|
UCAPAN 'hi ya' (yang dieja hi you dalam bahasa Inggeris) bermaksud salam sejahtera merupakan sapaan umum warga Scotland apabila bertembung orang awam. Mereka peramah, tinggi kesusilaan dan berjiwa patriotik.
Sifat-sifat itu dijelaskan seorang rakyat Malaysia di Scotland, Wan Zulhafiz Wan Zahari, 29, yang sedang menuntut pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam jurusan Undang-Undang Petroleum di Universiti Aberdeen.
"Kedudukan Aberdeen di pesisir laut membolehkan makanan laut diperoleh dengan mudah, segar dan murah. Disebabkan itu, orang di sini menggemari fish and chips, begitu juga saya," kongsi Wan Zulhafiz ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Latar alam memukau terutama di pantai barat Scotland seperti Isle of Kyle juga antara kebanggaan negara yang menjadi destinasi kegemaran Wan Zulhafiz sepanjang dua tahun tinggal di sana.
Masih berbaki setahun di Scotland, Wan Zulhafiz sudah masak terhadap situasi politik, kebudayaan dan sosioekonomi Scotland.
Kekecohan tentang tuntutan kemerdekaan Scotland iaitu satu gerakan ke arah pembentukan sebuah negara bermandiri tanpa dipapah United Kingdom (UK) kini sibuk diperkatakan.
Perjuangan moden itu kedengaran gila. Apakah yang mahu dibuktikan orang-orang Scotland sehingga sanggup menggadai keampuhan perlindungan selama 307 tahun berpayung di bawah UK, seiring England, Wales dan Ireland Utara?
Sebagai seorang yang pro kepada kempen Generation Yes terhadap kemerdekaan Scotland, Wan Zulhafiz memberi beberapa pandangan peribadinya berhubung isu terbabit. Menurutnya, usaha mengeluarkan Scotland daripada UK bukanlah agenda baharu.
Ia mungkin tercetus akibat pertembungan fahaman dan kebudayaan antara orang Scotland dan England. Malah, loghat Inggeris di Scotland juga jauh berbeza dengan orang Inggeris di England.
Mereka tidak sebulu sejak dulu. Seperti yang diceritakan Wan Zulhafiz, ketika lawatannya ke sebuah universiti di England, dia bertanya kepada seorang pelajar England tentang isu kemerdekaan Scotland.
Respons pelajar England itu mengejutkan. Penuh angkuh, pelajar tersebut menggelar orang Scotland sebagai tidak mengenang budi dan buruk paras rupa sambil mengejek loghat bahasa mereka.
"Dia (pelajar England) mengatakan bahawa UK hanya memerlukan Scotland kerana industri cari gali minyak dan petroleum, itu sahaja peranan dan kepentingan Scotland," Wan Zulhafiz memetik kenyataan berbaur perkauman pelajar tersebut.
Cubaan memerdekakan Scotland juga dipacu hak penggubalan polisi yang kini dikawal sepenuhnya pentadbiran pusat UK di Westminster, London. Wan Zulhafiz mendedahkan, rakyat Scotland tidak senang dengan polisi sedia ada terutama melibatkan hasil petroleum.
Hasil tersebut lebih disalurkan ke England berbanding Scotland yang dianggap lebih berhak ke atas hasil dari tempat mereka sendiri.
Justeru, generasi muda Scotland nekad melancarkan usaha memerdekakan negara. Mereka menagih kebebasan tanpa dibelenggu kuasa besar yang selama ini memperalat kekayaan hasil bumi tanah air mereka.
Jurang generasi telah tercipta akibat perbalahan referendum kemerdekaan tersebut.
"Saya bangga dengan datuk apabila dia memberitahu menyokong kempen Generation Yes. Undian untuk Yes amat bererti kepada generasi saya. Kami mahu datuk dan nenek tahu bahawa masa depan Scotland terjamin di tangan kami.
"Dengan kemerdekaan, kami akan membina masa depan lebih baik untuk semua orang Scotland," ujar Miriam Brett, 23, dari Shetland kepada Associated Press.
Sokongan
Kempen Generation Yes diketuai oleh Menteri Pertama, Alex Salmond, pemimpin Parti Kebangsaan Scotland (SNP) yang mentadbir sejak tahun 2007.
Beliau menyatakan orang Scotland berhak ke atas semua hal ehwal negara sendiri dan hasil daripada industri minyak mampu mengukuhkan ekonomi negara.
Sokongan terhadap kemerdekaan melonjak menerusi pilihan raya pada 2010 selepas kerajaan Konservatif British menimbulkan kemarahan pengundi Scotland.
Kepedulian orang ramai terhadap referendum itu juga sangat tinggi. Sejumlah 4,285,323 orang, mewakili 97 peratus populasi telah mendaftar untuk mengundi.
Jumlah undian pada Khamis lalu mungkin melebihi 85 peratus berbanding 50.4 peratus yang mengundi pada pilihan raya Parlimen Scotland pada tahun 2011 dan 68.3 peratus pada pilihan raya UK pada 2010.
Pihak penentang kemerdekaan pula menjalankan kempen Better Together. Seorang pesara berumur 68 tahun, Liz Mullen menyatakan: "Mereka masih muda dan menganggap kemerdekaan mampu menjadi penawar ajaib. Bagi mereka, ia satu cabaran tanpa risiko tetapi mereka perlu sedar bahawa ini bukan permainan video."
Dari sudut potensi, ujar Wan Zulhafiz, pengunduran Scotland daripada UK bakal meletakkan masa depan negara itu pada dua teori risiko meliputi keuntungan dan kerugian.
Keuntungan yang bakal diperoleh dijangka melibatkan pembentukan sebuah negara kaya, setaraf Norway. Biarpun ketinggalan dari segi pembangunan, Scotland yang merdeka tidak akan menjadi negara miskin tegar.
Scotland masih berupaya dibangunkan rakyatnya yang berpendidikan tinggi. Kesediaan mengambil risiko seperti itu sahaja membuktikan betapa yakinnya mereka dengan masa depan Scotland.
Mata wang
Mereka menghargai demokratik dan ketelusan politiknya lebih baik berbanding tiga sekutunya di bawah UK.
"Cuma jika formula 'negara kaya' itu tidak menjadi, Scotland mungkin ketinggalan. Masalah pun telah timbul membabitkan ekonomi. Banyak bank berpindah ke England akibat kebimbangan kekeliruan mata wang pada masa depan.
"Jika Scotland benar-benar merdeka, mata wang akan terjejas. Ia mungkin menyebabkan harga barang naik dan memberi impak kepada pengguna.
"Disebabkan itu sebahagian penduduk Scotland takut mengambil risiko dan menolak kemerdekaan. Orang-orang tua khususnya, sangat menghargai perjuangan mereka dahulu dan melihat penyatuan itu lebih mendatangkan kebaikan," Wan Zulhafiz memperinci perbualan.
Azri Aziz, 26, seorang lagi rakyat Malaysia yang hampir dua tahun bermastautin di Scotland juga mempersetujui pandangan Wan Zulhafiz berhubung masalah mata wang jika Scotland mendapat kemerdekaan.
Scotland yang merdeka masih perlu menggunakan mata wang pound sterling untuk sementara waktu. Usul itu bagaimanapun ditolak pentadbiran pusat UK tetapi Scotland mengugut untuk tidak berkongsi hutang sekiranya permintaan mereka tidak diterima.
Olli Rehn, bekas komisioner pembesaran dan hubungan ekonomi Kesatuan Eropah (EU) memberi amaran bahawa ketiadaan persetujuan kesatuan mata wang bermakna, Scotland yang merdeka mesti memilih sama ada meneruskan penggunaan pound sterling atau Euro pound.
Bekerja di sebuah syarikat cari gali petroleum di Aberdeen, Azri bagaimanapun memilih untuk tidak mengundi, walaupun ia dibuka kepada semua bukan warganegara Scotland yang menetap dan menuntut pengajian di sana.
"Saya berasa tidak berhak untuk menentukan masa depan negara lain kerana keputusan itu kelak bersifat kekal. Namun, selepas mendengar manifesto kedua-dua belah pihak, saya mengharap kemenangan berpihak kepada pro-kemerdekaan," jelas Azri yang dihubungi Kosmo! menerusi telefon.
Sokongan Azri terhadap revolusi pembebasan Scotland adalah berdasarkan pemerhatiannya ke atas kuasa terhad yang dimiliki Scotland dalam Parlimen Britain.
Kemerdekaan Scotland membolehkan meneruskan pendidikan percuma buat warganya yang menuntut di universiti-universiti di dalam negaranya, tidak seperti England yang mengenakan bayaran pengajian meskipun kepada rakyat sendiri.
Ekonomi Scotland juga bakal menjadi lebih baik. Dengan populasi kecil kira-kira lima juta penduduk di topografi berkeluasan 78,387 kilometer persegi, Scotland juga kaya dengan tenaga boleh baharu seperti turbin angin.
Begitupun, menurut Azri, hasil alam paling berharga di Scotland adalah sumber air bersih. Justeru, Scotland dipilih sebagai salah satu pembekal kepada bekalan air di UK.
Sekiranya Scotland meraih kemerdekaan, SNP bercadang untuk meneruskan monarki sekali gus membenarkan Ratu Elizabeth II kekal selaku Ratu Scotland, seperti posisinya sebagai ratu di negara Komanwel lain termasuk Kanada dan Australia.
Scotland bagaimanapun hanya akan menjadi sebuah negara merdeka pada Mac 2016 selepas perpisahannya daripada UK berkuat kuasa secara rasmi.
Sementara itu, pemerhati ekonomi dari Capital Spreads, Nick Lewis berkata, ia bakal menimbulkan banyak persoalan bukan hanya mengenai mata wang tetapi juga bagaimana untuk berkongsi membayar hutang negara.
"Begitu juga dengan kemungkinan hasil minyak di Laut Utara dan mereka perlu membayar cukai tertentu," ujar nya.
Menerusi kemas kini status laman sosial Twitter, Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama turut menolak kempen kemerdekaan tersebut dan berharap seluruh rakyat Scotland supaya kekal kuat, kukuh dan bersatu padu.
"Kami sentiasa memastikan bahawa salah satu sekutu paling rapat agar kekal kukuh, teguh, bersatu, dan menjadi rakan kongsi yang efektif," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: