Saturday, November 8, 2014

Bercuti sambil belajar di Kota Singa

Supertree Grove menjadi tarikan para pelancong yang berkunjung ke Gardens by the Bay


KEPETAHAN pemandu pelan-­cong, Tan Li Li bercerita mengenai sejarah penubuhan Singapura dan bangunan-bangunan yang tersergam di sepanjang Orchard Road cukup mengagumkan.
Perwatakan Li Li, 43, yang ceria itu menyebabkan perjalanan dari Lapangan Terbang Changi ke The Quincy Hotel di Mount Elizabeth sejauh 21 kilometer (km) yang mengambil masa kira-kira 20 minit itu seakan-akan tidak dirasai.
Li Li berkata, setiap bangunan yang terdapat di Orchard Road memiliki keunikan tersendiri, sekali gus menjadi daya tarikan kepada para pelancong asing ke Kota Singa itu.
Selain menjadi syurga membeli-belah, Orchard Road yang sepanjang 2.5 kilometer (km) ini turut menyimpan banyak sejarah.
Misalnya, The Government House telah ditukar nama kepada Istana Negara Singapura manakala kediaman bekas Setiausaha Kolonial pula dikenali sebagai Sri Temasek.
“Kini, Istana Negara menjadi kediaman rasmi Presiden dan Perdana Menteri Singapura. Namun, Istana Negara dibuka kepada orang ramai pada hari-hari tertentu iaitu sempena perayaan Tahun Baru Cina, Deepavali, Hari Raya Puasa, Hari Pekerja dan Hari Kebangsaan.
“Bayaran masuk ke Istana Negara adalah percuma untuk rakyat dan penduduk tetap Singapura manakala para pelancong asing perlu membayar sebanyak S$1 (RM 2.57) di pintu utama di Orchard Road,” kata Li Li yang menjadi pemandu pelancong separuh masa sejak 10 tahun lalu.
Li Li berkata, Istana Negara bukan satu-satunya lokasi yang perlu dikunjungi para pelancong kerana banyak lagi tempat bersejarah dan menarik di Kota Singa itu.
Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Lembaga Pelancongan Singapura (STB), rata-rata para pelancong yang datang ke Singapura bertujuan untuk bersiar-siar, membeli-belah, berlibur dan bersuka ria di Resorts World Sentosa (RWS).
Penolong Pengurus Learning Travel Enrichment STB, Edmund Tan, 26, berkata, STB sedang mengkaji trend terbaharu pelancong dunia iaitu memperkaya pengalaman untuk seisi keluarga ketika bercuti.
Pengalaman

IBU bapa dan kanak-kanak berpeluang mendekati spesies ikan sungai di River Safari.


“Setiap kali mengikuti percutian keluarga, keinginan anak-anak tidak diberikan keutamaan. Golongan ini tidak memperoleh banyak pengalaman yang berharga.
“Mereka akan cepat berasa bosan kerana hanya mengikut kehendak ibu bapa setiap masa.
“STB memahami keperluan itu dan kami merangka beberapa program khusus agar mereka memperoleh pe­ngalaman yang berguna sepanjang tempoh percutian itu,” katanya.
Edmund berkata, setiap lokasi pelancong di Singapura memiliki unit pendidikan sendiri yang bertujuan untuk menekankan aspek melancong sambil belajar.
Matlamat utama program itu adalah untuk menambah ilmu pengetahuan terutama dari aspek fizikal, estetik, moral dan sosio-ekonomi.
Aktiviti pembelajaran itu akan membantu kanak-kanak memperoleh kemahiran hidup menerusi pelbagai kreativiti, keyakinan, kasih sayang dan kesabaran. Situasi itu dapat membentuk hati dan minda mereka untuk bersedia menghadapi cabaran persekitaran global yang semakin dinamik pada hari ini.
Kemudahan infrastruktur yang sangat baik dan suasana aman di Singapura memberikan pakej yang lengkap kepada kanak-kanak dari seluruh dunia untuk menimba pengalaman.
“Singapura komited untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran yang menarik, sekali gus memastikan kanak-kanak terutama pelajar teruja dengan proses pelajaran yang diperoleh.
“Mata pelajaran matematik, sains dan teknologi menjadikan mereka sebagai pelajar yang inovatif. Aktiviti akan menjadi menarik terutamanya dengan menggunakan aplikasi sains dan matematik di luar kelas.
“Para pelajar dapat memahami proses pemuliharaan dan peningkatan kepekaan yang membantu ke arah perubahan positif dengan memerhati serta menikmati alam tropika di Singapura.
“Pengalaman bercuti sambil belajar mampu melengkapi kurikulum teras pelajar, memberikan mereka banyak kesempatan untuk merenung apa yang dilakukan di sekolah kerana di sini mereka akan memulakan pembelajaran secara individu.
“Singapura kaya dengan budaya hasil gabungan etnik Melayu, India, China, Peranakan dan Eurasia yang membentuk sejarah di pulau ini,” kata Edmund.
Menjelang musim cuti persekolahan yang akan tiba pada akhir bulan ini, rakyat Malaysia yang bercadang untuk meluangkan masa bercuti bersama keluarga boleh menjadikan Si­ngapura sebagai destinasi pelancong mereka.
Pesawat

kanak-kanak berpeluang melihat aktiviti membersih dan memberi makan kepada ikan di akuarium besar S.E.A. Aquarium di Marine Life Park.


Pengembaraan para pelancong ke Kota Singa perlu bermula di Flight Experience di Level 2, The Singapore Flyer, Raffles Avenue.
Di pusat latihan penerbangan itu, mereka akan belajar mengenai pesawat dan semua aspek penerbangan dengan menggunakan video, model serta anak-anak kapal yang profesio­nal.
Mereka juga berpeluang untuk meninjau suasana sebenar kabin pesawat dan bertemu dengan anak-anak kapal syarikat penerbangan latihan profesional.
Mereka akan mengendalikan pesa­wat di bawah bimbingan tenaga pe­ngajar juruterbang komersial menggunakan simulasi Boeing 737 Next Generation (NG).
Tidak lengkap percutian sekiranya tidak berkunjung ke Resorts World Sentosa (RWS) yang digambarkan sebagai taman tema terbesar di rantau Asia Tenggara setanding taman-taman tema Universal Studio yang terbaik di Hollywood (California), Orlando (Florida) dan Osaka (Jepun).
Spesies marin
Selain Universal Studio Singapura (USS), para pelancong bo­leh menimba ilmu di S.E.A. Aquarium di Marine Life Park.
Ia adalah akuarium terbesar di dunia dan lebih daripada 800 spesies haiwan marin termasuk ikan yang jarang-jarang dilihat boleh ditemui.Mereka boleh meninjau impak manusia terhadap biodiversiti marin, memahami kepentingan air, mengetahui tentang spesies laut dan keperluan amalan marin yang sesuai.
Selepas itu, para pelancong perlu berkunjung ke Rizab Hidupan Liar Singapura (WRS) yang merupakan syarikat induk mengendalikan Jurong Bird Park, Night Safari, Singapore Zoo dan River Safari.
WRS diwujudkan untuk pengurusan lokasi pelancongan bertaraf dunia yang menggalakkan pemuliharaan dan penyelidikan selain mendidik pengunjung mengenai haiwan dan habitatnya.
Di Singapore Zoo, para pengunjung akan dibawa menjelajah hutan untuk mengkaji proses penjagaan zoo, pembiakan dan penjagaan kupu-kupu, kala jengking dan invertebrata (haiwan yang tidak mempunyai tulang belakang) yang lain. Selain itu, mereka juga boleh melihat aktiviti-aktiviti di belakang tabir seperti kekerapan ular diberi makan, berapa banyak anak komodo berjaya dibiakkan, kura-kura tertua di zoo, melihat ular sawa dan mengetahui skala sebenar ular.
Selepas mengkaji spesies haiwan, pelancong dibawa melihat pelbagai spe­sies flora di Gardens by the Bay seluas 101 hektar.
Di sini, mereka akan mempelajari proses tum­buh-tumbuhan menye­suaikan diri untuk hidup, cara-cara melindungi spesies tumbuhan yang hampir pupus dan menikmati keindahan alam semula jadi.
Teknologi

Pelancong boleh merasai keseronokan menaiki bot menyusuri tasik apabila berkunjung ke River Safari.


Mereka juga didedahkan dengan teknologi unik yang diperkenalkan terutama di tiga taman utama di tepi laut iaitu Bay South Garden, Bay East Garden dan Bay Central Garden.
Taman-taman itu ada­lah sebahagian daripada strategi kerajaan Singapura untuk mengubah konsep taman dalam bandar kepada bandar dalam taman.
ArtScience Museum di Marina Bay Sands pula merupakan muzium kreativiti yang menggabungkan proses krea­tif bidang seni dan ilmu.
ArtScience Museum membentangkan pameran dan program untuk menyampaikan cerita-cerita dengan menggunakan gabungan reka bentuk yang indah, kandungan yang menarik dan perbincangan intelektual untuk memberi inspirasi kreativiti dalam diri para pengunjung.
Sementara itu, Mathura Gopa­la­krishnan, 20, berkata, tidak banyak beza antara Singapura dengan Malaysia terutamanya dari aspek budaya, makanan dan hiburan.
“Namun, saya memperoleh pengalaman yang menarik selepas melihat program-program yang disusun STB dan tempat-tempat bersejarah di Singapura.
“Kunjungan terakhir saya di Art­Science Museum sungguh menakjubkan terutamanya apabila menyaksikan hasil karya jurugambar kontemporari China dan Annie Leibovitz iaitu seorang jurugambar potret dari Amerika Syarikat. Kedua-dua jurugambar ini menjadi sumber inspirasi saya” kata Mathura iaitu salah orang peserta yang mengikuti rombongan media ke Singa­pura baru-baru ini.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: