SETIAP kali diberitahu mengenai percutian keluarga, Muhammad Azmeer Shamshaharudin akan melonjak kegembiraan.
Di fikirannya terbayang hotel bertaraf lima bintang di pantai peranginan yang terkenal dan mempunyai landskap paling menarik terutama kolam renang.
Namun, percutian kali ini pasti meninggalkan kenangan yang cukup manis buat Azmeer, 18, meskipun hanya berkunjung ke Port Dickson, Negeri Sembilan.
Selain merasai pengalaman mandi di kolam renang peribadi, dia turut berpeluang mencuba pelbagai aktiviti yang disediakan.
Detik-detik menunggang basikal, menaiki basikal roda tiga, memancing, bermain bola sepak pantai, bola tampar, memanah dan skuba bersama ahli keluarganya terlalu sukar untuk dilupakan.
“Bercuti di resort ini tidak membosankan. Pengalaman paling menarik adalah mandi di kolam renang dalam bilik. Saya boleh mandi bila-bila masa sambil melayari internet dan menikmati juadah yang dibawa keluarga.
“Selain itu, saya juga berpeluang mencuba pelbagai aktiviti termasuk bersuka ria di bilik permainan yang disediakan di tingkat dua bangunan utama,” kata Azmeer yang berasal dari Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sementara itu, Pengurus Besar Grand Lexis Port Dickson, Chan Hon Ming berkata, resort tersebut menawarkan penginapan berkonsep mewah, sekali gus mendapat pengiktirafan Outstanding Hotel Partner bagi Kategori Hotel 5 Bintang daripada Booking.com dan anugerah cemerlang bagi ulasan pelanggan (Top Rated 2014) daripada AsiaRoom.com pada tahun ini.
“Sebelum ini, kami turut mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBR) sebagai resort paling banyak mempunyai kolam renang.
“Kolam renang peribadi di kesemua 317 bilik itu cukup sinonim sebagai daya tarikan bagi mereka yang mahukan ketenangan beristirehat tanpa sebarang gangguan,” katanya.
Hiasan dalaman
Hon Ming berkata, ruang bilik seluas kondominium mewah 1,312 kaki persegi (121 meter persegi) itu mempunyai hiasan dalaman yang mempesonakan. Selain aturan ruang tidur, ia turut dilengkapi dengan kemudahan internet dan ruang dapur.
Namun, apa yang paling penting bagi pasangan yang memiliki anak ialah tidak perlu lagi memikirkan soal keselamatan anak-anak yang ingin bermain atau berenang di kolam renang luar bilik seperti kebiasaan bercuti di hotel.
Kolam renang peribadi pada paras kedalaman empat kaki itu mampu menjamin keselamatan anak-anak yang diawasi ibu bapa di depan mata.
Grand Lexis yang terletak hanya dua kilometer dari bandar Port Dickson turut menawar pelbagai jenis tempat penginapan mengikut cita rasa pengunjung iaitu ruang bilik di bangunan utama, vila taman, vila taman berlandskap dan vila atas air yang mengunjur ke laut.
Kemudahan lain di kawasan resort seluas 10 hektar itu termasuk karaoke, sauna, perpustakaan mini, gimnasium dan restoran.
Bagi pengunjung yang mahu menjamu selera, mereka boleh mendapatkan servis pesanan dan penghantaran makanan ke bilik atau berkunjung ke Restoran Duyung, Pool Cafe, Lanun Bar dan Restoran Genn Japanese.
Pelbagai seleksi masakan seperti tradisional, hidangan barbeku, sajian Barat dan Jepun disediakan.
Semua kemudahan yang disediakan itu bertujuan untuk memberi keselesaan kepada pengunjung yang datang dari dalam dan luar negara.
Meskipun menyediakan percutian berkonsep mewah, Hon Ming berkata, resort itu masih menawarkan tempat penginapan pada harga yang berpatutan kepada pengunjung.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: