Sunday, November 9, 2014

12 sekeluarga terperangkap banjir


  • Enam sekeluarga meredah arus deras di Pekan Pedas dengan bantuan pasukan penyelamat, dekat sini, malam kelmarin.Enam sekeluarga meredah arus deras di Pekan Pedas dengan bantuan pasukan penyelamat, dekat sini, malam kelmarin.

REMBAU –  12 sekeluarga di dua lokasi di kawasan Pekan Pedas dan Batu 2, Pedas Tengah, termasuk seorang warga emas berusia 66 tahun diselamatkan pasukan penyelamat dalam kejadian banjir kilat di kawasan berkenaan, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang itu, turut terjejas dan dinaiki air ialah Balai Polis Pedas serta kuartersnya membabitkan enam buah keluarga dan Masjid Lama Batu 17, Chembong serta kawasan sekitarnya.

Menurut mangsa, Ajijah Satan, 66, sejak dari lewat petang lagi dia sudah mulai risau apabila melihat air sungai mulai melimpah dan menghampiri kawasan kediaman mereka sekeluarga di Batu 2, Pedas Tengah.

“Bagaimanapun, uwan susah nak bergerak kerana berkerusi roda dan kami tunggu bantuan untuk redah arus deras.  Bila pasukan penyelamat tiba sekitar jam 8.00 malam, uwan rasa sangat lega walaupun cemas dikendong merempuh arus deras.

“Ini merupakan pengalaman pertama uwan redah banjir dan mujurlah anak serta cucu uwan juga sudah selamat menyeberangi laluan yang dinaiki air dengan bantuan pasukan penyelamat,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di lokasi kejadian, dekat sini, semalam.

Bagi enam sekeluarga di Pekan Pedas, mereka segera menghubungi bomba sebaik menyedari bahagian rumah bawah yang menempatkan dapur mulai dinaiki air.

Menurut Siti Misnani Bakhtiar, 25, ketika kejadian mereka sekeluarga menonton televisyen dan terkejut apabila air naik dengan begitu cepat serta segera menghubungi bomba.

“Kami hanya sempat selamatkan dokumen penting sahaja, manakala barangan lain terutamanya di bahagian dapur sudah hampir ditenggelami air.  Semasa menunggu bantuan penyelamat sampai, kami berdoa supaya selamat lebih-lebih lagi saya mempunyai dua anak yang masih kecil berusia dua dan empat tahun.

“Semasa mengharungi arus deras menggunakan tali, saya hampir ingin terlucut tali berkenaan, namun mujurlah pasukan penyelamat berada di belakang saya serta memegang saya daripada hanyut dibawa arus deras," katanya.

Susulan insiden berkenaan, sepasukan enam anggota bomba diketuai Pegawai Bomba, Abdul Halil Abdul Malek dikejarkan ke lokasi kejadian dan menggunakan tali sejauh kira-kira 80 meter bagi menyelamatkan keluarga yang terperangkap di dalam rumah.

Menurutnya, selain lokasi berkenaan bomba dan juga polis turut membantu mengeluarkan enam sekeluarga di Batu 2, Pedas Tengah.

Manakala, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Ibrahim Sharif berkata, sekitar jam 5.45 petang, air sungai sudah mulai melimpah masuk ke kawasan Balai Polis Pedas sehingga menyebabkan beberapa buah kereta anggota hampir ditenggelami air.

“Malah, kediaman bagi enam buah keluarga yang tinggal di berek Balai Polis Pedas juga dinaiki air dan kejadian ini kali pertama berlaku di kawasan ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bencana Alam Daerah Rembau, Zaidi Johari berkata, pihaknya kini mengarahkan kesemua Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk sentiasa berjaga-jaga bagi memantau keadaan bencana di penempatan masing-masing.

“Malah, kita sudah arahkan mereka untuk mengenal pasti lokasi selamat untuk menempatkan mangsa banjir sekiranya berlaku kejadian banjir. Seperti hari ini, kita menempatkan enam sekeluarga di pekan Pedas di Balai Raya Pedas.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga akan membantu mangsa banjir selama tiga hari dari segi penyaluran makanan dan keperluan lain seperti lampin pakai buang dan selimut," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: