|
JIKA sebelum ini, Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) kelihatan seolah-olah lebih selesa bermain dalam liga kapcai namun, situasi itu mula menampakkan perubahan sekitar tahun 2011.
Mungkin sudah benar-benar yakin dengan potensi pasaran domestik, syarikat pemasang dan pengedar motosikal jenama Jepun itu akhirnya memberanikan diri untuk menceburi segmen pasaran motosikal berkuasa tinggi.
Penerokaan bermula dengan pengenalan produk pemasangan tempatan (CKD) iaitu Yamaha XJ6 Diversion dan XJ6 ke dalam segmen motosikal kembara dan naked kelas 600cc.
Jika dilihat pada situasi semasa, jenama Yamaha berdepan saingan sengit daripada pesaing-pesaing utama lain khususnya Kawasaki dan Ducati. Biarpun begitu, Yamaha masih ada sokongan daripada peminat tempatan.
Setelah meneroka pasaran motosikal kuasa tinggi selama tiga tahun, HLYM memperbaharui saingan menerusi pelancaran salah sebuah produk baharu yang menjadi buah mulut dalam industri global. Apa lagi jika bukannya Yamaha MT-09.
Sebagai permulaan, pasaran Malaysia ditawarkan dengan 100 unit model MT-09 yang diimport terus daripada Jepun (CBU). Setakat ini, hanya 80 peratus motosikal itu sudah dijual kepada orang ramai.
Pengurus Kanan Perniagaan Motosikal Kuasa Besar HLYM, GS Tan berkata, pihaknya optimis mampu menyelesaikan pendaftaran 100 peratus model CBU itu menjelang akhir tahun ini.
Lebih tepat, HLYM mahu menjual semua stok model import MT-09 yang ada di rangkaian pengedarnya sebelum menjual versi CKD kepada orang ramai. HLYM juga enggan memberi sebarang bayangan harga untuk jentera versi CKD itu.
Apa yang menariknya, pasaran motosikal berkapasiti 250cc ke atas menunjukkan trend penurunan sebanyak satu peratus bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini jika dibandingkan dengan tempoh sebelumnya.
Jumlah motosikal berkapasiti 250cc ke atas yang didaftarkan bagi tempoh itu adalah sebanyak 9,255 unit sahaja. Statistik terkumpul untuk tempoh sama 2013 ialah 9,326 buah.
Faktor yang menyumbang kepada kemerosotan jualan motosikal berkuasa tinggi berkait pada beberapa faktor termasuk kesukaran mendapat kelulusan pinjaman bagi pembiayaan pembelian motosikal.
Bagaimanapun, trend penurunan itu bukannya penghalang untuk HLYM menghentikan atau memperlahankan saingan dalam pasaran domestik. Mereka sebenarnya sudah mengatur langkah untuk memperkenalkan beberapa model motosikal berkapasiti 250cc ke atas dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Model terbaharu diperkenalkan ialah Yamaha MT-07. Sebagai permulaan, GS Tan berkata, HLYM menggunakan strategi sama seperti pelancaran MT-09 beberapa bulan lalu.
Strateginya ialah menawarkan kira-kira 100 unit MT-07 CBU itu ke pasaran Malaysia dan kemudiannya menawarkan varian CKD kepada orang ramai. Motosikal CBU itu dijual pada harga asas RM42,000 seunit (tidak termasuk insurans, cukai jalan dan pendaftaran).
Motosikal itu disasarkan kepada mereka yang mahu sebuah jentera naked yang menawarkan keseronokan tunggangan di jalan raya dengan tag harga mampu milik. Sebanyak dua warna pilihan disediakan kepada orang ramai iaitu biru dan merah.
HLYM juga akan mengukuhkan barisan Yamaha XJ6 menerusi pengenalan satu varian baharu iaitu XJ6 F (fairing penuh) dalam tempoh beberapa minggu akan datang. Model itu pernah ditayangkan di ruang pameran HLYM sempena MotoGP baru-baru ini.
Buat masa ini, HLYM memilik dua model XJ6 iaitu varian naked (XJ6) dan semi fairing (XJ6 Diversion). Ada kemungkinan HLYM hanya akan mengekalkan jualan model XJ6 F dan XJ6 pada masa hadapan. Model XJ6 Diversion mungkin akan dihentikan jualan jika gagal mendapat sambutan daripada pasaran.
Berhubung status motosikal sport Yamaha R25, Pengarah Urusan HLYM, CH Ng berkata, model itu akan ditawarkan kepada orang ramai menjelang bulan Mac hadapan.
Buat masa ini, motosikal itu masih dalam proses ujian dan akan menemui barisan pengeluaran tidak lama lagi. Perkara itu disahkan oleh CH Ng pada majlis pelancaran Yamaha MT-07 di Litar Antarabangsa Sepang di Selangor baru-baru ini.
Nampak gayanya, HLYM mula memberi fokus kepada pasaran motosikal berkuasa tinggi dan mahu menerokanya dengan lebih agresif mulai tahun hadapan. Akhirnya, HLYM sudah ada keberanian untuk bersaing secara langsung dengan pengeluar motosikal lain dalam liga 250cc ke atas. Tahniah.
Cantik info bro. 1 hal aku nak bangkang adalah bab harga! Kat negara luar paling tinggi pun dalam 30k . Ni masuk Msia jedah jd 42k ... gila la . Bukan ada ABS pun
ReplyDelete