Sunday, September 28, 2014

Tiada resepsi dalam masa terdekat - Alyah


DATIN Alyah sudah bersedia menempuh hari-hari mendatang sebagai isteri kepada Datuk Ramli MS.


HADIR anggun dengan sepersalinan Gaya Alyah, saya menyapa penyanyi lagu Kau Yang Terindah itu dengan panggilan Datin. Sebaik mendengarnya, Datin Noor Hasliah Abu Hasan atau lebih dikenali sebagai Alyah tergelak besar seraya menolak lembut panggilan tersebut.
"Janganlah, kenapa hendak panggil Datin? Tak payah," jawabnya dengan mesra ketika ditemui pada majlis penyampaian Hadiah Peraduan BuraqLube Power-Kosmo! 2014 di Hotel Corus, Jalan Ampang, Selangor baru-baru ini.
Tiada rasa kekok, jauh sekali berasa kurang senang, Alyah seterusnya membenarkan dirinya dirakam gambar dan ditemu bual.
"Panggilan itu (Datin) kalau di majlis formal, saya tidak boleh mengelak. Jika ada yang bertanya kepada saya hendak panggil Datin atau Alyah, saya lebih senang mereka panggil Alyah," jelasnya.
Tiga minggu lalu, kisah penyanyi berasal dari Gelang Patah, Johor itu menjadi perhatian ramai apabila beberapa pegawai dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu kediaman suaminya, Datuk Ramli MS bagi mengesahkan taraf pernikahan mereka.
Hasil serbuan tersebut, Alyah dan Ramli sah sebagai suami isteri dan mereka telah bernikah di Batam, Indonesia sejak setahun setengah lalu.
"Perkara itu (serbuan JAIS) di luar bidang kuasa saya. Kalau saya hendak marah atau tuduh orang itu dan ini, tiada guna. Benda sudah jadi.
"Kita (Alyah dan Ramli) memang merancang untuk beritahu tetapi benda seperti ini yang datang dulu. Saya tidak rasa bersalah sebab kami tidak buat benda yang salah," luahnya.
Perkahwinan direstui ibu
Selepas perkahwinannya bersama Ramli diketahui umum, tiada perkataan yang dapat diluahkan Alyah.
Sebaliknya, penyanyi yang lahir pada bulan Januari itu menjalani rutin hariannya sebagai isteri dan penyanyi seperti biasa.
"Bukan satu bebanan pun. Bukan juga sesuatu yang mengaibkan atau sesuatu yang menggembirakan. Saya tidak boleh huraikan benda itu (perkahwinan diketahui umum) dalam perkataan. Lagipun perkahwinan saya itu sudah berlangsung setahun lebih.
"Saya faham, ramai pihak yang menunggu apa yang berlaku selepas ini. Apa yang boleh dikatakan, perasaan sekarang, saya sudah bersedia untuk menjalani hari-hari mendatang. Dari segi apa pun. Sebagai penyanyi, sebagai wanita dan juga sebagai isteri," getus Alyah.
Bagaimanapun, Alyah mengakui, dia menerima respons positif daripada banyak pihak selepas perkahwinannya itu diketahui umum.
Alyah juga menyatakan sebab dia berdiam diri selama ini.
"Alhamdulillah, apabila saya balik ke Johor, ramai mak cik-mak cik yang memberi respons positif. Mengusik saya hendak panggil apa dan bilakah saya mahu mengadakan kenduri.
"Saya harap semua orang faham kenapa kami rahsiakan (perkahwinan). Ada peminat cakap selebriti adalah hak mereka. Pada pendapat saya, bakat nyanyian saya ya. Benda yang saya rasa ingin kongsikan, akan dikongsikan.
"Kita ada sebab dan ada rancangan sendiri kenapa tidak mahu beritahu. Cuma satu, kami tidak membelakangkan keluarga terutama sekali ibu saya. Disebabkan restu ibu, saya jalani perkahwinan bersama Datuk," ujarnya yang kini masih berulang-alik memindah barang dan menyusun atur kediaman suaminya di Bandar Kinrara, Puchong, Selangor.
ALYAH mengakui Datuk Ramli seorang yang pandai memasak. Antara masakan yang pernah dibuat Ramli untuk Alyah adalah gulai asam pedas.


Mengulas lanjut, Alyah memberitahu, perancangan untuk tinggal bersama dalam masa terdekat belum ada.
Katanya, ini disebabkan kediaman mewah milik suaminya di Bandar Kinrara itu masih dalam proses pengubahsuaian.
"Kami memang merancang mahu duduk bersama dan ingin mengumumkan mengenai perkahwinan kepada umum. Bagaimanapun, perkara itu (kes serbuan JAIS) sudah berlaku terlebih dahulu. Maka, ia menyebabkan perancangan kami sedikit kelam-kabut tetapi masih boleh dikawal.
"Buat masa ini, kadang-kadang saya pergi ke sana untuk proses pemindahan barang. Cuma untuk duduk bersama itu belum lagi," ungkapnya panjang lebar.
Ditanya mengenai resepsi yang didakwa bakal diadakan pada hujung bulan September ini, Alyah menafikannya.
Dalam nada serius, dia menjawab: "Itu (resepsi) memang saya tidak tahu. Kalau kata resepsi untuk meraikan benda itu (perkahwinan) memang tidak dibincangkan lagi.
"Lagipun, kita ada proses-proses yang perlu dilalui. Datuk ada keluarga, begitu juga saya.
"Bagaimanapun, daripada pengetahuan saya resepsi dalam masa terdekat memang tidak ada. Mungkin Datuk hendak buat kenduri masuk rumah baru tetapi saya tidak tahu."
Berita gembira
Menutup kisah rumah tangganya, ada berita gembira yang ingin dikongsikan Alyah. Setelah menanti selama lapan tahun, akhirnya album terbaharunya akan keluar pada penghujung bulan ini.
Sedar penghasilan album tersebut mengambil masa yang cukup lama, jelas Alyah, dia bergerak sendiri untuk menghasilkan album yang cukup teliti itu.
"Insya-Allah, album terbaharu saya akan siap pada hujung tahun ini. Sebenarnya sejak bulan lepas lagi, saya ingin keluarkan album ini tetapi terpaksa ditunda ke hujung tahun.
"Ini disebabkan saya bergerak sendiri untuk menghasilkan album. Satu perkara lagi, saya sangat teliti. Orang yang bekerja dengan saya juga adalah orang yang sangat teliti. Kita tidak rekod satu lagu sekali tetapi buat lima atau enam kali," ujarnya.
Ketika ditanya mengenai album yang berkonsepkan pop tersebut, Alyah menjelaskan, ia mengandungi lapan buah lagu termasuk tiga lagu baharu seperti Sesal serta Ada Cinta.
Menganggap album tersebut penutup perjalanan hidupnya sebelum ini, dia juga berpuas hati dengan penghasilan albumnya itu.
"Saya sudah pakai tudung sejak dua tahun lalu. Saya mahu album itu menjadi penutup untuk perjalanan saya sebelum ini.
"Bermula daripada Kisah hati, Pesanmu, Kau Yang Terindah, Permata dan terbaharu, Sesal Separuh Nyawa. Maksud saya, selepas ini saya akan cuba konsep yang baharu untuk album atau single seterusnya," jelasnya lagi.
Masih giat menjalankan bisnes turban dan busananya dengan label Gaya Alyah, dia bakal tampil dengan busana saiz besar bagi memenuhi permintaan mereka yang memiliki tubuh yang agak besar.
Menariknya, kesemua rekaan yang ada dalam Gaya Alyah adalah daripada dia sendiri.
"Sejak bulan lalu, saya sibuk mempromosikan bisnes Gaya Alyah di beberapa negeri seperti Kelantan, Terengganu dan Johor. Insya-Allah, bulan depan, Gaya Alyah akan mengeluarkan busana bagi mereka yang memiliki tubuh besar," ujarnya mengenai bisnes tersebut yang kini semakin mendapat permintaan ramai.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: