Tuesday, November 4, 2014

Kad diskaun ibu tunggal


  • Melati (empat, kanan) bersama sebahagian ibu tunggal di daerah Jempol.Melati (empat, kanan) bersama sebahagian ibu tunggal di daerah Jempol.

JEMPOL - Persatuan Ibu Tunggal Kebangsaan akan menyediakan kemudahan kad diskaun untuk kegunaan golongan ibu tunggal.

Pengerusinya, Datuk Melati Ali berkata, pihaknya telah membuat permohonan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).
“Kad berkenaan akan digunakan untuk ibu tunggal seluruh negara. Bagaimanapun, terdapat sebahagian ibu tunggal di Melaka dan Pahang telah menerima kad tersebut memandangkan mereka telah menghantar borang berkenaan lebih awal.

“Kad diskaun ini boleh digunakan untuk membeli barang keperluan harian seperti makanan, pakaian sekolah di pasar raya terpilih serta di Kedai Rakyat 1 Malaysia (KR1M),” katanya ketika dihubungi semalam.

Melati berkata, semua ibu tunggal perlu menyerahkan nama mereka kepada persatuan di kawasan masing-masing untuk tindakan selanjutnya bagi menikmati kemudahan yang disediakan.

“Kita juga berharap kerajaan dapat mempertimbangkan permohonan kita supaya golongan ibu tunggal ini disediakan insurans berkelompok secara percuma,” katanya.

Melati berkata, setakat ini terdapat 80,000 ibu tunggal seluruh negara berdaftar melalui persatuan berkenaan.

“Setakat ini, kita telah buka ibu pejabat persatuan di Ayer Keroh, Melaka beberapa bulan lepas dan kita juga mempunyai Yayasan Ibu Tunggal Kebangsaan Malaysia dengan dana RM1 juta.

“Dengan dana ini, kita akan bantu ibu tunggal berjaya dalam bidang usahawan dan kemahiran,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: