Saturday, September 20, 2014

Kisah pencuri di surau mula tersebar


  • Amaran membabitkan wanita berkenaan yang disebarkan dalam kalangan pengguna Facebook, baru-baru ini.Amaran membabitkan wanita berkenaan yang disebarkan dalam kalangan pengguna Facebook, baru-baru ini.

SEREMBAN - Entah dari mana asalnya, tiba-tiba sahaja laman sosial Facebook mula heboh memperkatakan tentang seorang wanita yang didakwa aktif menjalankan kegiatan mencuri dalam surau beberapa pusat membeli-belah di sekitar Seremban 2, dekat sini, baru-baru ini.

Pencarian dilakukan Sinar Harian mendapati, amaran membabitkan wanita berkenaan kini tersebar luas dalam kalangan pengguna Facebook, di mana jumlahnya mencecah sekitar 1,900 perkongsian dan mendapat komen pelbagai pihak.  

Difahamkan, wanita itu menyasarkan barangan berharga kepunyaan pengunjung wanita, ketika mereka sedang sibuk menunaikan solat dalam surau disediakan oleh pusat membeli-belah.
Wanita yang masih belum diketahui identitinya itu didakwa berpura-pura baik dalam surau sebelum mencuri, di mana barangan berharga milik mangsa akan dimasukkan ke dalam beg lain bagi mengelakkan perbuatannya terbongkar.
Menurut perkongsian itu, terdapat empat kes kecurian berlaku membabitkan wanita yang sama di sebuah pasar raya, di sini.

Pada masa sama, kegiatan wanita itu juga disyaki tidak terhenti di situ sahaja, sebaliknya melibatkan beberapa pasar raya lagi dan si pelaku dijangka akan kembali ke lokasi disasarkan berselang dua minggu hingga sebulan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Zainal Abu ketika dihubungi mengakui perkara itu.

Menurut Abu, pihak polis ada menerima beberapa laporan melibatkan kes kecurian dalam surau awam, terutamanya pusat membeli-belah sepanjang tahun ini.

“Bagaimanapun, kes yang kita terima setakat sekitar tiga hingga empat kes sahaja, tidak lebih dari itu. Kebanyakannya pula berpunca daripada kecuaian pemilik sendiri.

“Justeru, kita ingin mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati semasa di tempat awam walaupun di dalam surau atau rumah ibadat. Sedikit kelekaan dalam menjaga harta benda boleh membuka ruang kepada kepada sesiapa sahaja untuk mengambil kesempatan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: