Monday, September 29, 2014

Remy, Nurul, Demmy, Keith Foo rebut cinta


GANDINGAN mantap (dari kiri) Demmy, Remy Ishak, Nurul Aini dan Keith Foo memberi warna tersendiri dalam Kasih Berbisik.


BIARPUN kali pertama bertemu di set penggambaran drama bersiri Kasih Berbisik sekitar bulan April tahun ini, namun hubungan barisan pelakonnya, Remy Ishak, Nurul Aini, Demmy Febriana dan Keith Foo kelihatan cukup akrab.
Diakui mereka langsung tidak mengenali antara satu sama lain sebelum penggambaran bermula tetapi keserasian mengalir dengan mudah tanpa perlu dipaksa-paksa.
Justeru, ketika tayangan dua episod drama Kasih Berbisik yang diadakan sempena majlis pelancaran drama itu di Golden Village Great World City, Singapura baru-baru ini, lakonan mereka cukup meninggalkan kesan.
Apa yang boleh dijanjikan buat penonton, drama 13 episod itu berbeza dengan kebanyakan drama yang membanjiri kaca televisyen.
Ia sarat dengan konflik yang membuatkan hati penonton penuh dengan rasa amarah dan juga tidak sabar untuk menanti episod seterusnya.
Berbicara tentang drama usaha sama antara produksi MediaCorp Englevision (Singapura) dan Primeworks Studios dari Malaysia itu, ia mengambil masa setahun hanya untuk sesi perbincangan kedua-dua produksi.
Skrip dan barisan pelakon juga telah dirombak beberapa kali sebelum menjalani penggambaran selama 42 hari di tiga destinasi berbeza iaitu Perlis dan Kuala Lumpur (Malaysia), Bali (Indonesia) serta Singapura.
Remy jadi suami curang
Sudah berlakon dalam puluhan drama dan filem, buat pertama kalinya dalam drama Kasih Berbisik, Remy Ishak bergandingan dengan pelakon dari Singapura, Nurul Aini sebagai suami isteri.
Menariknya dalam drama itu, Remy yang memegang watak Imran, seorang arkitek yang berlaku curang terhadap isteri dicintainya dan dalam diam berkahwin dengan seorang wanita dari Bali bernama Sulastri yang dilakonkan oleh Demmy Febriana.
"Jujurnya saya seronok melakonkan watak Imran kerana bukan selalu saya dapat watak utama yang kelihatan baik tetapi dalam diam curang terhadap isteri.
"Saya sudah bersedia andai peminat wanita membenci watak Imran tetapi mereka akan jatuh cinta dan kasihan kepadanya selepas itu," ujar Remy.
Ujar Remy, walaupun dia tidak pernah bergandingan dengan Nurul Aini dalam sebarang projek drama atau filem tetapi dia cukup menyenangi profesionalisme Nurul di set penggambaran.
"Nurul seorang isteri dan ibu dua orang anak tetapi dalam drama ini kami harus berlakon sebagai suami isteri. Pada mulanya saya bimbang kerana ada beberapa adegan yang memerlukan kami kelihatan mesra dan romantis tetapi Nurul memberi kerjasama yang amat baik.
"Mungkin untuk pelakon yang saling tidak mengenali akan rasa kekok untuk adegan romantis tetapi tidak dengan Nurul. Saya rasa selesa dan kami terus menjadi sahabat baik selepas penggambaran tamat," kata Remy yang akan berehat panjang selepas ini.
Nurul Aini mahu aktif di Malaysia
Nama pelakon dan pengacara, Nurul Aini cukup popular di Singapura. Bagaimanapun, namanya asing buat peminat drama tempatan.
Namun, drama Kasih Berbisik bukanlah drama pertama lakonannya yang akan ditayangkan di Malaysia. Sebelum ini, dia pernah berlakon dalam sebuah telefilem Dosa Semalam pada tahun 2005.
Disebabkan rezeki seninya lebih banyak di negara kelahirannya sendiri, Nurul Aini akhirnya kembali ke Singapura walaupun pernah menyimpan impian untuk aktif sebagai pelakon di Malaysia.
"Sudah tertulis rezeki saya lebih banyak di Singapura dan apabila saya berkahwin serta mempunyai anak, waktu cukup terbatas untuk saya kembangkan kerjaya ke negara lain.
"Saya bersyukur suami merestui pekerjaan sebagai pelakon. Apabila saya terima tawaran drama Kasih Berbisik, saya sudah bersedia untuk kembangkan kerjaya di Malaysia," balas Nurul.
Bercakap tentang drama Kasih Berbisik, Nurul bagai tidak percaya apabila diberitahu dia akan bergandingan dengan Remy Ishak sebagai suami isteri.
"Saya kenal Remy Ishak, dia pelakon popular di Malaysia dan Singapura. Apabila diberitahu saya akan jadi isteri pertamanya dalam drama ini, saya amat terkejut.
"Takut sebab memikirkan mampukah saya membawakan watak Nora dengan baik. Selepas berfikir panjang, tawaran drama ini merupakan peluang keemasan yang tidak patut saya lepaskan. Saya berharap selepas drama ini ditayangkan, peminat drama di Malaysia lebih mengenali saya," tutur Nurul.
Bahasa cabaran utama Demmy Febriana
Pelakon asal Bogor, Indonesia, Demmy Febriana mengakui secara jujur dia tidak mengenali seorang pun pelakon dalam drama Kasih Berbisik sehinggalah menjejakkan kaki di set penggambaran drama di Perlis, Malaysia.
Wanita berusia 25 tahun itu hanya mengenali Keith Foo kerana pelakon itu terlebih dahulu mencipta nama di Indonesia berbanding Malaysia.
"Jujur, saya langsung tidak kenal semua pelakon kecuali Keith Foo. Saya hanya tahu mereka pelakon terkenal Malaysia dan Singapura selepas jumpa di set penggambaran.
"Sebagai pelakon yang paling muda dan baharu, saya amat berbesar hati kerana mereka semua banyak memberi tunjuk ajar. Remy paling banyak membantu saya. Paling saya tidak boleh lupa, dia mengajar saya untuk menangis secara semula jadi. Dia seorang pelakon yang hebat," kata Demmy.
Tambah Demmy, sepanjang penggambaran masalah utamanya adalah memahami bahasa Melayu. Ada kalanya dia tertekan kerana tidak faham apa yang pengarah inginkan.
"Bahasa Indonesia dan Malaysia sama sahaja tetapi dialek antara kedua negara agak berbeza. Jika pengarah cakap dengan laju, saya langsung tidak faham.
"Saya mengambil masa dua minggu untuk menyesuaikan diri. Sebelum itu saya rasa cukup terasing kerana sering tidak faham apa yang orang sekeliling tuturkan," cerita Demmy.
Jelasnya, sejak berlakon drama Kasih Berbisik, Malaysia cukup dekat di hatinya. Walaupun kerjayanya di Indonesia cukup kukuh tetapi dia mahu melebarkan sayap seni ke Malaysia.
"Lebih bagus andai lakonan saya ditonton dan dihargai oleh peminat Malaysia juga. Jika diberi peluang berlakon dalam lebih banyak drama produksi Malaysia, saya amat berbesar hati.
"Selagi saya muda, apa salahnya berusaha keras demi masa hadapan yang lebih meyakinkan," kata Demmy yang bercita-cita membuka butik pakaiannya sendiri di Indonesia.
Sisi antagonis Keith Foo
Sebelum ini, setiap lakonan Keith Foo pasti mencairkan hati peminat, terutamanya wanita. Namun, berbeza untuk watak Dharma dalam Kasih Berbisik kerana ia menampilkan sisi antagonis Keith Foo yang tidak pernah dilihat sebelum ini.
Watak Dharma lakonannya menuntutnya menjadi seorang lelaki yang panas baran dan suka memukul wanita.
"Setiap lakonan ada cabaran yang tersendiri. Sebagai Dharma, penonton akan membenci watak saya yang suka naik angin tidak bertempat.
"Sebenarnya, cabarannya tidak terlalu besar kerana Dharma seorang lelaki Bali dan sebelum ini sudah terbiasa dengan pertuturan Indonesia," katanya.
Harapan Keith, selepas ini akan lebih banyak drama mega diterbitkan. Selain pasarannya lebih luas kerana ditonton oleh penonton dua buah negara, pada masa yang sama kerjaya seni pelakonnya turut berkembang.
"Saya harap kerjasama seperti ini bukan yang terakhir. Mungkin selepas ini drama ini akan disambung atau ada kerjasama lain antara dua stesen televisyen ini," ujarnya yang kini sibuk di penggambaran filem Langit Cinta bersama pengarah Osman Ali.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: