Tuesday, November 18, 2014

Doakan saya – A. Rahman Hassan



DATUK A. RAHMAN HASSAN bakal menamatkan zaman dudanya pada penghujung tahun ini bersama pelakon Fadilah Mansor.


Tiada angin tiada ribut, tiba-tiba sahaja nama penyanyi terkenal era 60-an, Datuk A. Rahman Hassan menjadi sebutan sejak hujung minggu lalu. Semuanya gara-gara laporan sebuah akhbar yang melaporkan penyanyi itu bakal menamatkan zaman dudanya dengan pelakon senior, Fadilah Mansor pada penghujung tahun ini.
Pada mulanya penyanyi berusia 67 tahun tersebut enggan berkongsi cerita mengenai perancangan pernikahannya dengan pelakon berkenaan kerana beranggapan itu adalah privasi yang tidak perlu dikongsi bersama umum. Sementelah, pada usianya yang bukan lagi seperti orang muda yang ghairah untuk berkongsi hal-hal sedemikian.
Bagaimanapun, A. Rahman yang menduda sejak pemergian isterinya, Allahyarham Datin Azizah Mohamad pada 26 April tahun lalu akibat penyakit kanser akhirnya mengaku bahawa Fadilah Mansor merupakan wanita pilihan hatinya.
Ujarnya, Fadilah yang merupakan ibu tunggal selepas bercerai dengan pengarah filem veteran, Ahmad Ibrahim atau Mat London, seorang wanita yang sesuai untuk dijadikan teman hidup.
Kosmo!: Adakah benar berita bahawa Datuk A. Rahman Hassan bakal menamatkan zaman duda bersama pelakon Fadilah Mansor pada penghujung tahun ini?
A. Rahman Hassan: Insya-Allah, majlis itu akan berjalan pada penghujung tahun ini mengikut laporan berita yang telah keluar.
Apakah keistimewaan Fadilah Mansor sehingga berjaya menambat hati anda?
Fadilah orang yang sesuai untuk dijadikan teman hidup.
Mengapakah sebelum ini anda enggan mendedahkah berita perkahwinan ini?
Bukan tidak mahu beritahu tetapi saya lebih suka beritahu berita baik ini kepada semua orang termasuk pihak media secara serentak. Cara itu lebih manis kerana tidak ada yang ketinggalan dan terasa hati dengan saya.
Tambahan pula, saya belum bersedia untuk membuat sebarang kenyataan. Jika sudah hampir dengan majlis perkahwinan, barulah saya bersedia untuk bercerita secara terperinci tentang majlis tersebut.
Bagaimanakah penerimaan anak-anak anda terhadap perkahwinan yang bakal berlangsung?
Alhamdulillah, anak-anak saya semuanya memberi restu. Ikutkan, mereka mahu saya berkahwin segera supaya saya ada teman. Sebelum ini berjalan ke mana sahaja berdua, sekarang seorang diri. Atas dasar prihatin, anak-anak mahu saya mencari teman hidup yang sesuai.
Sudah usia begini, saya lebih memerlukan seorang teman yang serasi untuk berbual dan lakukan apa sahaja bersama. Anak-anak pun tidak bimbang kerana akan ada orang yang menjaga bapa mereka.
Apakah kriteria anda dalam memilih teman hidup?
Saya bercakap secara umum. Dalam memilih teman hidup, orang itu haruslah sesuai bukan sahaja dengan saya tetapi juga keluarga dan rakan-rakan sekitar saya. Tidak kisah siapa sahaja wanita yang menjadi pilihan saya, dia harus menepati kriteria tersebut.
Adakah anda segan apabila pada usia begini ditanya soal hati dan perkahwinan?
Saya tidak segan kerana pada saya, apabila membuat kenyataan ia memberi panduan kepada orang yang membaca. Saya bukan beri kenyataan untuk glamor kerana waktu itu sudah berlalu dan saya juga sudah tua.
Cuma saya terkejut apabila menerima banyak panggilan daripada pihak media yang bertanya tentang perkahwinan tersebut sebab saya bukannya orang popular untuk bercerita kisah peribadi.
Jadi, bilakah tarikh pernikahan itu?
Buat masa sekarang saya tidak dapat kongsi tentang tarikh kerana semuanya masih lagi dalam peringkat perbincangan dan ada perkara yang masih belum selesai. Insya-Allah, saya akan umumkan tarikh itu dalam masa terdekat. Buat masa ini, saya hanya boleh beritahu majlis itu akan berlangsung pada penghujung tahun. Doakan yang terbaik buat saya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: