|
ALUNAN suaranya cukup gemersik melantunkan lagu-lagu balada syahdu bertemakan cinta. Setiap bait lirik yang terucap terasa begitu dekat, menangkap erat cuping telinga si pendengar.
Sejak bergelar artis rakaman sekitar tahun 2008, nama Afgan Syahreza begitu sinonim dengan karya-karya berbentuk sedemikian.
Single demi single yang dipasarkan oleh penyanyi berusia 25 tahun itu tidak pernah menghampakan peminat. Namun, realitinya, dirinya sendiri tidak pernah membicarakan tentang kisah cinta dan hal peribadi secara terbuka.
Berkesempatan bertemu Afgan ketika majlis ramah mesra bersama media di RedBox Plus Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini, penyanyi itu mengakui pernah menjalinkan hubungan cinta yang serius beberapa tahun lalu.
Namun, hubungan tersebut putus di tengah jalan kerana sukar mencapai keserasian.
Mahu serius bercinta
"Siapa bilang (kata) saya tidak pernah bercinta?" soalnya dengan nada berseloroh sambil mengerutkan dahi.
"Saya pernah menjalinkan hubungan cinta yang agak serius suatu ketika dulu. Namun, atas sebab kurang serasi, kami mengambil keputusan untuk berpisah.
"Ini bukan pertama kali saya bercinta dan kemudiannya putus. Sudah berkali-kali. Mungkin saya belum bertemu dengan wanita yang benar-benar sesuai untuk dijadikan isteri," jelas pelantun lagu Jodoh Pasti Bertemu itu sambil tersenyum.
Ditanya bilakah tuan empunya diri bakal menamatkan zaman bujang, tutur Afgan, dia kini masih mencari calon isteri yang sesuai untuk dijadikan teman hidup.
"Sekarang saya sudah mula memikirkan tentang hubungan serius dan perancangan masa hadapan. Jika diberi peluang untuk memilih, biarlah wanita itu datang daripada latar belakang yang berbeza daripada saya.
"Tidak salah untuk bercinta dengan individu yang turut terlibat dalam industri hiburan, tetapi masing-masing akan mempunyai jadual yang ketat. Justeru, perkara tersebut mungkin menyukarkan hubungan kami nanti," kongsinya.
Menyambung perbualan mengenai ciri-ciri gadis pilihan hatinya, selain berambut panjang, Afgan selesa jika bakal teman wanitanya itu nanti merupakan seorang gadis terpelajar dan mampu membuatnya ketawa.
"Sudah banyak kali terkena. Orangnya cantik dan bergaya. Tetapi hakikatnya, kosong!" ujar Afgan sambil tertawa.
|
Lagu rancak
Menyentuh tentang kariernya yang kian berkembang, Afgan kini sibuk mempromosikan single ketiganya berjudul Pesan Cinta.
Sarat dengan irama rancak, lagu ciptaannya bersama Inu Numata dan Nino Ran itu merupakan platform bagi memperkenalkan sisi berbezanya kepada peminat.
"Sejujurnya, saya cukup gemar menyanyikan lagu-lagu berentak rancak. Walaupun pada hakikatnya saya lebih sesuai menyanyikan lagu balada, namun, semangat ketika membawakan lagu rancak secara langsung begitu berbeza sekali.
"Jika membawakan seleksi lagu rancak ketika mengadakan persembahan pentas, saya berasa sangat teruja apabila melihat penonton ikut menari bersama.
"Disebabkan itu, saya gemar menyanyikan lagu-lagu seperti itu ketika mengadakan persembahan pentas di hadapan peminat. Puas melihat penonton yang hadir terhibur," katanya yang bakal mengadakan sebuah konsert di Jakarta, Indonesia pada 14 Februari tahun depan.
Menulis lagu
Dalam diam, graduan Universiti Monash, Petaling Jaya, Selangor itu aktif dalam bidang penulisan lagu. Terbaharu, karyanya berjudul Sisakan Hatimu telah dimuatkan dalam album kesembilan penyanyi terkemuka Indonesia, Datuk Rossa.
Afgan memberitahu, awalnya, dia mencipta Sisakan Hatimu khas untuk album terbaharunya yang akan dipasarkan pada awal tahun hadapan. Namun, apabila lagu tersebut siap dirakam, ia kedengaran sedikit feminin dan sesuai untuk dinyanyikan oleh penyanyi wanita.
"Lagu ini saya cipta untuk diri sendiri. Tetapi setelah beberapa kali mendengar, ia juga sesuai untuk dibawakan oleh penyanyi wanita.
"Alhamdulillah, setelah Datuk Rossa mendengar demo Sisakan Hatimu, dia terus bersetuju untuk memuatkan lagu tersebut dalam album terbaharunya," tutur Afgan.
Mengakui berasa gembira dengan pencapaiannya itu, Afgan merancang untuk terus berkarya dan mencipta lagu untuk penyanyi-penyanyi lain pada masa akan datang.
"Menulis lagu bukan perkara yang senang. Kita seperti berkongsi sebahagian daripada diri kita dengan khalayak umum.
"Namun saya anggap ia seperti terapi untuk diri. Menerusi proses ini, kita dapat meluahkan perkara-perkara yang terbuku dalam jiwa," katanya.
Ku Mohon
Pada bulan Ramadan lalu, Afgan telah mengeluarkan sebuah lagu bertemakan keagamaan berjudul Ku Mohon. Istimewanya, Afgan memilih untuk merakamkan lagu yang pernah dipopularkan oleh ratu jazz tanah air, Datuk Sheila Majid itu kerana benar-benar menyukai lagu tersebut sejak ia dipasarkan sekitar tahun 1998.
Tuturnya, lagu ciptaan Mac Chew dan Sheila Majid itu merupakan antara lagu kegemarannya sepanjang zaman.
"Pertama kali saya mendengar lagu Ku Mohon, waktu itu berusia 11 tahun. Pada waktu itu, saya berasa sangat dekat dengan makna di sebalik lirik lagunya.
"Jadi, setiap kali mendengar lagu ini ketika dalam keadaan sedih, saya terus kembali bersemangat. Disebabkan itu, saya mengambil keputusan untuk merakamkan lagu tersebut sebagai lagu keagamaan pertama saya," ujarnya sambil menyifatkan Sheila Majid sebagai salah seorang idolanya dalam industri hiburan.
Menurutnya, jika diberi kesempatan, dia ingin bertemu dan merakamkan lagu bersama penyanyi Malaysia pertama yang pernah meraih anugerah Artis R&B Wanita Terbaik di Anugerah BASF, Indonesia pada tahun 1987 itu.
"Saya belum berpeluang untuk bertemu dengan beliau. Bagaimanapun, saya menanamkan hasrat untuk bekerjasama dengan Sheila Majid suatu hari nanti," ujar Afgan penuh yakin.
Pusat karaoke
Berkongsi tentang perkembangan terbaharunya, Afgan sedang berjinak-jinak dalam bidang perniagaan dengan membuka beberapa cawangan pusat karaoke Detones by Afgan di Jakarta, Indonesia.
"Idea untuk membuka pusat karaoke ini tercetus kerana hobi saya yang suka menyanyi. Kebetulan, bakat saya juga dikesan oleh seorang produser muzik setelah dia mendengar nyanyian saya di sebuah pusat karaoke kira-kira tujuh tahun lalu.
"Justeru, selepas dipelawa oleh seorang rakan kongsi, maka lahirlah Detones by Afgan yang memulakan operasinya pada bulan Mei lalu," katanya yang kini sudah memiliki empat cawangan pusat karaoke di sekitar Jakarta.
Mengakui masih hijau dalam bidang perniagaan, Afgan berhasrat untuk memperluaskan bisnesnya tersebut di beberapa kawasan luar kota kelahirannya.
"Secara perlahan-lahan, saya mahu mengembangkan perniagaan ini ke beberapa negeri seperti Palembang, Bandung, dan Kalimantan.
"Saya tidak mahu terburu-buru. Biar lambat asal pulangannya memuaskan," ujarnya menutup bicara.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: