Friday, September 26, 2014

Kasih warga emas pada kucing jalanan


  • Sayangnya mereka kepada kucing ibarat manusiaSayangnya mereka kepada kucing ibarat manusia

TANJUNG TOKONG - Biarpun sudah menginjak ke usia emas, namun kasih sayang sepasang suami isteri, dekat Kampung Tanjung Tokong, di sini terhadap kucing jalanan tidak pernah terputus.

Digelar Tok Kucing, Omar Hassan, 75, dan Zainab Osman, 74, hidup ditemani lebih dari 20 ekor kucing dan sememangnya menyayangi haiwan kesukaan Rasulullah SAW itu sejak kecil lagi.
Zainab yang mesra disapa Maksu berkata, dia gemar membawa kucing jalanan pulang ke rumah dan kerana hobinya itu jugalah menyebabkan suaminya turut sama menyukai haiwan tersebut.

"Paksu tak pandai bawa kereta mahupun tunggang motor, tapi dia sanggup bawa haiwan kesayangannya itu ke klinik hanya dengan basikal bila kucingnya sakit," katanya.

Menurutnya, dia pernah memarahi seorang kanak-kanak yang memukul seekor kucing.

"Maksu paling pantang tengok kucing dipukul jadi disebabkan sakit hati kucing dibuat sebegitu rupa, akhirnya Maksu bawa kucing itu balik ke rumah.

"Kalau dulu memang kerap Maksu kutip kucing jalanan, tapi sekarang dah kurang sebab sudah tua," katanya.

Katanya, hampir kesemua kucing yang dipelihara pasangan warga emas ini mempunyai kecacatan tertentu.

"Salah seekor daripadanya dinamakan Nyunyu kerana berjalan seperti penyu gara-gara tiada tulang kaki di bahagian depan.

“Memang kasihan kalau tengok dia, tapi alhamdulillah umur Nyunyu panjang walaupun berjalan begitu. Ramai yang datang ke rumah Maksu akan ambil gambar Nyunyu sebab dia akan berdiri macam kanggaru,” katanya kepada Sinar Harian.

Walaupun tidak mempunyai pendapatan tetap, namun warga emas ini sanggup membeli ikan untuk kucing-kucing peliharaan mereka sehingga mencecah dua kilogram sehari.

“Kalau ke pasar, tauke Cina akan panggil Maksu dengan gelaran Tok Kucing. Tapi sekarang dah tak mampu nak beli ikan lagi dan terpaksa digantikan dengan makanan kucing disebabkan harga ikan yang makin mahal," katanya.

Tambah Maksu, dia dan suami akan memberi kucingnya makan ikan yang direbus terlebih dahulu dan dibuang tulang sebelum digaul bersama nasi.

"Kami sentiasa jaga makan untuk kucing-kucing ini. Kami juga sentiasa memanggil kucing dengan panggilan yang elok," katanya.

Tidak kenal erti penat lelah, walaupun sudah menginjak ke usia tua, Maksu tetap menjual kuih dan setiap hasil kuihnya itu akan digunakan untuk menampung bekalan makanan buat kucing-kucingnya.

Bagi yang ingin membantu pasangan warga emas ini bolehlah menghubungi Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Tanjung Tokong, Mohd Asrul Ismail di talian 0164046529.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: