Saturday, November 1, 2014

Nana Mahazan Tiada Niat Tunjuk Kebahagiaan Di Instagram


PETALING JAYA: Pengacara Nana Mahazan tidak berniat mahu menunjuk-nunjuk kebahagiaan yang dimiliki bersama suami dan anak-anaknya menerusi foto-foto keluarga yang dimuat naik di Instagram.

Nana atau nama sebenarnya Nur Hana Che Mahazan, 31, berkata, apa yang dipaparkan di Instagram adalah sebahagian rutin hariannya yang ingin dikongsi kepada peminat.

"Ishhh, buat apalah saya nak menunjuk-nunjuk kebahagiaan saya kepada orang lain. Lagipun gambar yang dimuat naik hanyalah gambar keluarga. Bukannya apa pun.

"Tetapi, diakui ada juga yang memberi komen kononnya saya mahu menunjuk-nunjuk. Takkanlah gambar keluarga sendiri saya tak boleh letak di Instagram? Lagipun saya sekadar mahu berkongsi apa aktiviti saya setiap hari," katanya kepada mStar Online.

Salah satu foto yang dimuat naik di Instagram milik Nana.

Nana diminta mengulas mengenai sikap segelintir pengikut di laman Instagram yang sering mengkritik setiap gambar yang dimuat naiknya termasuklah tuduhan dia mahu menunjuk-nunjuk kebahagiaan keluarganya.

Tambah Nana, walaupun sering menerima komen-komen berbaur negatif, dia tidak perlu takut sekiranya ada pihak yang berasa dengki terhadapnya.

Sementara itu, Nana turut mengakui pernah memarahi beberapa pengikutnya apabila gambar anak-anaknya yang dimuatnaik dalam laman sosial  sering mendapat komen buruk.

"Bagi saya, kebanyakan masyarakat begitu kejam di media sosial. Mereka akan mengkritik sesuka hati tanpa berfikir panjang.

"Dan setiap gambar yang dimuat naik, ada saja komen-komen yang berbaur negatif.

"Kalau mereka mengutuk saya dan suami, masih lagi boleh pejam mata, tetapi kalau nak berkata buruk tentang anak-anak, memang saya rasa geram dan akan membalas semula komen mereka," katanya.

Nana mempunyai dua orang anak iaitu Althea, 4, dan Aaqib Raqeem Brian, 10 bulan, hasil perkahwinannya dengan Mohd Raqeem Brian Abdullah. Mereka mendirikan rumah tangga pada 6 Jun 2009.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: