Tuesday, November 18, 2014

Siti memang sasar anugerah AIM


KEJAYAAN Siti dalam bidang seni dan perniagaan melayakkan beliau menerima anugerah Inaugural Malaysia Women Of Excellence Awards.


Bermula dengan lagu Jerat Percintaan pada tahun 1995 sehingga ke hari ini, penyanyi Datuk Siti Nurhaliza tidak pernah gagal tercalon dalam Anugerah Industri Muzik (AIM).
Sepanjang penglibatannya dalam AIM, sudah lapan anugerah berada dalam genggamannya. Tahun ini, Siti cukup cemerlang apabila album terbaharunya Fragmen menerima lapan pencalonan dalam AIM 21.
Meskipun berdebar menunggu keputusan AIM 21 yang bakal berlangsung pada 6 Disemberdepan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Siti tidak ketinggalan disoal tentang kontroversi terbaharu membabitkan AIM.
Baru-baru ini, penyanyi dan komposer, Ajai secara terang-terangan memuat naik status di akaun Twitternya bahawa dia sudah tidak percaya kepada penjurian AIM.
Kata Siti apabila diminta mengulas mengenai perkara itu: “Soal ketelusan penjurian AIM yang disuarakan oleh Ajai, saya tidak mahu sentuh. Apa yang boleh saya katakan, sepanjang 19 tahun terlibat dalam AIM, cara penjurian berubah, dinilai oleh juri berbeza dan perkara itu akan sentiasa berlaku.
“Pihak juri terdiri daripada pelbagai latar belakang. Ada antara mereka memang pakar dalam bidang muzik dan ada antara mereka hanya pemerhati dan tidak tahu langsung tentang ilmu muzik.
“Pada hemat saya, jika boleh, kategori yang membabitkan muzik seperti susunan muzik misalnya, berilah kepada orang yang pakar dan mempunyai ilmu muzik untuk menjadi juri,” jawab Siti yang ditemui pada majlis sidang akhbar kempen SimplySiti Di Hati 2014 yang berlangsung di Connexion@Nexus, Bangsar South, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Selain itu, Siti juga berharap pihak Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) yang menganjurkan AIM agar membantu pemenang kategori Artis Baru Terbaik untuk lebih menyerlah dalam industri seni.
“Selalunya, siapa yang memenangi kategori Artis Baru Terbaik tidak mempunyai masa depan yang cerah dan hilang begitu sahaja daripada industri seni.
“Walhal, mereka mempunyai bakat yang hebat. Saya harap RIM harus melihat jauh ke hadapan, bukan hanya beri anugerah, sebaliknya membantu kerjaya artis baharu. Sayang sangat, bakat yang bagus tetapi kurang mendapat perhatian. Bantu selepas menang lebih penting,” tutur Siti memberi buah fikiran.
Album terbaik
Beralih bicara tentang album Fragmen yang mendominasi senarai pencalonan AIM 21 menerusi kategori Album Terbaik, Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita), Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu, Lagu Pop Terbaik, Kulit Album Terbaik dan dua pencalonan dalam kategori Rakaman Album Terbaik (Fragmen dan Konsert Lentera Timur), Siti mengucapkan rasa syukur.
Akuinya, setiap kali menggarap album, beliau telah meletakkan sasaran untuk dicalonkan dalam AIM dan memenangi anugerah.
“Jujur saya katakan, setiap kali merakamkan album, saya telah meletakkan sasaran untuk masuk AIM dan menghasilkan album yang terbaik.
“Bagi saya, setiap penyanyi harus ada sasaran dalam apa yang dilakukan. Walaupun sudah lama menjadi penyanyi, sasaran itu akan meletakkan kerja saya di landasan yang betul,” balasnya.
Bertambah manis buat Siti ialah album Konsert Lentera Timur yang dirakam ketika konsert yang diadakan di Istana Budaya pada September tahun lalu, turut dicalonkan dalam kategori Rakaman Album Terbaik.
“Konsert Lentera Timur merupakan sebuah konsert idaman. Apabila album konsert itu mendapat pencalonan, saya cukup terharu kerana akhirnya usaha keras saya terbayar dengan pengiktirafan.
“Walaupun belum menang tetapi sudah tercalon dalam AIM 21, cukup memuaskan hati saya. Masih terbayang cabaran yang dihadapi untuk menjayakan konsert tersebut. Alhamdulillah, saya sempat membuat rakaman dan menjadikannya dalam bentuk album buat peminat yang tidak dapat hadir di Istana Budaya,” kata Siti.
Dalam pada itu, Siti juga telah melakar sejarah tersendiri apabila menerima dua anugerah iaitu Inaugural Malaysia Women Of Excellence Awards dan Jewel Of Muslim World Awards atas kejayaannya dalam bidang seni serta perniagaan.
“Saya bersyukur menerima pengiktirafan tersebut kerana ia menyuntik semangat untuk bekerja dengan lebih kuat lagi. Walaupun saya masih terlalu baharu dalam bidang perniagaan, menerima anugerah itu memberi makna yang cukup besar pada diri saya.
“Produk SimplySiti merupakan sebuah produk tempatan yang semakin mendapat tempat di hati pengguna. Saya berharap pada masa hadapan produk SimplySiti akan menembusi pasaran antarabangsa,” balas Siti.
SimplySiti bantu pesakit jantung
Sibuk dengan kerjaya nyanyian dan perniagaannya, Siti tidak pernah melupakan mereka yang memerlukan bantuan.
Menerusi kempen SimplySiti Di Hati dengan kerjasama Institut Jantung Negara (IJN), pihak SimplySiti telah menaja pembedahan tiga pesakit jantung kanak-kanak pada tahun ini dengan nilai RM41,000.
“Kempen SimplySiti Di Hati ini bermula pada tahun 2011. Pada mulanya pihak SimplySiti hanya menaja dua orang pesakit tetapi bermula tahun 2012, kami mula menaja tiga orang kanak-kanak.
“Alhamdulillah, kempen ini akan diteruskan pada masa hadapan. Melihat pesakit jantung kanak-kanak itu kembali sihat dan ceria cukup menggembirakan saya,” katanya yang hanya memberi bantuan kepada pesakit yang berasal dari keluarga berpendapatan rendah.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: