Saturday, September 20, 2014

Helah peniaga daging kaut untung


  • Deraman nasihat peniaga daging jujur, tidak campur daging tempatan dan import.Deraman nasihat peniaga daging jujur, tidak campur daging tempatan dan import.

BUKIT PAYONG  – Peniaga perlu jujur, jangan kaut untung dengan penipuan. Demikian nasihat seorang peniaga daging segar, Deraman Botok, 70-an, ketika ditemui Sinar Harian di Pasar Besar Bukit Payong, di sini, semalam.

Peniaga warga emas itu mengulas mengenai perkembangan negatif membabitkan segelintir peniaga daging segar di negeri ini yang didakwa sanggup mencampurkan daging lembu import dengan daging tempatan segar untuk memperdayakan pengguna.

Menurutnya, perkara itu sudah lama berlaku kerana sikap segelintir peniaga yang mahu mengaut keuntungan cepat walaupun tahu perbuatan mereka salah dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Kami di sini hanya jual daging segar... kami jual pada harga RM26 sekilogram. Untuk tulang di campur paru kami jual RM22 sekilogram dan kalau perut dengan daging cincang pula RM14 sekilogram.

“Permintaan terhadap daging segar biasanya menurun menjelang sambutan Aidiladha, namun itu bukanlah alasan kepada peniaga daging untuk mencampurkan daging segar dengan daging import,” katanya.

Deraman berkata, pengguna perlu bijak memeriksa daging yang ingin dibeli kerana daging import lebih keras berbanding daging segar.

Sementara itu, seorang peniaga di sebuah pasar tani yang hanya mahu dikenal sebagai Mat Awang, 50-an berkata, dia turut mendapat aduan daripada orang ramai berhubung tindakan peniaga mencampurkan daging berkenaan.

“Mereka (pengguna) kata lebih yakin untuk beli daging segar di pasar tani berbanding di jalanan atau di pasar biasa kerana bimbang menjadi mangsa.

"Perkara ini didedahkan sendiri pelanggan yang pernah terkena,” katanya.

Bagaimanapun, berdasarkan tinjauan Sinar Harian di daerah ini, semalam, tiada peniaga sama ada yang berniaga di tepi jalan atau pasar utama mencampurkan daging import dengan daging segar.

Sementara itu, rata-rata peniaga daging segar di pasar sekitar daerah ini turut kesal dengan perkembangan itu dan meminta agensi berkaitan membuat pemeriksaan agar peniaga terlibat dapat dikenakan tindakan sewajarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: