Monday, September 29, 2014

Air bantu bentuk otot seimbang


SENAMAN dalam air sesuai untuk peserta pertengahan usia berikutan impak hentakan yang rendah.


KECEDERAAN yang dialami Christine Liew pada bahagian pektoral iaitu di dadanya gara-gara membetulkan kedudukan beg di ruang simpanan kapal terbang pada 10 tahun lalu masih meninggalkan kesan terhadap dirinya.
Akibatnya, wanita berusia 39 tahun itu tidak boleh memikul beban yang terlalu berat dan perlu menggerakkan lengannya secara berhati-hati untuk mengelakkan tisu di bahagian tersebut terkoyak semula.
Walaupun telah mendapatkan rawatan fisioterapi di hospital, namun akibat kesibukan kerja termasuk kerap bertugas di luar negara menyebabkan Christine tidak dapat melengkapkan rawatan tersebut.
Bagaimanapun, atas nasihat doktor, Christine mula melakukan senaman ringan untuk menguatkan kembali otot di bahagian dadanya di pusat kesihatan Water Aerobic Gym di Petaling Jaya, Selangor.
"Saya mendaftar di Water Aerobic Gym pada Julai lalu bagi mengikuti senaman dalam air. Daya apungan air menyokong berat badan saya. Ekoran itu, saya tidak perlu bimbang risiko tercedera jika berlaku perkara tidak diingini seperti tergelincir," jelasnya ketika ditemui di pusat kesihatan itu baru-baru ini.
Jelasnya, sejak mengikuti terapi tersebut, dia berasa lebih lega, tidak mengalami sakit di bahagian dada dan tidur malam lebih lena.
Selain menguatkan kembali tisu pektoralnya, bahagian tubuh badan yang lain turut mendapat manfaat hasil urutan daripada pergerakan air itu.
Senaman

SENAMAN dalam air memerlukan pergerakan seluruh anggota badan, sekali gus membentuk otot seimbang.


Water Aerobic Gym dibuka pada tahun 2012 di Petaling Jaya, Selangor merupakan pusat kesihatan senaman dalam air yang menawarkan beberapa kelas seperti sesi fisioterapi, aerobik, latihan peribadi dan latihan berenang.
Menurut tenaga pengajarnya, Soo Wai Lian, 33, senaman dalam air memberi impak hentakan rendah kerana pergerakan badan disokong oleh ketumpatan air.
"Berat badan akan menjadi 90 peratus lebih ringan apabila berada dalam air kerana ia ditampung oleh daya apungan air. Secara automatik beban yang ditanggung otot tulang belakang dan kaki akan berkurang.
"Ia amat berguna dalam membantu pesakit yang tidak boleh bersenam akibat sakit pada sendi, terutama pada lutut, tulang belakang dan pinggul," jelasnya.
Ujarnya, senamrobik air merangkumi beberapa senaman seperti lompatan, tumbukan, tendangan dan pergerakan tangan serta kaki yang berbeza dilakukan dalam air yang cetak.
Ia melibatkan penggunaan alat-alat apungan seperti noodle, arm and leg cuff, pendayung dan dumbel air.
"Tidak susah untuk melakukan pergerakan fizikal di dalam air kerana postur badan mudah dibentuk oleh arus air.
"Bagaimanapun, ia perlu mengikut kemampuan diri seseorang peserta terutama peserta baharu yang sudah lama tidak bersukan atau pernah mengalami kecederaan dan mengalami masalah untuk merenggangkan tubuh badan," katanya memberitahu sesi aerobik diadakan selama satu jam meliputi 16 pergerakan untuk bahagian atas dan bawah badan.
Tambahnya, senaman akan dibahagikan mengikut peringkat permulaan dan kemajuan. Pada peringkat permulaan senaman akan dibuat mengikut arus air kerana kurang halangan dan berubah ke peringkat seterusnya apabila otot telah kuat dan peserta sudah membiasakan diri.
Dalam pada itu, jurulatih peribadi Water Aerobic Gym, Mohammad Asyik Abd. Halim, 24, berkata, senaman dalam air sesuai dilakukan oleh individu yang mengalami keretakan tulang, kecederaan ligamen krusiat anterior, cakera teranjak, strok dan artritis.
Terapi dalam air ini sesuai untuk mereka yang mempunyai masalah berat badan kerana rintangan dalam air membantu mengawal pergerakan badan dan melancarkan peredaran darah.
Selain impak hentakan yang rendah dan geseran di bahagian sendi terutama lutut, ia memperbaiki cara pernafasan individu dan kadar degupan jantung lebih rendah berbanding senaman di darat.
Terapi

KESEMUA peralatan senaman ini diimport dari Itali.


Mengulas lanjut, Mohammad Asyik berkata, selain dijadikan terapi, senaman dalam air membantu membentuk otot seimbang.
"Semua anggota dan otot akan bergerak ketika melakukan senaman air. Otot akan bekerja lebih keras kerana berlawan dengan arus atau kelikatan air, tetapi tenaga yang digunakan diseimbangi dengan daya apungan, sekali gus penat tidak begitu dirasai.
"Tempoh melakukan senaman pula dapat dipanjangkan dengan pelbagai aktiviti yang secara tidak langsung membantu membina otot secara semula jadi tanpa perlu mengambil makanan tambahan seperti protein," jelasnya memberitahu senaman dalam air membakar sebanyak 265 kalori berbanding di darat 130 kalori melalui aktiviti berjalan kaki selama 30 minit.
Tempoh tumbesaran otot juga dikatakan 12 kali lebih cepat berbanding senaman di gimnasium biasa.
Mohammad Asyik memberitahu, pusat itu ada menyediakan peralatan bersenam dan bina badan seperti di kebanyakan gimnasium biasa. Namun, barang-barang tersebut diimport khas dari Itali yang diperbuat menggunakan material antikarat. Alatan tersebut termasuk dumbel air, getah air (untuk aktiviti terapung), treadmill air dan pendayung kayak.
Jelasnya, dumbel tersebut ringan dan boleh diangkat menggunakan dua jari kerana mempunyai ruang-ruang kecil bagi tujuan apungan, tetapi ia menjadi berat apabila peserta menenggelamkannya iaitu dengan rintangan air kira-kira 60 peratus.
Peserta juga tidak perlu bimbang akan kesejukan kerana suhu air sentiasa dipantau oleh pihak pengurusan. Sebaliknya jika seseorang itu demam, dia lebih mendapat manfaat kerana suhu air pada 28 hingga 30 darjah Celsius dapat membantu menurunkan suhu badan. Suhu 33 darjah Celsius ditetapkan untuk sesi fisioterapi. Air suam akan merehatkan otot dan membolehkan ia digerakkan tanpa berasa sakit.
Sehingga kini, lebih 300 peserta telah mendaftar sebagai ahli Water Aerobic Gym. Jumlah tersebut merangkumi peserta pelbagai peringkat umur, namun majoriti terdiri daripada peserta dalam lingkungan usia 30 ke atas ekoran kebanyakan remaja dan belia berusia 20-an lebih gemar melakukan sukan ekstrem di darat.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: