![]() |
SUASANA hutan yang sunyi tiba-tiba kecoh apabila kedengaran sekumpulan wanita menjerit. Rupa-rupanya, mereka menjerit akibat kegelian memegang belut ketika dipindahkan dari satu baldi ke baldi yang lain.
Aksi mereka semakin gamat apabila belut yang ditangkap terlepas daripada pegangan. Keadaan tersebut turut dihadapi oleh Nurul Hafizah Mohamad Ramli, 22, dan pasukannya yang menjerit kegelian sebaik memegang belut di dalam baldi itu.
“Memang sangat menggelikan. Saya tidak dapat melupakan pengalaman memegang belut buat pertama kali dalam hidup saya,” katanya kepada Horizon.
Aktiviti menangkap dan memindahkan belut itu merupakan salah satu cabaran yang perlu ditempuhi oleh peserta program Women Eco-Challenge 2014 yang kali ketiga dianjurkan di Tanah Aina Fahad, Ulu Dong, Raub, Pahang baru-baru ini.
Dalam aktiviti itu, Nurul Hafizah dan peserta lain perlu mencelupkan tangan dalam minyak terlebih dahulu sebelum memegang dan memindahkan belut ke dalam baldi lain. Setiap peserta diberi tempoh masa selama dua minit untuk memindahkan sekurang-kurangnya empat ekor belut.
![]() |
PARA peserta teruja untuk memulakan cabaran.
|
Pantas
“Bagi saya, masa dua minit itu terlampau singkat dan kami terpaksa melakukannya dengan pantas. Walaupun geli, saya berjaya memindahkan empat ekor belut dalam tempoh masa yang ditetapkan,” ujar pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak, Selangor itu.
Pasukan Nurul Hafizah turut disertai Akmar Hadati Jasmi, 22, dari Universiti Tun Abdul Razak, Kuala Lumpur dan Mas Amalina Idayu Adnan, 22, dari Universiti Sains dan Pengurusan, Shah Alam.
Tiga sekawan yang meminati aktiviti mencabar itu menyertai program Women Eco-Challenge 2014 yang diadakan pada 25 dan 26 Oktober lalu setelah dimaklumkan oleh rakan-rakan mereka. Sebanyak 30 pasukan yang terdiri daripada tiga orang bersaing bagi merebut gelaran juara.
Pelbagai rintangan dan cabaran perlu dilalui antaranya, memindahkan belut, menyusur sungai-sungai deras, memanjat bukit yang licin dan menghasilkan unggun api. Mereka juga perlu merentasi hutan dan sungai sejauh enam kilometer.
Menurut Nurul Hafizah, cabaran yang paling mereka gemari ialah acara tubing iaitu menyusuri sungai yang deras menggunakan pelampung.
“Walaupun tubing merupakan satu aktiviti yang mencabar tetapi ia amat menenangkan kerana kita dapat menikmati kehijauan alam sambil menyusuri arus sungai yang deras,” ujarnya lagi.

PARA peserta melakukan senaman memanaskan badan sebelum memulakan cabaran.
Teruja
Sementara itu, pasukan yang terdiri daripada Alicia Chung, 53, Brandy Te, 50, dan Amy Sioh, 53, turut teruja menyertai program tersebut.
Alicia memberitahu, aktiviti sukan tersebut tidak terlalu lasak dan bersesuaian untuk golongan wanita yang berumur sepertinya.
“Saya sering menyertai sukan lasak tetapi ini merupakan pertama kali saya menyertai program bawah Yayasan Sukan dan Kecergasan Wanita Malaysia (WSFFM).
“Ia juga kali pertama saya melakukan flying fox, tubing dan memegang belut. Saya sangat seronok melakukannya,” katanya.
Sementara itu, tempat pertama hingga ketiga dibolot oleh pasukan dari Universiti Teknologi Mara.
Juara membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, hamper dan sijil, tempat kedua (RM2,000, hamper dan sijil) dan ketiga (RM1,000, hamper dan sijil).
Pasukan Nurazlin Mohd. Dali, 22, Syaheera Rosli, 20, dan Nur Ida Rosli, 23, pula diumumkan sebagai juara setelah berjaya menamatkan cabaran dengan mencatatkan masa terpantas iaitu selama 2 jam dan 23 minit.
Menurut Nurazlin, yang merupakan pelajar jurusan Sains Gunaan, pasukannya berasa sangat gembira kerana tidak menyangka memenangi tempat pertama kerana telah menghabiskan masa ketika menyelesaikan tugasan.
“Kami juga tidak melakukan sebarang persediaan awal kerana tidak tahu cabaran menanti. Kemenangan ini satu kepuasan yang tidak terhingga,” ujarnya.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: