|
CUACA pada pagi itu tampak redup sekali. Tiada lagi alur panahan cahaya mentari yang menyimbah bumi. Biarpun ketika itu jam sudah menunjukkan pukul 9 pagi, suasana dingin masih tetap terasa sewaktu bertandang ke Golek-Golek Suasana Kampung, Gombak, Selangor baru-baru ini.
"Ini pertama kali saya datang ke restoran ini. Laluan jalan masuk ke sini agak bercerun dan berbukit. Saya ingatkan kereta tak boleh naik tadi. Oh ya, saya Nadia Aqilah," seloroh pelakon yang sedang meningkat naik itu sewaktu menyapa krew Sensasi Bintang dalam pertemuan sesi fotografi bersamanya.
Tanpa melengahkan masa, pelakon yang selesa membahasakan diri dengan panggilan Nadia itu kemudian duduk di satu sudut ruang makan di rumah kampung itu.
"Kalau kita mulakan hari pagi-pagi begini, banyak perkara yang boleh buat sepanjang hari. Jadi, tidaklah kita membuang masa yang ada kerana dipenuhkan dengan aktiviti berfaedah," ujar Nadia memulakan bicara.
Pada pertemuan kali ini, sengaja pihak Sensasi Bintang membawa Nadia ke teratak rumah kayu yang dijadikan premis niaga milik novelis terkenal, Ahadiat Akashah itu untuk menggamit momen nostalgia.
Sesekali, mata pelakon yang bakal memegang watak Allahyarham Puan Sri Saloma dalam pementasan teater P. Ramlee The Musical musim ketiga itu melilau melihat pemandangan luar dari jendela bingkai kayu rumah berkenaan.
"Cantik tempat ini. Rumahnya konsep rumah lama-lama. Sewaktu sampai tadi seolah-olah seperti saya kini sedang berada di kawasan kampung, walaupun hakikatnya ia terletak di kawasan bandar. Tak pernah tahu ada tempat seperti ini," katanya sambil wajahnya ditata rias jurusolek, Dr. Mukhlis Idris.
Dari tadi, Nadia banyak membutirkan bicaranya. Cukup ramah sifatnya. Riak wajah Nadia juga nampak tenang dalam berkongsi cerita, biarpun sebenarnya fikiran wanita berkulit sawo matang itu sudah jauh melayang mengenangkan watak Saloma yang bakal menguji kemampuan dirinya di pentas teater kurang seminggu dari sekarang.
"Kalau ingat balik sewaktu uji bakat yang saya jalani, rasa macam tidak percaya apabila diberi peranan memegang watak utama sebagai Saloma.
"Lagipun, ketika itu saya terfikir yang pihak produksi mesti mahu cari seseorang yang nampak lebih berusia dan matang, namun bersyukur apabila saya diberikan kepercayaan untuk menggalas watak berkenaan," cerita pelakon berusia 29 tahun itu.
Bagi Nadia, apa jua jenis watak yang didokong, tanggungjawab yang diberikan kepadanya perlu dilaksanakan dengan sehabis baik.
|
Dalami diri Saloma
Apatah lagi mengenangkan peranan yang digalas merupakan watak insan yang pernah memegang status biduanita negara, pemilik nama sebenar Nadia Aqilah Bajuri itu akui ada terbit rasa gementar dalam dirinya.
"Kalau ingin diukur perjalanan hidup saya dengan Saloma memang jauh berbeza, namun menganggap ini merupakan satu cabaran buat diri saya.
"Ini merupakan peluang yang baik bagi saya uji kemampuan diri untuk cuba menjadi dan menjiwai diri individu yang menjadi sanjungan dalam dunia seni tanah air suatu ketika dulu," tutur pelakon drama Tari Tirana itu.
Membawakan watak Saloma, tidak bermaksud Nadia cuba meletakkan nilai bakat yang ada pada dirinya setanding dengan biduanita tersebut.
Sejujurnya, kata Nadia, biduanita itu terlalu tinggi kedudukannya jika ingin dibandingkan dengan dirinya yang masih mentah dalam bidang seni.
"Dalam teater itu nanti, saya kena menggambarkan karakter diri Saloma. Pelbagai perkara yang perlu saya titik beratkan dari segi penampilan, cara percakapan dan juga ragamnya.
"Semua itu saya kena kaji sendiri kerana Saloma merupakan seorang individu yang mempunyai gaya tersendiri," cerita Nadia yang mula menceburi bidang teater sejak tahun 2006.
Cabaran
Selain perlu bermain dengan garapan emosi dan pembawaan watak yang baik, Nadia sedar aspek fizikal diri dalam sesebuah pembangunan karakter juga memainkan peranan penting.
"Saya selalu diingatkan bahawa Saloma merupakan seorang ikon. Jadi, untuk melakonkan wataknya, saya mesti mengikut caranya.
"Saya tidak boleh lari terlalu jauh dari segi karakter fizikal, termasuklah soal bentuk badan dan suara. Ini semua perlu diberikan perhatian serius," katanya lagi.
Menurut Nadia, antara perkara yang sukar dibuat adalah dari segi kemampuannya untuk meniru gaya suara Saloma.
"Ton suara saya tidak sama dengan Saloma. Vokal saya jenis suara yang besar seperti soprano berbanding suara Saloma yang kedengaran lebih seksi.
"Perkara itu yang agak mencabar buat saya untuk melunakkan suara sepertinya," kongsi anak kelahiran Batu Pahat, Johor itu.
Sungguh pun begitu, Nadia menganggap dirinya masih beruntung kerana terdapat bahan rujukan untuknya mengenali diri Saloma dengan lebih baik.
"Sebelum ini, sudah ada juga cerita berkaitan Saloma yang pernah ditayangkan di kaca televisyen seperti Biopik Saloma.
"Secara tidak langsung, saya boleh jadikan naskhah itu juga sebagai bahan rujukan, selain terfikir untuk berjumpa dengan anak saudaranya, Melissa Saila untuk mengetahui lebih dekat mengenai peribadi biduanita itu," cerita Nadia yang mengakui turut berasa teruja untuk melakonkan watak berkenaan.
|
Simpan kisah peribadi
Penglibatan Nadia untuk menjadi antara individu penting dalam pementasan teater itu secara tidak langsung melakar input baharu dalam portfolionya.
"Sebenarnya, saya mula berlakon sewaktu usia 14 tahun sebelum mengambil keputusan untuk lebih serius dalam dunia lakonan ketika berumur 19 tahun," kongsinya.
Lebih sedekad bertapak dalam industri hiburan, jika diamati nama Nadia mungkin tidak segah seperti rakan seperjuangannya yang lain.
"Perjalanan saya untuk bertahan sehingga sekarang bukan mudah. Saya pernah terfikir mahu berhenti dan cari kerja lain. Tak sangka dari mana kekuatan itu datang sehingga membawa diri untuk terus kekal sehingga sekarang," ujarnya.
Mungkin dek kerana namanya jarang sekali dikaitkan dengan kisah gosip, nama Nadia bukan antara yang sering disebut-sebut.
Apa yang pasti, menjadi diri Nadia, dia punya prinsip tersendiri.
Secara asas katanya, populariti bukan kayu pengukur sebenar untuk menilai bakat seseorang.
Biarpun rentaknya agak perlahan, bagi Nadia, dia mahu darah seni yang ada pada dirinya menjadi fokus sandaran utama mata di luar sana.
"Saya ini seorang yang agak berahsia sikit mengenai kehidupan peribadi kerana lebih selesa untuk berkongsi cerita mengenai kerja," ujar pelantun lagu hit Patah Sayap itu mengakhiri bicara.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: