|
PENGHIJRAHAN pelantun popular lagu Take Over, Mizz Nina kepada imej bertudung pada Oktober tahun lalu sememangnya memberi inspirasi baharu kepada dirinya.
Buktinya, selepas nekad memperlahankan aktiviti seni dan hanya akan menyanyi di hadapan kaum Hawa, Mizz Nina atau nama sebenarnya Shazrina Azman mengakui, dia kini mahu memberi fokus terhadap butik baharu miliknya, Madeena yang berkonsepkan busana muslimah.
Bagi empunya diri yang kini berusia 34 tahun itu, dia bersyukur dan gembira kerana usaha kerasnya untuk membuka butik sendiri akhirnya tercapai.
"Saya sangat gembira dan bersyukur kepada Ilahi kerana impian untuk membuka busana muslimah jenama Madeena akhirnya tercapai.
"Hampir dua tahun saya bersama rakan-rakan terdiri daripada pereka fesyen berusaha keras untuk menyiapkan butik ini. Saya tidak sangka, butik yang berkonsepkan corak moden berjalan seperti diharapkan," ujar Mizz Nina ketika ditemui pada majlis pelancaran butik miliknya, Madeena di Empire Damansara, Petaling Jaya baru-baru ini.
Tambahnya, selepas menerima sambutan menggalakkan menerusi perniagaan atas talian, dia nekad memperkenalkan fesyen busana muslimah yang bersifat mesra pengguna dan pada masa sama, mengekalkan elemen fesyen terkini dan gaya trendy kepada khalayak.
"Saya mula menjual pakaian menerusi atas talian dengan jenama Mizz Demeonor, namun selepas memperkenalkan jenama Madeena, baru saya sedar pasaran pakaian muslimah sebenarnya lebih besar.
"Disebabkan itu, saya tampil dengan jenama Madeena kerana ia lebih mendapat perhatian ramai. Buktinya, ketika mengambil bahagian dalam pertunjukan fesyen di KL Fashion Week, Pavilion baru-baru ini, saya lihat ramai yang terpegun dengan pakaian muslimah yang diperagakan untuk tatapan umum.
"Secara peribadi, ini adalah permulaan untuk saya menceburi bidang perniagaan. Idea berkenaan hadir tepat pada masanya dan kebetulan, saya mendapat lokasi strategik untuk orang ramai datang ke butik yang terletak di Heritage Lane, Empire Damansara, Petaling Jaya.
"Insya-Allah, selepas ini saya merancang untuk mengadakan bazaar di kawasan ini dan menjemput peniaga pakaian muslimah terlibat sama memandangkan pihak pengurusan di sini membenarkan saya berbuat demikian," jelas Mizz Nina sambil memberitahu, selepas ini dia akan banyak menghabiskan masa di butiknya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: