Liyana, 25, berkata, walaupun suaminya Mohd Fathuddin tidak memberikan syarat itu, sebaliknya sebagai isteri orang, dia perlu peka agar pekerjaan yang dilakukan tidak menyentuh perasaan keluarga yang menontonnya.
"Walaupun suami tidak meletakkan sebarang syarat, tetapi benda-benda macam kita perlu peka dan jaga hatinya dan keluarga agar mereka tidak terasa dengan lakonan yang dipaparkan nanti.
"Alhamdulillah keputusan itu langsung tidak menyekat rezeki saya," ujarnya kepada mStar Online.
Liyana ditemui pada majlis pelancaran jubah rekaannya, Bella Liyana Collection di restoran Terrace, The Curve, di sini pada Selasa.
Tambahnya, banyak contoh karya cinta tidak memerlukan para pelakon berpegangan tangan tetapi drama atau filem itu mendapat sambutran hebat daripada orang ramai.
"Cuba kita ambil contoh seperti filem Indonesia iaitu Kapal Van Der Wijck. Filem tersebut penuh dengan elemen cinta tetapi pelakon-pelakonnya langsung tidak bersentuhan antara satu sama lain.
"Kita juga boleh buat seperti itu dengan pelbagai teknik selain penghayatan lakonan. Rasanya, bukan satu masalah untuk pengarah menzahirkan rasa cinta dalam karya tanpa perlu bersentuhan.
"Dan walaupun seseorang pelakon itu tidak meletakkan sebarang syarat, pengarah hendaklah tahu, status mereka yang sudah berkahwin tidak perlu diberi adegan-adegan panas," ujar ibu kepada Sofia Arissa yang berusia empat bulan ini.
Sementara itu, mengenai rekaan jubah Bella Liyana Collection, Liyana hanya mengambil masa dua minggu menghasilkan busana tersebut di bawah kolaborasi jenama pakaian muslimah Bella Ammara.
Liyana berkata, pada awalnya dia tidak terfikir untuk mencuba perniagaan fesyen muslimah, tetapi selepas ditawarkan untuk berkolaborasi bersama pemilik Bella Ammara iaitu Karl, dia terus terbuka hati.
"Bayangkan, projek ini dibincangkan dua minggu lalu dan pada pertemuan pertama kami sudah merancang rekaan jubah yang mahu ditampilkan bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha pada bulan depan.
"Dan pada pertemuan kedua, kami ke kedai kain mencari material dan manik sesuai.
"Alhamdulillah prosesnya dilakukan dengan cepat, malah kami juga telah membuat klip video khas untuk projek ini," katanya.
Koleksi jubah Bella Liyana boleh didapati di butik Bella Ammara yang terletak di No. 17, Jalan Plumbum Q 7/Q, Seksyen 7, Shah Alam, Selangor. Ia dijua dengan harga hanya RM294.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: