Sunday, September 28, 2014

Cahaya masyarakat Cina Muslim Malaysia




MENGAMBIL keputusan untuk memeluk agama suci Islam lebih sepuluh tahun lalu membuatkan Adam Lee, 65, begitu teruja untuk memperhalusi dan mengetahui dengan lebih mendalam isi-isi ayat yang terkandung di dalam kitab suci al-Quran.
Biarpun dewasa kini lambakan al-Quran yang diterjemah dalam bahasa Mandarin banyak terjual di kedai-kedai buku, namun dakwa Adam, terjemahan yang dibuat menggunakan ayat yang rumit membuatkan isi kandungannya sukar untuk difahami.
Menurut beliau yang juga Naib Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma), disebabkan itu, golongan Cina Muslim sepertinya tidak berkesempatan untuk mendalami dan memahami bait-bait maksud yang terkandung di dalam kitab suci tersebut.
"Sekarang ini, kebanyakan al-Quran yang diterjemahkan dalam bahasa Mandarin di Malaysia datang dari luar negara dan sukar difahami.
"Ini kerana, kebanyakan ayat-ayat tersebut diterjemahkan oleh orang bukan Islam dan tidak dilakukan mengikut pemahaman serta falsafah yang sepatutnya dilakukan oleh orang Islam yang sebenar," jelasnya.
Ujar Adam, disebabkan itu, mesej-mesej yang diharapkan dapat diketahui dengan jelas tidak dapat disampaikan kepada mereka dengan baik.
Memahami permasalahan yang membelenggu diri masyarakat Cina Muslim, Yayasan Restu dengan kerjasama Macma mengambil inisiatif untuk menerbitkan al-Quran dengan terjemahan bahasa Mandarin.

SEBAHAGIAN daripada pelancong dari Vietnam melihat penulisan khat al-Quran yang dilakukan oleh salah seorang penulis mahir.


Penterjemah
Langkah tersebut dilakukan sebagai usaha menyebarkan dakwah Islam di negara ini, khususnya kepada masyarakat Cina Muslim yang tidak memahami bahasa Arab.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Restu, Vo Hu-Sin Bakar, bagi tujuan tersebut, pihaknya mengupah seramai empat orang pakar dan pensyarah yang mahir dalam terjemahan dari China serta negara ini bagi melancarkan usaha-usaha pembukuan kitab al-Quran di dalam bahasa Mandarin.
"Bagaimanapun, kita tidak mengambil sebarangan individu dalam proses penterjemahan kitab ini dan pemilihan individu tersebut dilakukan mengikut beberapa kriteria.
"Antara kriteria-kriteria itu ialah individu tersebut wajib pakar dalam kedua-dua bahasa Arab dan Mandarin selain bidang tafsir itu sendiri," jelasnya.
Melalui penekanan tersebut, teknik penterjemahan dapat dilakukan dengan betul dan jelas supaya keseluruhan isi kandungan berjaya difahami dengan mudah oleh si pembaca.
"Melalui usahasama yang dilakukan ini, Yayasan Restu akan menulis baris-baris ayat suci tersebut di bahagian kanan halaman kitab, manakala terjemahan pula akan dilampirkan pada bahagian kiri.
"Dari situ, setiap butir ayat akan diterjemahkan dengan teliti dan lebih jelas menggunakan bahasa Mandarin asas supaya dapat difahami oleh individu yang membacanya," jelas beliau.
Al-Quran tersebut mengambil masa kira-kira setahun lebih untuk disiapkan.
Ujar Vo Hu-Sin, selain bahasa Mandarin, Yayasan Restu sebelum ini juga pernah menerbitkan beberapa siri terjemahan al-Quran dalam bahasa lain seperti bahasa Melayu, Inggeris, Kemboja, Nigeria dan Kazakhstan.
BATANG pokok paku resam merupakan bahan utama dalam penulisan khat.


Pembukuan
Walaupun daripada pandangan mata kasar, proses pembuatan al-Quran itu tampak mudah, namun untuk membukukan kitab suci itu sahaja sebenarnya memerlukan tempoh lebih dari setahun.
"Ini kerana, kita perlu membuat penyelidikan dan pembangunan secara terperinci kerana ia melibatkan aspek penyebaran dakwah Islam.
"Perkara tersebut termasuk format kandungan, muka surat, ayat terjemahan, saiz tulisan dan lain-lain aspek di dalam penerbitan al-Quran ini," jelasnya yang berasal dari Vietnam.
Bukan aspek itu sahaja yang ditekankan, malah kitab suci yang diterjemahkan dalam bahasa Mandarin itu juga turut mengaplikasikan seni zukhruf indah dan berwarna penuh pada setiap halaman.
Bagi melambangkan kemakmuran identiti dan budaya warisan masyarakat tersebut di negara ini, Yayasan Restu menggunakan seni zukhruf yang berunsurkan kebudayaan dan sumber seni visual masyarakat Cina Islam, termasuk seni bina masjid, ukiran kraftangan tempatan, motif bunga serta tempat-tempat bersejarah sebagai hiasan dalam al-Quran tersebut.
Disebabkan itu, al-Quran tersebut masih lagi dalam proses untuk mendapatkan kelulusan penerbitan daripada Bahagian Kawalan Cetakan al-Quran Kementerian Dalam Negeri. Ia bagaimanapun dijangka siap sepenuhnya awal November tahun ini.
"Setakat ini, pihak Macma dan Yayasan Restu sasar untuk menerbitkan kira-kira 20,000 naskhah al-Quran terjemahan bahasa Mandarin di peringkat permulaan.
"Bagaimanapun, jika ia mendapat sambutan, kami bercadang untuk menerbitkan kitab suci tersebut sebanyak 100,000 naskhah lagi selain untuk diagihkan di luar negara," jelasnya.
Bagi memudahkan pembacaan di semua peringkat umur, naskhah al-Quran tersebut dibuat dalam dua saiz iaitu A4 dan A5.
Apa yang lebih unik mengenai terjemahan al-Quran itu ialah, ia dihasilkan menggunakan seratus peratus tulisan khat tangan.
Untuk tujuan itu, jelas Vo Hu-Sin, penerbitan tersebut menggunakan enam penulis khat profesional yang rata-ratanya merupakan graduan Diploma Seni Mushaf dari Kolej Restu.
Dalam pada itu jelas Adam, selain memudahkan golongan Cina Muslim untuk lebih memahami kandungan ayat al-Quran dengan lebih mendalam, ia secara tidak langsung mampu menarik minat golongan tersebut yang masih belum memeluk agama Islam.

SEBAHAGIAN daripada al-Quan yang dibukukan oleh Yayasan Restu sepanjang lebih 20 tahun lalu.


Dakwah
"Oleh yang demikian, terjemahan akan dilakukan menggunakan bahasa Mandarin yang asas dan mudah untuk fahami oleh golongan tersebut.
"Kami berharap agar terjemahan ini bukan sahaja berupaya untuk meningkatkan kefahaman orang bukan Islam terhadap ayat al-Quran itu sendiri, bahkan menarik minat mereka untuk mendalami Islam dengan lebih lanjut," jelasnya.
Bagi tujuan tersebut, al-Quran yang diterjemahkan dalam bahasa Mandarin akan diberi secara wakaf kepada pihak-pihak yang memerlukan di dalam dan luar negara.
"Pada peringkat permulaan ini, kami akan mengedarkan naskhah tersebut menerusi badan-badan bukan kerajaan Cina Muslim di Malaysia selain beberapa buah sekolah terpilih.
"Dari situ, mereka akan mengagihkan kitab suci itu kepada individu yang benar-benar ingin mendalami ilmu al-Quran dan cara tersebut dirasakan lebih berkesan," jelasnya.
Dalam pada itu, seorang pelancong Taiwan, Sofy Weng, 40, berkata, susunan terjemahan yang kemas dan teratur membuatkan kandungan ayat tersebut mudah difahami, biarpun dia tidak begitu mahir dalam bacaan penulisan Mandarin.
"Saya dapati, terjemahan ini menggunakan bahasa Mandarin yang mudah seperti yang digunakan oleh masyarakat Taiwan.
"Jadi secara tidak langsung, ia dapat difahami oleh semua lapisan umur dan segala mesej yang hendak disampaikan mampu difahami dengan jelas," katanya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: