Tuesday, September 30, 2014

Jual ketupat palas besarkan 6 anak


  • Fatimah menunjukkan daun palas yang sudah dianyamnya.Fatimah menunjukkan daun palas yang sudah dianyamnya.

KUALA TERENGGANU - Siapa sangka seni anyaman ketupat daun palas yang dahulunya dipelajari secara suka-suka dengan ibunya sewaktu usia menginjak remaja, telah menjadi ilmu berguna buat Fatimah Chik, 58, apabila kemahiran itulah dijadikannya sebagai sumber rezeki.

Sejak 15 tahun, rutin harian Fatimah sering bertemankan daun palas sebagai pendapatan tambahan bagi membantu suami membesarkan enam anak dan setelah bergelar ibu tunggal tujuh tahun lalu, ketupat daun palas telah menjadi punca utama rezekinya.

Fatimah berkata, kemahiran menganyam diajar oleh ibunya suatu masa dahulu kini membolehkannya memperoleh pendapatan kasar purata RM70 sehari dan boleh mencapai sehingga RM200 sehari menjelang musim perayaan.

“Setiap hari makcik dapat hasilkan antara 200 hingga 300 biji ketupat daun palas yang dihantar ke kedai kopi di kampung ini serta sekitar. Kerja-kerja penghantaran ini biasanya dilakukan anak kedua...makcik tukang masak ketupat sahaja.

“Bilangannya akan meningkat sehingga mencecah 1,000 biji sehari apabila musim perayaan. Selain dihantar ke kedai, makcik turut terima tempahan daripada individu terutamanya mereka yang ingin mengadakan sesuatu majlis,” katanya.

Menurut Fatimah, memikirkan kemampuan diri, ada kalanya dia terpaksa menolak tempahan kerana bimbang tidak dapat menyiapkannya.

“Lazimnya, ia dijual RM1 bagi tiga biji ketupat daun palas bersaiz kecil, manakala 50 sen sebiji untuk saiz besar.

“Bagaimanapun, jika ada yang datang tempah dalam kuantiti banyak harganya mungkin berubah berdasarkan budi bicara. Proses buat ketupat ini memakan masa seharian bermula dari pagi sampai petang untuk dijual keesokan harinya,” katanya.

Katanya, bekalan daun palas dibelinya daripada seseorang yang sudah biasa dia berurusan dengan harga sekitar RM10 bagi setiap 100 pelepah dan lazimnya dia membeli dalam kuantiti banyak sebagai stok.

Fatimah berkata, walaupun menghasilkan ketupat daun palas memenatkan, namun dia bersyukur kerana itulah yang dapat dilakukannya sebagai sumber rezeki.

“Bertuah juga makcik sebab belajar cara anyam ketupat dengan ibu sewaktu muda dulu, sekurang-kurangnya dapat dijadikan sumber rezeki.

“Hasil berniaga ketupat daun palas inilah makcik besarkan anak-anak yang kini sudah pun berusia antara 17 tahun hingga 30-an. Tiga daripada mereka telah kahwin. Alhamdulillah, makcik juga terima bantuan JKM RM300 sebulan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: