Saturday, November 1, 2014

Ducati Diavel edisi 2015


varian Ducati Carbon didatangkan bersama warna kerangka berlainan dan beberapa komponen gentian karbon.


SEMPENA pembukaan Asia Ducati Week 2014 baru-baru ini, Next Bike Sdn. Bhd. (Ducati Malaysia) mengambil kesempatan untuk memperke­nalkan model terbaharu Ducati Diavel ke pasaran tempatan.
Produk genera­si kedua itu disa­sarkan kepada me­reka yang ma­hu menikmati pe­ngalaman tunggangan santai se­buah jentera kembara sport dan sesuai digunakan setiap hari.
Model edisi 2015 didakwa menerima sentuhan kejuruteraan semula rangkaian kuasa termasuk bahagian sistem ekzos.
Jurutera Ducati telah melaksanakan talaan itu bagi memastikan motosikal itu mampu menjana kuasa berprestasi dan kadar tarikan yang lebih memberangsangkan. Enjin Testastretta berkapasiti 1198cc itu mampu menjana kuasa kuda sebanyak 162hp pada 9,250rpm.
Antara kejuruteraan semula dilakukan melibatkan aturan semula sistem kemasukan campu­ran bahan api, komponen ekzos, pemasaan sesondol dan penambahbaikan pemetaan enjin bagi menjayakan ledakan kuasa tarikan pada julat pusingan RPM rendah.

sistem ekzos menerima sentuhan baharu untuk melancarkan aliran keluar gas daripada kebuk pembakaran enjin.


Model itu juga dikatakan menawarkan kadar pengemudian yang lebih tepat berbanding model sebelumnya.
Ergonomik binaan motosikal itu mengetengahkan posisi tunggangan santai hasil rekaan pelana dan kedudukan bar hendal yang sengaja dibelakangkan. Padanan profail tayar lebar melengkapkan imejnya sebagai sebuah motosikal kembara sport.
Model baharu itu didatangkan dengan instrumen meter terpisah yang dipasang pada bar hendal dan tangki simpanan bahan api. Instrumen meter LCD pada bahagian hendal menayangkan maklumat semasa tunggangan.
Meter instrumen TFT berwarna pada tangki minyak pula memaparkan mod tunggangan, kedudukan gear, tetapan DTC, jarak tunggangan semasa dan lampu amaran untuk tongkat sisi.
Model Diavel 2015 dilengkapi set lampu hadapan LED untuk memadankannya dengan set lampu belakang (jenis LED). Langkah itu menjadikan motosikal Diavel kelihatan anggun sewaktu tungga­ngan malam.
Keselesaan tunggangan turut dilakukan dengan memasang pelana kembar dengan jahitan corak kusyen melintang. Kedudukan perehat kaki dan subbingkai memastikan tahap keselesaan optimum dapat dinikmati penunggang dan pembonceng.
Varian Ducati Diavel didominasi oleh warna gelap manakala varian Diavel Carbon diberi padanan tona merah pada beberapa komponen khususnya kerangka motosikal.
Ducati Diavel dijual pada harga asas RM109,888 seunit manakala varian Ducati Carbon dikenakan harga sebanyak RM126,888 sebuah. Maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman web www.ducati.com.my.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: