
Suspek direman lima hari selepas didakwa meminta rasuah seks untuk meluluskan permohonan rumah PPRT di Mahkamah Majistret Alor Setar semalam.
ALOR SETAR – Tindakan seorang pegawai kanan kerajaan yang didakwa meminta habuan rasuah dalam bentuk layanan seks daripada beberapa ibu tunggal untuk meluluskan permohonan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) akhirnya menerima padah apabila dia ditahan lima hari mulai semalam.
Mahkamah Majistret di sini semalam mengeluarkan perintah reman ke atas pegawai kanan sebuah jabatan kerajaan negeri Kedah itu selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan suspek di sebuah hotel di Jalan Putra di sini kelmarin.
Dalam serbuan tersebut, pegawai kanan berusia 50-an itu ditahan di dalam bilik hotel ketika bersama seorang janda berusia 20-an yang dipercayai menjadi mangsanya.
Majistret Umzarul An-Nur Umar mengeluarkan perintah reman itu ke atas suspek untuk ditahan sehingga 18 November ini.
Perintah reman tersebut dikeluarkan mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi membolehkan SPRM menjalankan siasatan lanjut berhubung kes berkenaan.
Berdasarkan rekod SPRM, kes berkenaan merupakan yang pertama di negara ini melibatkan rasuah seks bagi meluluskan permohonan rumah PPRT.
Kosmo! semalam melaporkan SPRM menahan seorang pegawai kanan kerajaan selepas mendapat maklumat daripada orang ramai terutamanya ibu-ibu tunggal di sekitar Kedah sejak beberapa bulan lalu yang mendakwa suspek meminta habuan seks bagi meluluskan permohonan rumah PPRT.
Menurut sumber, jika sebelum ini kebanyakan kes rasuah melibatkan wang, namun perbuatan suspek lebih keji kerana meminta rasuah dalam bentuk seks dengan menyasarkan golongan ibu tunggal yang terdesak memerlukan PPRT.
Suspek kini direman di Pejabat SPRM Negeri Kedah untuk disoal siasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan Negeri, Datuk Mohd. Tajuddin Abdullah melahirkan rasa kesal dengan kes tersebut sekiranya benar dan kerajaan negeri tidak akan melindungi mana-mana kakitangan yang menyalahgunakan kuasa.
Katanya, rumah PPRT di Kedah dijual pada harga sekitar RM40,000 seunit dengan syarat pemohon terdiri daripada golongan tua, cacat dan ibu tunggal.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: