Saturday, November 8, 2014

Inovasi sistem suspensi tempatan


Suspensi yang dihasilkan oleh Fawster Motorsports setanding jenama antarabangsa.


MULA memandu kereta jenis Honda Integra DC5 sejak setahun lalu, Izzat Razin Ali Bakri, 21, tidak pernah melakukan modifikasi enjin. Baginya, kereta untuk kegunaan harian terutama di Lembah Klang kurang sesuai diubah spesifikasi enjinnya.
Bagaimanapun, pelajar Kolej IACT, Petaling Jaya, Selangor itu amat menitikberatkan aspek kemahiran pemanduan, tetapan penalaan tayar dan sistem suspensi.
Disebabkan itu, setiap dua bulan, Izzat Razin akan membawa Honda Integra DC5 berona putih keluaran tahun 2006 itu ke Fawster Motorsports Sdn. Bhd. (Fawster Motorsports), di Subang Jaya, Selangor. Ia merupakan rutin penting bagi­nya untuk memastikan sistem penjajaran dan suspensi berada dalam keada­an baik.
“Sebaik membeli kereta ini pada tahun lalu, seorang rakan mencadangkan Fawster Motorsports untuk melakukan tetapan penjajaran penuh dan sistem suspensi,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Sejak pertama kali berkunjung ke Fawster Motorsports, Izzat Razin berpuas hati de­ngan servis sistem suspensi yang dilakukan bengkel itu yang membuatkan tayar ke­retanya lebih mencengkam di jalan raya terutama di laluan berliku.
Walaupun, sistem suspensi ku­rang dibe­ri perhatian oleh ke­banyakan pe­­mandu di Malay­sia, Izzat Razin menyifatkan, se­dikit perubahan tetapan sus­pensi mampu memberi kesan besar kepada pemanduan.
Selain memandu di jalan raya, dia yang berasal dari Kota Kemuning, Shah Alam itu juga aktif menyer­tai perlumbaan trek berdaftar tempatan, Saturday Night Fever di Litar Antarabangsa Sepang de­ngan memandu sebuah lagi kereta Honda Integra DC5 berwarna kuning miliknya.
Sistem suspensi kereta yang digunakan untuk perlumbaan trek itu juga mendapat sentuhan Fawster Motorsports. Penyerta­annya mendapat galakan daripada juara perlumbaan trek Merdeka Millennium Endurance (MME) yang juga merupakan orang penting Fawster Motorsports iaitu Faidzil Alang Abdul Rahman sejak setahun lalu.
Perkhidmatan

alat pengukur jajaran tayar kereta secara manual ini mampu memberikan ukuran yang lebih tepat.


Fawster Motorsports merupakan sebuah bengkel milik bumiputera sepenuhnya yang beroperasi sejak dua tahun lalu. Bengkel tersebut menyediakan empat perkhidmatan utama untuk pemandu kereta atau pelumba trek iaitu tetapan suspensi, tempahan spring penyerap hentakan, servis membaiki peredam (damper) dan penalaan pemanduan serta kawalan kenderaan.
Selain kereta lumba trek, bengkel itu juga menjadi tumpuan pemandu kereta harian untuk mendapatkan khidmat servis sistem suspensi yang merupakan elemen penting dalam pemanduan.
Secara asasnya, istilah suspensi dalam sebuah kenderaan merujuk kepada kom­binasi tayar, spring penyerap hentakan dan penalaan penjajaran untuk memastikan kestabilan sesebuah kereta. Ia juga mampu menampung rangka ke­reta, enjin, badan dan lingkaran kuasa yang berada di bahagian atas roda.
Pihak bengkel akan melakukan servis sistem suspensi mengikut kehendak dan kriteria pelanggan sewaktu memandu kereta. Keba­nyakan pemandu di Malaysia ha­nya mahu merendahkan suspensi kereta untuk kelihatan lebih sporty tanpa memikirkan kesan terhadap pemanduan mereka.
Jelas Faidzil yang merupakan Pengarah Teknikal Fawster Motor­sports, bengkel tersebut menggunakan kaedah asas untuk melakukan penalaan penjajaran tayar kereta iaitu menggunakan benang. Kaedah itu juga dipraktikkan oleh pasukan yang terlibat dalam perlumbaan trek dan Formula 1 ternyata berbeza dengan teknik dan mesin yang digunakan di bengkel lain.
Lebih tepat
“Bacaan ukuran darjah penjajaran tayar adalah lebih tepat. Pengukuran dilakukan dengan mengantung benang dan besi pada bampar kereta. Kemudiannya, besi yang disambung dengan benang akan dilaras mengikut bacaan yang telah ditetapkan untuk memastikan ketepatan jajaran tayar.
“Penjajaran tayar merupakan langkah asas dalam pemanduan dan kawalan kenderaan sama seperti sistem suspensi. Fawster Motorsports juga akan melakukan pengiraan berat sudut dan penimbang tayar untuk memastikan sistem suspensi selari de­ngan penjajaran tayar,” ujarnya yang juga merupakan seorang pelumba trek profesional.
Selaku bengkel pakar dalam sistem suspensi, Fawster Motor­sports menitikberatkan aspek ke­selamatan sistem suspensi yang memberi keselesaan kepa­da pemandu. Bagi kereta yang digunakan secara harian, sistem suspensi penting ketika melalui selekoh dan menekan brek.
Sistem suspensi yang baik mampu menstabilkan kereta se­waktu melalui dua situasi pemanduan itu. Selain penjajaran tayar, penyerap hentakan perlu sentiasa diperiksa dan diser­vis.
Sementara itu, bagi pelumba trek pula, kebanyakan pemandu memerlukan sistem suspensi yang sesuai sewaktu mengambil selekoh dalam keadaan laju. Kehebatan enjin kereta lumba di trek tidak menjamin kemena­ngan pelumba kerana sistem suspensi juga memainkan peranan utama.

Faidzil melakukan pemeriksaan dalaman kereta Mazda 3 sebelum perlumbaan trek MME.


“Kebiasaannya pelumba trek lebih cerewet mengenai sistem suspensi kerana mereka hanya memikirkan cara terbaik untuk menang. Kami perlu menepati kriteria suspensi yang diinginkan oleh pelumba selain menitikberatkan keselamatan mereka,” ujar­nya yang merupakan peman­du kereta Mazda 3, Bermaz Malaysia dalam siri perlumbaan trek tempatan.
Antara jenama suspensi yang biasa digunakan pemilik kereta ialah Aragosta dari Jepun, KW (Jerman), Tien (Jepun), Ohlins (Sweden) dan Nitron (Uni­ted Kingdom). Kebiasaannya, pelang­gan membeli sendiri suspensi seb­elum Fawster Motorsports memasangnya.
Jelas Faidzil, tiga orang mekanik terlatih di bengkel itu mementingkan ukuran sistem suspensi yang tepat setiap kali me­lakukan servis kereta pelanggan.
“Selain alat pe­ng­­ukur jajaran ro­da, kami juga menggunakan pe­ngukur kamber (lengkungan) tayar untuk memastikan kestabi­lan kereta. Pengukur kamber me­rupakan elemen penting untuk memastikan kerataan kedudukan permukaan tayar di atas jalan.
“Kebanyakan pemandu lebih berminat merendahkan dan memotong spring penyerap hentakan. Walaupun kereta kelihatan bergaya, ia bukanlah satu cara terbaik untuk menstabilkan pemanduan,” ujar bapa kepada dua orang cahaya mata itu.
Tempahan
Fawster Motorsports turut menyediakan perkhidmatan tem­pahan suspensi kepada pelanggan sebagai satu langkah untuk mengembangkan industri pemanduan dan kawalan di negara ini. Suspensi yang menggunakan jenama bengkel itu mula dipasarkan mengikut kriteria yang diminta oleh pelanggan sejak dua tahun lalu. Set lengkap yang terdiri daripada empat batang suspensi itu dijual pada harga RM4,000 hingga RM8,000.
Menurut Faidzil, suspensi yang direka olehnya itu sesuai untuk pemandu yang gemarkan gaya sporty dengan pemanduan lebih cekap di atas jalan raya. Selain itu, ia merupakan inovasi Fawster Motorsports untuk mencipta suspensi yang sesuai buat pemandu di jalan raya negara ini.
“Berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada pelanggan, ka­mi akan mencipta suspensi yang sesuai dengan tahap pemanduan mereka. Tetapan suspensi itu juga akan diselaraskan dengan beberapa penalaan yang lain seperti sudut tayar, dimensi ukuran dan penggunaan kamber,” ujarnya yang merupakan antara rakyat Malaysia terawal yang mendapat latihan sistem suspensi daripada Lotus Engineering ketika bertugas di bahagian kejuruteraan Proton Holding Berhad pada tahun 2001.
Usai menerima tempahan, Fawster Motorsports akan mela­kar rekaan suspensi dengan meng­gunakan perisian Solidwork sebelum ia dihasilkan di sebuah kilang di ibu negara. Selain itu, bengkel tersebut juga menyediakan perkhidmatan tempahan spring suspensi yang juga menampilkan ciri-ciri sporty pada harga RM400 hingga RM600 untuk setiap set.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: