Saturday, September 20, 2014

Malibu, kereta global Chevrolet



PADA tahun 1964, Chevrolet telah memperkenalkan satu model kereta dengan tanda nama Malibu. Nama Malibu diambil dari satu kawasan pelancongan di California, Amerika Syarikat.
Malibu generasi kelima diperkenalkan semula sebagai kereta sedan pacuan roda hadapan pada tahun 1997 selepas generasi keempat dihentikan produksinya pada tahun 1983.
Generasi kelima yang dibina berdasarkan platform yang sama dengan Pontiac Grand Am dan Oldsmobile Alero itu dikuasakan dengan enjin 2.4 liter dan 3.1 liter V-6.
Sehingga tahun 2012, model itu hanya dijual untuk pasaran Amerika Utara sahaja. Selepas tujuh generasi berlalu, generasi kelapan Malibu dilancarkan untuk pasaran global.
Malibu generasi pertama yang merupakan kereta dalam segmen D mendapat sambutan menggalakkan sejak tahun pertama ia dilancarkan pada 1964. Chevrolet mendakwa lebih 200,000 unit telah dijual pada masa itu.
Pengedar jenama itu di Malaysia, NAZA Quest Auto Sdn. Bhd. (Naza Quest) baru-baru ini melancarkan model berkenaan dan secara tidak langsung memberi persaingan terbaru dalam segmen D.

PENGGUNAAN rim bersaiz 18 inci membuatkan Malibu LTZ kelihatan tegap.


Naza Quest sebelum ini membawa masuk model Sonic, Cruze, Captiva, Colorado dan Orlando untuk pasaran Malaysia.
Malibu LTZ yang merupakan model terbaharu daripada Chevrolet di Malaysia menawarkan pelbagai ciri menarik bermula daripada rekaan luaran sehingga ruang kabin untuk bersaing dengan jenama lain yang sudah lama bertapak di negara ini.
Beberapa minggu sebelum ini, Naza Quest melalui laman Facebook Chevrolet Malaysia memberi bayangan kemasukan model itu dengan memaparkan beberapa keping gambar Malibu LTZ.
Bagi Malibu LTZ yang dilancarkan di Malaysia, Naza Quest hanya memperkenalkan satu varian dengan menggunakan enjin Ecotec 2.4 liter dan transmisi enam kelajuan automatik.
Kuasa maksimum yang dihasilkan ialah 165hp dan tork maksimum 225Nm mampu untuk membawa Malibu LTZ yang sepanjang 4,865 milimeter (mm) dan lebar 1,855 mm itu.
Malibu LTZ boleh memecut dari pegun hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 9.6 saat. Chevrolet mendakwa kelajuan maksimum Malibu LTZ ialah 206 km/j.
Chevrolet juga mendakwa enjin Ecotec yang terbaik mengikut penggunaan di Malaysia selain menjanjikan penjimatan minyak di samping bunyi yang tidak bising.
Jika dilihat pada bahagian luaran Malibu LTZ, ia menggunakan elemen yang diambil daripada model sport coupe Chevrolet Camaro.

DARI kiri: Ketua Pegawai Operasi Naza Quest, Norzahid Mohd. Zahudi, Timbalan Presiden Bahagian Empat Roda Kumpulan Naza, David Hector Ratnaike, Presiden General Motors Asia Tenggara, Tim Zimmerman dan Ketua Pengarah Operasi Pengedaran dan Perancangan Perniagaan Operasi General Motors Asia Tenggara, Tadashi Wakamatsu.


Ciri-ciri luaran Malibu LTZ seperti lampu utama HID, lampu belakang jenis LED dan gril hadapan bersaiz besar yang memberikan imej elegan. Malibu LTZ menggunakan rim bersaiz 18 inci dengan tayar 245/45.
Ruang simpanan di Malibu LTZ bersaiz 462 liter, namun jika mahu ruang yang lebih luas tempat duduk di bahagian belakang boleh direbahkan.
Ciri-ciri menarik Malibu LTZ
Malibu LTZ dilengkapi dengan ciri-ciri seperti penghidup enjin dengan sistem PEPS. Teknologi ini membolehkan enjin kereta dihidupkan dari luar kereta dengan hanya menekan butang di kunci Malibu LTZ.
Selain itu, Malibu LTZ juga dilengkapi sistem penderiaan tekanan angin tayar, pembersih lampu utama, brek parkir elektrik dan lampu utama boleh laras secara automatik.
Sistem audionya yang menggunakan Chevrolet MyLink dengan skrin sentuh bersaiz tujuh inci. Teknologi MyLink juga membolehkan pengguna menghubungkan telefon pintar dengan sistem itu.
Pemandu dan penumpang boleh mendengar alunan muzik melalui enam speaker yang terdapat pada Malibu LTZ ini.
Bagi melindungi pemandu dan penumpang, model generasi kelapan ini dilengkapi empat beg udara keselamatan jika berlaku sebarang kemalangan.
Naza Quest menyasarkan jualan sebanyak 2,400 unit setahun memandangkan model ini baru memasuki segmen D pada tahun ini.
Empat pilihan warna ditawarkan seperti merah, hitam, putih dan perak. Tanda harga yang diletakkan pada model yang merupakan pesaing baru dengan jenama segmen D lain ialah RM153,888.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: