Friday, September 26, 2014

Iriz akan pacu jualan Proton


  • Proton IrizProton Iriz

SELEPAS beberapa bulan dipamerkan, kereta kompak Proton, Iriz menerima 17,000 tempahan pra-pelancaran setakat ini.

Proton Holdings Bhd menjangkakan Iriz, model ke-23 Proton, akan memacu jualan keseluruhannya dan membantu mencapai sasaran jualan sebanyak 160,000 unit setahun bagi semua model.
  
Pengerusi Tun Dr Mahathir Mohamed berkata Iriz akan memberi sumbangan yang ketara kepada jualan Proton dan lebih banyak tempahan dijangkakan selepas pelancaran.

Beliau berkata Iriz, yang berada di dalam segmen B, akan membantu Proton menguasai bahagian pasaran automotif yang lebih besar dengan harganya yang kompetitif dan ciri-ciri teknologi yang inovatif.
  
"Proton berada pada landasan yang tepat dengan pengeluaran Iriz dalam memenuhi standard global dan peraturan global," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kereta tersebut di kilang Proton di sini hari ini.
  
Harga atas jalan bermula dari RM42,438 bagi varian 1.3 liter kepada RM58,268 bagi varian 1.6 liter dengan tujuh warna pilihan.
  
Dr Mahathir berkata selain harga yang kompetitif, spesifikasi kereta itu memenuhi standard global.
  
Beliau berkata kereta itu telah diuji dalam keadaan iklim yang melampau termasuk cuaca bersalji dan panas padang pasir.
  
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Datuk Abdul Harith Abdullah berkata Proton melabur RM560 juta untuk membangunkan Iriz sejak ia dicadangkan buat kali pertama di Pameran Motor di Geneva pada 2009.
  
Dianggap sebagai kereta terbaik yang dikeluarkan oleh Proton, Iriz dilengkapi enjin VVT empat silinder yang memenuhi standard Euro-4 untuk menjadikannya cekap bahan api dan kos efektif.
  
Kereta itu juga mempunyai standard keselamatan yang tertinggi dan diberi penarafan lima bintang oleh Program Penilaian Kereta Baharu Asean (Ncap).
  
Abdul Harith berkata ciri-ciri tersebut biasanya terdapat pada kereta-kereta mewah atau jenama antarabangsa yang berharga RM100,000 dan ke atas.
  
Pada majlis itu, Dr Mahathir turut melancarkan Pusat Penghantaran Pelanggan Proton yang akan mengendalikan penghantaran kereta di seluruh negara.
  
Turut hadir Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Hamim Samuri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: