|
JENAMA Isuzu sudah bertapak di negara ini sejak beberapa puluh tahun yang lalu dengan memperkenalkan rangkaian trak untuk kegunaan komersial di Malaysia.
Antara model sedia ada sebelum ini seperti ELF, N-Series dan Forwards dengan menawarkan beberapa varian mengikut keperluan pengendali industri.
Selama empat tahun berturut-turut bermula pada tahun 2010, Isuzu memegang status trak ringan paling laris di Malaysia menerusi model N-Series yang turut menggunakan jenama Hicom.
Berdasarkan keperluan industri di Malaysia, jenama itu masih kurang satu model untuk melengkapkan siri mereka iaitu trak tugas berat.
Baru-baru ini bertempat di Pusat Konvensyen Setia City Shah Alam, Selangor, Isuzu Malaysia telah melancarkan siri trak tugas beratnya dengan tanda nama Giga sekali gus melengkapkan semua segmen siri kenderaan tersebut di negara ini.
Permintaan yang kian meningkat terhadap trak yang berkualiti tinggi, boleh dipercayai dan jimat bahan api telah membuatkan Isuzu melancarkan model tersebut di negara ini.
Giga secara tidak langsung akan memberikan persaingan kepada beberapa jenama besar dari Jepun, Eropah dan Amerika Syarikat yang sudah sekian lama bertapak di negara ini.
Beberapa tahun kebelakangan ini juga jenama dari negara Matahari Terbit sudah membawa model trak tugas berat mereka untuk dipasarkan.
Persaingan itu sudah semestinya memerlukan setiap pengendali jenama ini menawarkan kelebihan dari segi ketahanan, kuasa yang dihasilkan, perkhidmatan selepas jualan dan penggunaan bahan api terbaik.
Menurut Pengarah dan Pengurus Besar Kanan Isuzu Malaysia, Katsuro Isihara, pengenalan trak Isuzu Giga merupakan satu langkah penting syarikat itu dalam usaha untuk menawarkan pelanggan dengan rangkaian penuh produk mereka.
“Reputasi Isuzu selaku pengeluar trak yang baik menjadi asas kepada kejayaannya di peringkat global. Para pelanggan kami mahukan tawaran rangkaian trak yang lebih luas untuk memenuhi keperluan mereka,” katanya.
Isuzu Malaysia menawarkan tiga varian Giga iaitu trak 18 tan Giga Prime dengan rangkaian kuasa 4X2, trak 23 tan dengan rangkaian kuasa 6X4 dan Giga FXZ 360 yang merupakan trak 30 tan dengan rangkaian kuasa 6X4.
Trak yang dihasilkan daripada konsep terkini Isuzu yang menggunakan asas platform 700P memberikan Isuzu Giga baharu tampil lebih tegap dan menarik.
Pada masa yang sama, model itu memiliki aspek aerodinamik, ergonamik dan standard keselamatan terbaik kepada pemilik dan pemandunya.
Menggunakan enjin enam silinder dengan pengecas turbo dan intercooler menjanjikan prestasi daripada kuasa yang dihasilkan untuk membawa beban.
Giga yang direka untuk mengangkut muatan dalam keadaan ekstrem itu dipadankan dengan kotak gear ZF sembilan kelajuan bagi mengagihkan kuasa ke atas jalan raya dengan lebih berkesan.
Kuasa maksimum yang dihasilkan daripada enjin itu mencecah 360PS dengan tork maksimum setinggi 1,422Nm dipercayai mampu memberikan senyuman kepada pemandu trak itu.
Trak siri berat Giga itu juga menggunakan brek angin sepenuhnya dengan kawalan automatik bagi memastikan kenderaan itu dapat berhenti dengan baik.
Selain itu model tersebut juga dilengkapi dengan exhaust brek yang berfungsi memperlahankan kenderaan ketika pedal minyak dilepaskan. Bagi varian Giga Prime, trak tugas berat itu turut dilengkapi dengan ABS.
Kapasiti tangki minyak diesel yang mampu untuk mengisi 400 liter dalam satu masa pasti memberikan kenderaan itu boleh bergerak lebih jauh.
Pada majlis pelancaran itu juga, Isuzu Malaysia telah memperkenalkan varian tambahan untuk model sedia ada Forward sebagai penyelesaian dan memenuhi keperluan pelanggan yang pelbagai.
Dua varian itu ialah FSR Pro dan FVR Pro yang menggunakan enjin empat silinder yang tidak terlalu besar dan lebih efisien untuk dipandu di bandar.
FSR Pro merupakan trak kompak 11 tan yang mengisi ruang antara trak tugas sederhana ELF kerana berkeupayaan menawarkan kapasiti tan lebih besar untuk tujuan pengangkutan di bandar.
Bagi model FVR Pro 16 tan pula, ia mempunyai tapak roda 6,050 milimeter (mm) berbanding FSR Pro 4,770 mm.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: