Friday, September 26, 2014

Kes curi pili bomba menjadi-jadi


  • Hasmadi (tengah) bersama anggota dan masyarakat kampung mengecat serta membaiki pili bomba yang rosak.Hasmadi (tengah) bersama anggota dan masyarakat kampung mengecat serta membaiki pili bomba yang rosak.

KAMPUNG RAJA - Kejadian mencuri komponen pili bomba semakin menjadi-jadi sehingga boleh memberi kesan buruk kepada orang ramai sekiranya berlaku kecemasan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Besut, Hasmadi Jusoh berkata, kes kecurian komponen pili bomba semakin berleluasa di daerah ini terutama di kawasan Kampung Raja.

Menurutnya, dalam tempoh Januari hingga semalam, bilangan komponen dan pili bomba yang didapati hilang atau rosak sebanyak 63 unit.

“Perkara ini berlarutan setiap tahun dan ia menjejaskan kepentingan orang ramai terutama ketika berlaku kebakaran.

“Sekiranya berlaku kebakaran sudah tentu pili bomba yang tidak mempunyai komponen cukup menyebabkan pasukan bomba tidak dapat mengambil air,” katanya.

Hasmadi berkata, pihaknya sudah berusaha mengganti dan membaiki semula pili bomba yang komponennya dicuri pihak tidak bertanggungjawab, namun dalam
tempoh singkat, ia hilang semula.

Katanya, pada awal tahun ini sahaja, pihaknya membelanjakan kira-kira RM10,000 untuk menggantikan komponen yang hilang, selain menyelenggarakan kira-kira 25 unit pili bomba di bawah Balai Bomba Besut.

“Kawasan yang kerap mengalami kehilangan komponen pili bomba adalah di sekitar Gong Medang, Kampung Raja dan Tembila.

“Keseluruhan pili bomba yang terdapat di bawah seliaan Balai Bomba dan Penyelamat Besut sehingga Ogos tahun ini adalah sebanyak 1,426 unit,” katanya.

Kata Hasmadi, pihaknya percaya logam yang terdapat pada pili bomba dicuri pihak tertentu untuk dijual sebagai barang lusuh.

Menurutnya, laporan polis dibuat pada setiap kehilangan dan pernah polis menemui komponen dicuri di sebuah kedai lusuh.

"Saya minta kerjasama orang ramai laporkan kepada pihak polis atau bomba sekiranya melihat perbuatan mencuri ini atau melihat di mana-mana kedai besi lusuh," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jertih, Mustafa Ismail berkata, nasib sama berlaku di kawasannya dan meminta kerjasama orang ramai menghalang kejadian itu daripada berterusan.

Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak menghalang kedudukan pili bomba.

“Ada pihak mengubahsuai rumah hingga menjejaskan pili bomba seperti pili terlindung, menghalang, mengepong sehingga tidak dapat dilihat atau tak boleh digunakan.

“Mereka ini boleh dikenakan tindakan tegas termasuk kompaun,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: