bersatu. Namun, Xiaoming lebih gemar memilih untuk menjadi penonton.
“Di taman, meletakkan tangan di bahu atau pinggul pasangan adalah sesuatu yang memalukan. Namun, dengan tarian Xiao Pingguo, semua itu tiada masalah,” ujarnya.
Walaupun terdapat harapan di seluruh China agar Xiao Pingguo menjadi fenomena global seperti Gangnam Style nyanyian PSY yang popular pada tahun 2012, lagu penyanyi Korea Selatan itu telah mendapat tontonan lebih daripada 2.1 juta kali di laman perkongsian video, YouTube.
Bagaimanapun, ia berbeza sama sekali dengan klip video Xiao Pingguo apabila hanya mencatatkan tiga juta tontonan di YouTube. Ini kerana, laman perkongsian video tersebut disekat kerajaan China.
Menurut pakar, Xiao Pingguo tidak mempunyai unsur Barat untuk mencapai kejayaan seperti PSY.
Bagi pengkritik muzik China, Hao Fang, muzik pop China masih mempunyai sempadan berbanding K-pop yang telah menerima pelbagai pengaruh sehingga membolehkan ia menawan Asia Tenggara, Jepun serta benua luar.
“China kurang memberi tumpuan kepada pembangunan industri kreatif dan budaya seperti Korea Selatan,” tambahnya.
“Lagu ini ketinggalan zaman kerana ia menggunakan irama disko yang popular pada tahun 1980-an dan 1990-an.
“Situasi ini menghalang lagu tersebut untuk bersaing dengan muzik pop terkini di seluruh dunia,” kata Fang.
Xiao Pingguo juga memberi petunjuk bahawa hati dan minda rakyat di negara China boleh ditawan dengan menggunakan cara lama.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: