Saturday, November 8, 2014

Mendekati habitat rama-rama Rajah Brooke


RAMA-RAMA Rajah Brooke mampu membesar antara 15 hingga 17 sentimeter.


HUTAN di negara ini kaya dengan pelbagai hidup­an termasuklah spesies se­rangga yang sukar ditemui.
Antara serangga yang mendia­mi hutan di negara ini termasuklah spe­sies rama-rama yang dikenali sebagai Rajah Brooke atau nama saintifiknya Trogonoptera brookiana.
Nama Rajah Brooke diberikan oleh ahli zoologi, Sir Alfred Wallace Russle pada tahun 1885 bersempena nama Raja Putih Sa­rawak yang pertama, Sir James Brooke.
Lebih menarik, ra­ma-rama yang mendiami kawasan hutan sekitar Malaysia dan Indonesia itu juga dipercayai mempu­nyai 11 jenis sub­spe­sies di seluruh dunia.
Selain itu, se­rangga yang diiktiraf sebagai rama-rama ke­bangsaan Ma­laysia itu mampu membesar antara 15 hingga 17 sentimeter dan boleh dibezakan mengikut jantina.
Bagi jantina jantan, keseluruhan sayapnya berwarna hitam dan pada bahagian sayap hadapan terdapat tujuh corak gerigi berwarna hijau.
Rama-rama betina pula, keseluruhan sayapnya berwarna coklat dan terdapat kilauan putih di bahagian hujung sayap depan dan pada pangkal ke­pak belakang.
Keunikan corak dan warna yang terdapat pada sayap rama-rama tersebut menyebabkan ia sentiasa menjadi mangsa buruan pemburu haram untuk dijadikan perhiasan dinding mewah bernilai ribuan ringgit.
Memburukkan lagi keadaan, habitat rama-rama ini juga didapati semakin terancam disebabkan aktiviti penebangan hutan yang semakin berleluasa untuk tujuan pembangunan.
Menyedari hakikat itu, Majlis Ban­daraya Petaling Jaya (MBPJ) telah menganjurkan Kem Kesedaran Alam Sekitar (KeKAS) bertemakan rama-rama Rajah Brooke di Hutan Lipur Kuala Woh, Tapah, Perak baru-baru ini.
Hutan Lipur Kuala Woh terletak 13 kilometer dari Pekan Tapah. Ia meru­pakan salah satu habitat spesies rama-rama Rajah Brooke kerana terdapat kolam air panas semula jadi di Lubok Merbau.
Air kolam yang keluar dari bawah tanah itu dipercayai mempunyai garam mineral berjaya menarik perhatian rama-rama ke kawasan tersebut.
Dalam program yang diadakan selama tiga hari dua malam itu disertai oleh 30 orang pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Aman dan Sekolah Kebangsaan Seksyen 1 Bandar Kinrara, Petaling Jaya, Sela­ngor.
Aktiviti

SERAMAI 30 orang peserta yang terdiri daripada pelajar terlibat dalam Kem Kesedaran Alam Sekitar.


Menurut guru pengiring, Hashimi Ismail, program tersebut dianjurkan adalah untuk memberi pendedahan kepada pelajar mengenai rama-rama Rajah Brooke di samping memberi kesedaran mengenai kepentingan pemeliharaan hutan.
“Matlamat asal penganjuran program ini adalah untuk memberi kesedaran mengenai kepentingan pemeliharaan hutan.
“Bagi memberi lebih keseronokan, saya cuba menyelitkan sedikit aktiviti berkaitan rama-rama Rajah Brooke yang kebetulan mendiami kawasan hutan ini,” katanya sambil memaklumkan, rama-rama tersebut telah diwartakan sebagai salah satu haiwan tidak boleh diperdagangkan.
Antara aktiviti yang dianjurkan se­panjang program tersebut ialah pengajaran dan pembelajaran me­ngenai rama-rama Rajah Brooke, merentas hutan dan mengukur kuali­ti air su­ngai, melukis poster serta mewarna.
Selain itu, para pelajar juga dibawa berkunjung ke perkampungan Orang Asli yang terdapat di kawasan berhampiran bagi mendalami cara kehi­dupan mereka.
Sementara itu, salah seorang wakil urus setia program tersebut yang juga kakitangan MBPJ, Salam Sai­min berkata, program tersebut meru­pa­kan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat pihaknya.
Katanya, MBPJ sentiasa komited dalam memberi pendidikan alam sekitar kepada para pelajar sekolah di sekitar daerah Petaling Jaya.
Selain memberi kesedaran menge­nai alam sekitar, penganjuran program tersebut juga memberi peluang kepada pelajar menikmati keindahan hutan.
“Program ini merupakan sebaha­gian daripada program KeKAS yang sudah bermula sejak tahun 2008. Setiap tahun pihak MBPJ menyediakan peruntukan sebanyak RM100,000 untuk program KeKAS,” katanya sambil memaklumkan, sebanyak lapan siri KeKAS dilaksanakan setiap tahun.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: