Thursday, September 25, 2014

Diddy Hirdy Sambung Sarjana & PhD Ke Liverpool


Diddy Hirdy contoh artis yang sanggup mengejar ilmu untuk berjaya.
PETALING JAYA: Bekas peserta program realiti Akademi Fantasia 4 (AF4), Diddy Hirdy tidak menyangka berpeluang menyambungkan pengajiannya di peringkat Sarjana dalam bidang Pengajian Industri Muzik di Universiti Liverpool, United Kingdom.

Diddy atau nama sebenarnya Syamsul Hirdi Muhid, 29, berkata, peluang yang diperoleh itu akan digunakan sebaik-baiknya demi membangunkan industri muzik tempatan apabila dia tamat pengajian itu nanti.

"Semasa saya menyambung pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM) secara jarak jauh tidak terdetik dihati saya untuk melanjutkan pelajaran di luar negara dan tawaran ini satu rezeki besar buat saya.

"Insya-Allah saya akan gunakan peluang ini dengan sebaik-baiknya demi masa depan kerana saya mahu jadi seorang artis yang releven dan terpelajar demi menjadi seorang pensyarah sekali gus membangunkan industri muzik tempatan suatu hari nanti," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Rabu.

Diddy berangkat ke Liverpool pada awal pagi Khamis (pukul 3 pagi) dan akan memulakan pengajiannya pada Oktober depan.

Tahun lalu, Diddy dipilih sebagai penuntut terbaik sekali gus menerima Anugerah Naib Canselor UUM atas kecemerlangannya dalam pengajian pada iperingkat Ijazah Sarjana Muda Komunikasi.

Program berkenaan adalah kerjasama UUM dengan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dalam usaha meningkatkan taraf ilmu di kalangan penggiat seni.


Dia juga turut bertindak sebagai tutor di universiti berkenaan sebelum ditawarkan biasiswa untuk melanjutkan pengajian di luar negara oleh UUM dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Tambah Diddy, dia berhasrat untuk terus menyambung pengajiannya di peringkat Doktor Falsafah (Phd) sejurus menyelesaikan kursus Sarjana yang hanya mengambil masa setahun.

"UUM amat mengalakkan staf akademiknya untuk terus menyambung pengajian di peringkat tertinggi dan saya memang berhasrat untuk berbuat demikian," katanya.

Dalam pada itu, Diddy berkata, pemergiannya ke Liverpool tidak berseorangan kerana turut disertai oleh isteri dan anaknya.

Jelas Diddy, dia keberatan untuk meninggalkan mereka di Malaysia kerana keluarga adalah pemangkin semangatnya untuk berjuang di sana nanti.

"Hendak meninggalkan Malaysia pun saya rasa berat hati apatah lagi isteri dan anak-anak dan sebab itu saya mahu mereka ikut saya ke Liverpool.

"Mereka adalah semangat terbesar saya untuk meneruskan pengajian dan mahu mereka berada di sisi saya," katanya.

Sementara itu, Diddy berkata, dia berharap pemergiannya ke Liverpool dapat memberi inspirasi kepada golongan artis lain untuk mengikut jejak langkahnya.

Kata Diddy, hanya ilmu yang mampu membawa seseorang itu lebih jauh dalam kehidupan seseorang jika berusaha dengan bersungguh-sungguh.

"Saya sendiri tidak yakin mampu bertahan sebagai artis dalam masa 10 ke 20 tahun lagi dan ilmu adalah senjata yang akan membawa saya ke mana sahaja selepas ini," katanya.

Pun begitu kata Diddy, itu tidak bererti dia akan melupakan terus bidang nyanyian sebaliknya akan terus aktif selagi mempunyai ruang buatnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: