Tuesday, September 30, 2014

Ayam masak hijau Nurulhuda

MENU ayam masak hijau mendapat sambutan hangat daripada pasangan pengantin.


PENGUBAHSUAIAN resipi ayam masak merah kepada ayam masak hijau yang dilakukan Nurulhuda Yaacob, 43, semakin menarik minat para pasangan pengantin yang mahukan kelainan dalam menu sajian ketika majlis perkahwinan.
Menggunakan rempah-ratus terpilih seperti cili hijau serta bahan segar yang lain, ia mempunyai cita rasa unik berbanding ayam masak merah yang lazim dijadikan salah satu menu utama dalam kenduri kahwin.
Pengusaha Nirwana Caterer & Deco (Nirwana) yang beribu pejabat di Taman Pandan Perdana 2 dekat Ampang, Selangor itu berkata, menu tersebut merupakan hasil ciptaan beliau sendiri dan ia tidak terdapat di tempat lain.
“Sejak kami memperkenalkan menu ini (ayam masak hijau) beberapa bulan lalu, ia semakin mendapat sambutan hangat daripada pasangan-pasangan pengantin yang mahu melangsungkan perkahwinan.
“Rakan-rakan para pelanggan terdahulu yang ingin melangsungkan perkahwinan juga mahu kami menyediakan hidangan sama dalam majlis mereka.
“Ayam masak hijau yang disediakan Nirwana diolah menggunakan rempah terpilih dan memiliki cita rasa unik berbanding hidangan-hidangan ayam yang lain,” kata Nurulhuda semasa ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Cita rasa
Selain itu, Nurulhuda turut melakukan pengubahsuaian dalam beberapa resipi lain seperti daging hitam Johor dan kambing masak merah yang enak dimakan bersama nasi beriani serta nasi bukhari.
“Setakat ini, pasangan pengantin yang mendapatkan khidmat Nirwana berpuas hati dengan semua sajian yang disediakan kerana mempunyai kelainan cita rasa.
“Kebanyakan sajian lain yang disediakan pula merupakan hidangan tradisi masyarakat Johor. Ada juga pelanggan mahu kami sediakan menu tertentu yang tidak ada dalam pakej,” tambah Nurulhuda yang mempunyai pengalaman dalam bidang penyediaan makanan sejak usia remaja.
Menurut Nurulhuda, Nirwana menawarkan pakej lengkap kepada para pasangan pengantin di sekitar Lembah Klang, Negeri Sembilan, Melaka dan Pahang yang ingin melangsungkan perkahwinan dengan bajet sederhana.
NURULHUDA (kiri) turut menyediakan alat kelengkapan majlis secara percuma kepada pelanggan.


Kelengkapan
Ia termasuk penyediaan makanan, set pelamin, busana mempelai, solekan pengantin, khidmat fotografi dan pelbagai kelengkapan majlis termasuk kanopi, khemah, kerusi, meja serta peralatan untuk hiasan mengikut jenis pakej.
Nurulhuda menambah, pihaknya menawarkan lima pakej katering pada harga berpatutan antara RM8.80 hingga RM15.80 bagi setiap tetamu yang dijemput.
Pakej RM8.80 bagi setiap tetamu terdiri daripada nasi beriani, nasi putih, ayam masak merah, daging hitam, dalca sayur, jelatah, acar buah, kek pengantin serta minuman.
Pakej RM10.80 pula menawarkan nasi minyak, ayam goreng berempah, kurma daging, sambal sotong dan ikan dori masam manis kepada setiap tetamu yang hadir.
Hidangan seperti ayam masak hijau, dalca tetel, ayam kuzi, kambing masak merah, acar buah serta nasi jagung pula disediakan menerusi pakej RM12.80 dan RM15.80 bagi setiap tetamu.
“Setiap pakej terdiri daripada hidangan utama, diikuti sajian pencuci mulut dan minuman. Apabila memilih pakej-pakej tersebut, kami juga menyediakan alat kelengkapan majlis secara percuma kepada pelanggan.
“Harga pakej yang ditawarkan adalah mengikut bajet dan kemampuan pasangan pengantin. Harga bagi keseluruhan majlis pula bergantung kepada bilangan tetamu yang dijemput oleh pasangan tersebut.
“Jika pengantin mahu mengadakan majlis di dalam dewan atau ingin konsep tertentu, pihak kami akan sedaya upaya mendapatkan sebuah dewan untuk mereka dan menghias lokasi majlis supaya menepati konsep yang dikehendaki,” tambah beliau.
Ujar Nurulhuda lagi, pasangan pengantin yang mendapatkan khidmat Nirwana juga akan diberi hadiah misteri sebagai penghargaan pihaknya kepada pelanggan.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: