
HOTEL HIG di pekan Kuah, Langkawi ini mempunyai 79 bilik.
PAIP khusus untuk berwuduk yang disediakan di dalam kamar mandi merupakan antara keistimewaan Hotel HIG di pekan Kuah, Langkawi, Kedah. Sebagai hotel berkonsep Islamik, setiap ceruk koridornya juga dialunkan kelunakan rakaman suara ayat-ayat suci al-Quran. Malah, kesemua 79 biliknya tersedia rapi senaskhah al-Quran dan sejadah bagi kemudahkan penginap beragama Islam.
Penginapan lapan aras yang dibuka pada Oktober tahun lalu itu dipe cahkan kepada dua pemandangan iaitu Seaview (menghadap laut) dan Hillview (menghadap bukit). Kamar standard bagi kedua-dua peman dangan dilengkapi katil berkembar atau kelamin untuk dua orang.
Bagi ruangan suite pula, pengunjung boleh memilih sama ada mahu merehatkan diri di suite Hillview, suite junior Hillview atau suite Seaview.
Pengurus Hotel HIG, Azizah Aziz memberitahu, mereka turut menyediakan kemudahan untuk Orang Kelainan Upaya (OKU) di seluruh kawasan hotel termasuk bilik tidur di tingkat dua yang dilengkapi fasiliti khas. Kafe dan restoran yang 100 peratus halal mampu menempatkan maksimum 200 orang pada satu-satu masa.
“Hotel kami bebas daripada sebarang produk dan makanan tidak halal termasuk minuman keras. Biarpun lebih Islamik, hotel ini tetap mendapat sambutan baik dalam kalangan pelancong asing bukan beragama Islam.
Malah, baru-baru ini ada sebuah syarikat antarabangsa memilih hotel ini bagi menjalankan latihan bersama pekerja-pekerjanya hanya kerana kami tidak menghidang atau membenarkan minuman keras di dalam kawasan hotel. Namun, kami tetap menghormati pengunjung beragama lain,” jelas Azizah ketika ditemui Kosmo! di Hotel HIG baru-baru ini.
Meskipun menjunjung prinsip Islamik, ia tidak menyekat Hotel HIG untuk tampil unik dan menarik dari sudut reka bentuk, hiasan dalaman dan dekorasi. Warna-warna sejuk mata memandang seperti palet tanah dan lembut menjadi latar dominan setiap dinding kamar hotel di bawah HIG Langkawi Holdings Sdn. Bhd. itu.
Menurut Azizah, kebanyakan hotel menggunakan warna terang untuk dinding bilik mereka. Berbeza dengan Hotel HIG, penggunaan warna-warna lembut dirasakan lebih ideal dalam menyuntik ketenangan dan kenyamanan kepada para penginap.
Bagi bilik standard, selang setiap tingkat menampilkan cat berlainan warna. Begitu juga suite yang dihiasi indah bersama rona hijau cair atau coklat cair. Dinding penegasan pula dilimpahi warna-warna terang.

BILIK tidur yang selesa untuk pelanggan merehatkan diri.
Walaupun baru beroperasi selama setahun, Hotel HIG telah meraih perhatian dan kepercayaan ramai. Buktinya, menerusi laman web tempahan penginapan popular, Booking.com, indikator bagi hotel tersebut mencapai 8.2/10, satu angka yang jarang diperoleh hotel tiga bintang. Pencapaian tersebut membuktikan tahap kepuasan pengunjung dari segi kebersihan, keselesaan, makanan dan keramahan staf.
Projek hartanah
Pengerusi Eksekutif Kumpulan HIG, Azizan Ismail merencanakan, selepas hotel pertama tersebut, HIG akan melebarkan cabang perhotelan di sekitar Langkawi. Projek hartanah terdekat mereka adalah pembangunan hotel dan apartment servis di Kuah manakala projek pembangunan serupa di Pantai Cenang masih dalam peringkat perbincangan akhir.
Penceburan HIG dalam industri perhotelan bertujuan untuk menyediakan pelancongan bersifat kekeluargaan mencakupi penginapan pelbagai tahap.
Semua peringkat masyarakat mampu menikmati keselesaan penginapan HIG menerusi rancangan pembangunan hotel mewah, kondominium, apartment dan hotel bajet.
“Jika diizinkan Allah, kami berhasrat untuk meluaskan bidang perhotel an ke luar Langkawi. Lokasi berpotensi dalam radar kami ialah Kota Bharu (Kelantan), Cameron Highlands (Pahang) dan Melaka. Ketiga-tiga tempat ini didapati sentiasa penuh pada musim cuti persekolahan dan perayaan dengan kekurangan penginapan bagi menampung jumlah pengunjung yang terlalu ramai.
“Di Langkawi, empat lokasi yang sedang dalam perancangan pembangunan kami ialah di Telok Chengai, Kuah, Pantai Cenang dan Sungai Menghulu. Sebahagian kawasan ini berpotensi untuk pembangunan resort dan marina,” ujar Azizan.
Mengekalkan momentum selaku penyumbang pembangunan pelancongan memerlukan HIG sentiasa tampil kreatif, mengambil berat kehendak pengguna dan berterusan meningkatkan prasarana serba lengkap demi keselesaan pengunjung. Kemajuan itu juga perlu selari dengan perkembangan kualiti produk dan tenaga pekerja yang berdedikasi.
Kepesatan entitinya juga banyak menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk Langkawi, terutamanya pelajar-pelajar lepasan sekolah. Setakat ini, HIG mempunyai lebih 300 pekerja termasuk 70 staf hotel.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: