Sunday, September 28, 2014

Jodoh dan cinta sepejabat


  • Jodoh dan cinta sepejabat

SELEBRITI sering dikaitkan dengan cinta lokasi. Kita juga pasti terbiasa dengan cinta sepejabat. Mengapa tidak? Di pejabatlah tempat kita menghabiskan hampir seluruh waktu produktif. Di pejabatlah kita mengenal lebih ramai watak sekeliling.

Saat membicarakan soal kerja dan persekitaran, mungkin sekali kita menyelitkan soal perhubungan dan perasaan sehingga terjadinya cinta sepejabat.

Bagi sesetengah orang, tidak mustahil pejabat menjadi tempat nombor satu menemukan pasangan kekasih. Sekiranya situasi ini di pihak anda, bersedialah untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang akan disenaraikan di bawah, malah anda perlu tahu menilai risikonya kelak.

Usah pertikai tentang kemungkinan anda terlepas daripada kebebasan dan kegembiraan bersosial dengan teman lain kerana anda perlu bertemu kekasih setiap saat. Yang pasti, bukan sahaja situasi tersebut, malah banyak lagi perkara buruk lain yang boleh mengecam perhubungan cinta anda.

Nasihat WOW, anda harus sentiasa bijaksana menjalankan kerja dan tanggungjawab. Jangan tergoda untuk menghabiskan masa kerja yang berkualiti dengan hanya membahagikan masa buat si dia, bahkan adalah lebih baik untuk anda tidak membuka mulut menceritakan soal perhubungan kalian.

Orang lain boleh mengira bahawa anda lebih memfokuskan urusan membina hubungan berbanding kerjaya. Tak perlu saling melempar pandangan atau saling bertemu di suatu sudut. E-mel dan telefon penuh dengan rayuan manis juga sepatutnya perlu dihindari. Lebih awas, jangan sampai tersalah kirimkan e-mel ke alamat kakitangan lain!

Pilih kasih

Sekiranya perhubungan kalian melbatkan seorang golongan atasan manakala seorang golongan bawaan, sudah tentulah ujiannya lebih hebat.

Usah sesekali terlibat secara langsung di atas penguasaannya. Bimbang penilaian menjadi tidak objektif kerana keterlibatan hubungan hati terhadap pasangan pasti menjejaskan penilaian yang jitu.

Jika penilaian tersebut positif sentiasa, boleh jadi rakan sekerja yang lain menganggap pasangan anda itu pilih kasih dan pasti menjadi isu yang tidak berkesudahan. Yang mungkin pula merosakkan hubungan baik kalian sebagai pasangan.

Bayangkan juga sekiranya anda bergaduh dan selisih faham. Tidakkah esoknya anda akan bertemunya semula dan menatap wajahnya lagi?

Sebagai rakan sekerja atau orang bawahan, nah penilaian yang baik pasti bertukar kepada negatif dan situasi ini pasti menjadi semakin mencengkam bukan? Hal-hal sebeginilah yang memicu kepada conflict of interest.

Dari sudut pandang yang lain, kemungkinan anda harus bersiap sedia untuk mengundurkan diri daripada jabatan atau syarikat itu, bila hubungan anda semakin serius.

Banyak syarikat tidak mengizinkan percintaan sepejabat jika ia melibatkan pasangan bawahan dan atasan. Boleh jadi salah seorangnya akan ditukarkan ke bahagian lain atau seeloknya andalah yang harus berundur secara berhemah.

Bersiap sedialah juga untuk selalu menjadi bahan gosip. Kerana itu pada awal perbincangan tadi disebutkan supaya anda tidak terlalu menyebut mengenai hubungan. Jagalah sikap profesional dan jangan terlibat dengan sesuatu yang memalukan anda dan pasangan.

Bersikap realistik dengan mengunjurkan perhubungan ke arah perkahwinan adalah lebih baik berbanding sekadar suka-suka atau membuat pasangan sebagai pendorong untuk rajin pergi kerja.

Bila mana hubungan tidak menjadi, anda harus memutuskan dan menjalani kehidupan seperti biasa sebagai rakan sekerja.

Jangan membenci sekiranya bekas pasangan mempunyai kekasih baharu yang juga rakan sepejabat. Ia semakin komplikated namun itulah hakikat yang perlu anda persiapkan diri jika memilih untuk memadu kasih dengan rakan sepejabast. Akan ada hati yang terluka, akan ada hati yang mengundurkan diri.

Ada pasang surutnya

Tahun ini usia perkenalan kami sudah hampir 10 tahun. Mungkin sudah tersurat di Loh Mahfuz dia jodohku. Kami berkenalan sekitar hujung 2004 ketika aku baru tamat Tingkatan Enam.

Aku berhijrah ke Kuala Lumpur bersama beberapa rakan untuk mencari pekerjaan sementara menunggu keputusan STPM. Kami mendapat pekerjaan sebagai juruwang di Pasaraya Giant di Bandar Puteri Puchong. Di situlah perkenalan aku dan suami bermula.

Suami seorang yang kelakar, suka mengusik dan mengambil berat tentang aku membuatkan aku jatuh cinta padanya. Adat orang bercinta ada pasang surutnya. Kami pernah bergaduh dan berpisah angkara orang ketiga.

Sikapnya yang penyabar dengan kerenahku akhirnya membuatkan aku mgmbil keputusan menerima lamaran darinya. Pada 26 sept 2009 kami bernikah disaksikan kedua ibubapa dan keluarga kami. Alhamdulillah jodoh kami kekal hingga hari iniTahun ini adalah ulang tahun perkahwinan kami yang kelima.

Suami bukan seorang yang cemburu orangnya. Semenjak di zaman bercinta sehingga ke hari ini dia memang seorang yang amat memahami. Paling seronok, suami seorang yang suka membuat kejutan.

Lima tahun melayari rumahtangga kami telah melalui pelbagai onak duri dan Alhamdulillah perasaan sayang itu semakin lama semakin mendalam di tambah pula dgn kehadiran sepasang cahayamata.

AMIZAH ZAINOL, 29, USAHAWAN POWERGOLD.

Cabaran lebih kuat

Sewaktu masih bekerja di tempat yang sama beberapa tahun dahulu, suami adalah ketua di tempat kerja saya. Ketika itu, kami berdua masing-masing ada kekasih hati.Antara saya dan suami ada kisah yang tersendiri.

Di tempat kerja, suami seorang yang tegas dan susah untuk senyum. Tapi suami sangat mengambil berat terhadap anak buahnya termasuk saya.

Saya dapat merasakan bahawa suami sememangnya menyukai saya melalui sikap ambil tahu yang dia pamerkan.  Perkenalan kami pada awalnya tidak lebih sekadar rakan sekerja tetai entah macam mana, perasaan sayang mula terbit apabila masing-masing kecewa dengan percintaan.

Pada mulanya saya sering menjauhkan diri namun setelah saya mengetahui daripada cerita rakan sekerja lain s perihal hubungan suami dengan teman wanitanya yang telah berakhir, baharulah saya tidak mengelak lagi.

Suami meluahkan perasaan kepada saya untuk menjalinkan suatu hubungan yang serius. Bagi saya pula, saya sudah serik dan tidak mahu terbuai-buai dengan perasaan cinta dalam tempoh yang panjang tanpa tujuan. Saya berterus-terang kepada suami jika dia berniat elok dan serius dengan perhubungan, terus datang merisik. Tidak perlu bercinta.

Suami berbincang dengan keluarganya dan ketika rombongan datang merisik, ibu mentua terus membuat keputusan untuk meminang. Saya dirisik dan dipinang pada hari yang sama. Kedua ibu bapa saya turut merestui perhubungan kami dan kurang enam bulan seterusnya majlis perkahwinan pun berlangsung.

Sesudah berkahwin, tentu sekali perasaan sayang mula bercambah. Saya gembira bekerja satu tempat dengan suami kerana di mana-mana sahaja saya boleh memberikan perhatian kepadanya. Di mana-mana sahaja dia adalah suami dan saya adalah isterinya.

Hubungan semakin akrab malah jika salah seorang tiada, kami rasa tidak saling melengkapi. Untungnya kami kerana bekerja di tempat yang sama. Namun ujian yang perlu saya hadapi adalah perasaan cemburu. Satu tempat kerja cabarannya lebih kuat. Saya akui, sebagai perempuan kadangkala kita tak dapat lari daripada berasa cemburu meski pun pada hal-hal yang kecil. Takut hati si dia beralih arah pun ada juga.

Selepas bernikah, kami berhenti kerja dan saya memilih kerjaya sebagai guru literasi anak-anak felda manakala suami bekerja di syarikat swasta lain. Memang ada bezanya apabila tidak bekerja di tempat yang sama. Taukeh tempat kami bekerja pernah berseloroh kepada saya bahawa saya bekerja hanya untuk mendapat jodoh kerana selepas berkahwin kami sama-sama berhenti kerja. Alhamdulillah menempuh pelbagai arus, suka duka dalam perkahwinan, ikatan kami kekal ke hari ini.

Terus terang, saya lebih suka juga keadaan begini kerana ia membendung perasaan cemburu tidak menentu. Kini, saya tidak lagi mengajar dan menjadi suri rumah sepenuh masa.

FATIN GUSTI HASSAN, 26, SURI RUMAH

Terkandas di tengah jalan

Saya pernah melalui kisah cinta hati sepejabat tetapi jodoh kami tidak panjang. Ketika itu saya bekerja di sebuah syarikat swasta. Dia lelaki yang amat baik dan selalu mengambil berat terhadap saya. Berdasarkan tingkah lakunya, saya tahu dia sukakan saya.

Bagi diri saya pula, dia tidak lebih sekadar seorang sahabat kerana saya telah terlebih dahulu mempunyai kekasih.

Si lelaki ini pula seorang yang mengambil berat dan ketika dalam proses mengorat, setiap hari dia akan letak coklat dan coke atas meja saya untuk menarik perhatian.

Setiap hari tanpa jemu, tanpa saya tahu siapakah pengirimnya.

Terus-terang, ketika diberi layanan sebegitu saya tidak ambil pusing tetapi, apabila hubungan saya dan teman lelaki putus di tengah jalan, saya  mula ingin tahu siapa yang selalu meletakkan coklat dan coke itu atas meja saya. Rupa-rupanya si dia. Lalu saya terima dan kami menjalinkan hubungan.

Apa yang menyeronokkan bila bercinta satu tempat kerja adalah setiap hari perasaan semakin mekar dan berbunga-bunga. Setiap hari hati kita tenang dan boleh lihat orang yang kita sayang depan mata.

Siapa kata walau dekat hati tak rindu. Bercinta sepejabat tidak semestinya kita dapat bersama dia sepanjang masa. Dia dengan tugasnya, manakala saya dengan kerja-kerja saya.

Kami selalunya dapat berjumpa selepas habis waktu bekerja. Itu lah salah satu kelebihan bekerja di tempat yang sama. Boleh lebih memahami dan menjaga satu sama lain. Tetapi, apa yang kita rancang tak semuanya kan menjadi kenyataan. Begitu juga dengan hubungan kami yang akhirnya terkandas di tengah jalan.

Maziah Harun, 29, kakitangan swasta

Memahami jadual kerja

Saya dan suami sudah bekerja di tempat yang sama sejak lima tahun dahulu. Ketika itu masih belum berkahwin. Dalam percintaan sama tempat kerja, dapat saya kongsikan memang banyak pro dan kontra.

Positifnya adalah boleh jimat belanja kerana pergi dan balik kerja sama-sama, jadual kerja sama dan persekitaran yang sama membuatkan kami lebih memahami antara satu sama lain. Kami juga boleh rancang apa kami nak buat selepas habis kerja.

Di tempat kerja, kami saling memahami tugas dan tanggungjawab masing-masing malah saya merasakan kami lebih profesional dalam menjalankan tugas. Ini kerana, kami perlu menjaga air muka dan maruah pasangan.

Saya sendiri, perlu menjaga etika dan tidak akan sesekali menjatuhkan maruah suami dengan perkara-perkara yang melanggar undang-undang tempat kerja.

Sebenarnya ia secara tidak langsung mendidik diri menjadi lebih berdisiplin. Pasangan adalah cermin peribadi kita.

Dia jugalah yang akan membantu membentuk peribadi kita menjadi lebih baik dan sempurna. Soal cemburu, saya bersyukur kerana cemburu saya tidak keterlaluan.

Saya memahami hati budi suami dan kami saling mempercayai. Saya seronok suami ada di depan mata. Jika ada apa-apa masalah lebih senang nak diselesaikan kerana kami berdekatan.

Apa yang kami amalkan adalah saling memberikan pandangan antara satu sama lain perihal kerja. Kami sudah masak sangat dengan tugas masing-masing. Balik lewat, balik awal, tidak pernah menjadi pertikaian kerana segala-galanya di depan mata.

Dari segi kontranya, mungkin akan hilang sedikit privasi lebih-lebih lagi dengan kawan seangkatan. Lebih-lebih lagi kalau nak buat kejutan hari lahir dan sebagainya sebab pergi dan balik kerja malah rehat pun sama-sama.

Ujian di sepanjang percintaan tidak pernah melibatkan soal orang ketiga. Saya bersyukur dan bahagia bersamanya. Mungkin dari sudut konomi keluarga ia menguji kerana kami bekerja di tempat sama dengan level yang sama. Semoga kami saling terus menghargai antara satu sama lain.

NOR FAZILAH ABDULLAH, 29, KAKITANGAN SWASTA

Pandangan agama: Segerakan perkahwinan elak fitnah
Ustazah Noor Laila Aniza Zakaria

Bercinta telah menjadi gaya hidup zaman kini. Cinta dalam Islam adalah sesuatu yang unik, suci, jujur dan amanah. Ianya tidak akan ada melainkan dengan ikatan perkahwinan yang sah.

Islam mengajar umatnya supaya bercinta dalam bentuk yang sah dengan penuh jujur, amanah, menjaga maruah dan beradab. Semuanya tidak wujud dalam cinta sebelum berkahwin.

Jika ada cinta dan kasih di antara dua orang maka kasih itu tidak dapat menandingi hubungan perkahwinan yang di diri atas tuntutan syariat. Sebelum menyintai seseorang atau sesuatu, hendaklah cinta dan kasih kepada ALLAH terlebih dahulu. Jika ini ada, maka seseorang tidak akan berani menyintai sesuatu yang tidak harus baginya.

Kini yang banyak berlaku adalah jatuh cinta dengan rakan sepejabat. Mungkin disebabkan banyak masa dihabiskan di pejabat menyebabkan ramai anak muda tidak kisah bercinta sesama mereka.

Walaupun begitu cinta sebelum berkahwin mengundang pelbagai kemungkinan. Dari cara yang sederhana kepada yang lebih mesra. Daripada serius kepada gurau senda. Biarpun pada asalnya dia mempunyai niat yang baik namun, niat yang baik tidak sekali-sekali mengharuskan sesuatu yang tidak harus.

Biasanya apabila bercinta sepejabat tiap-tiap hari akan bersemuka dengan buah hati. Mungkin pelbagai perkara negatif timbul sehingga menyebabkan rakan lain kurang senang dengan tingkah laku pasangan terbabit.

Justeru bagi memastikan tidak timbul prasangka negatif dalam kalangan rakan sekerja lain ada baiknya menyegerakan perkahwinan kerana ia satu-satunya jalan terbaik. Jika hati sudah terpesona kepada seseorang atau apabila sudah sampai seru untuk berkahwin, mintalah keluarga pergi untuk merisik calon.

Ini lebih beradab dan bertanggungjawab. Oleh kerana perkahwinan melibatkan banyak aspek kepentingan, tanggungjawab, persaudaraan dan kekeluargaan maka sewajibnya ia dimulakan dengan cara yang betul dan penuh ketakwaan bukan terikut-ikut dengan budaya asing.

Perkahwinan bukan hanya didirikan atas dasar cinta sahaja tetapi tanggungjawab dan juga amanah. Malah ianya juga jalan lebih selamat untuk terus mengelak daripada sebarang fitnah.

Usah bertangguh kerana benda yang elok lebih baik dipercepatkan. Dalam masa yang sama dengan adanya ikatan yang sah setidak-tidaknya tiada lagi perkhabaran kurang elok dilemparkan. Mungkin juga melalui perkahwinan ia dapat memberi semangat baharu kepada pasangan itu untuk memberi komitmen lebih baik menjalankan tugasan di tempat kerja.

Pandangan kaunselor: Bersikap terbuka, profesional

Realitinya sukar untuk membahaskan cinta sepejabat ini kerana perasaan itu adalah anugerah tuhan yang hadir adakalanya tanpa dirancang. Terpulanglah kepada individu tersebut bagaimana dia bersikap profesional ketika bekerja.

Bercinta sepejabat ini mempunyai kebaikan dan keburukannya kepada seseorang individu.

Di negara kita purata bekerja ialah lima hari seminggu. Masa individu banyak dihabiskan di tempat kerja. Dapatlah dinyatakan seseorang individu itu banyak menghabiskan masanya di tempat kerja.

Keadaan itu secara tidak langsung menjadikan pejabat atau tempat kerja sajalah `ruang’ kepada golongan yang sibuk bekerja untuk bertemu, berkenalan atau bersosial. Apatah lagi bagi mereka yang sibuk tidak berkesempatan untuk mencari calon suami atau isteri di luar daripada kehidupan pejabat.

Kebaikan cinta sepejabat ini ialah ia lebih selamat. Ini adalah kerana personaliti pasangan dapat dinilai dengan mudah. Seseorang itu tidak akan sentiasa memakai ‘topeng’. Ia akan sentiasa berkomunikasi secara tulen.

Anda akan berkeupayaan melihat pasangan anda berkomunikasi, mengendali tekanan dan mengawal perasaan marah ketika di tempat kerja.

Di tempat kerja seseorang itu akan menjadi dirinya sendiri. Ia juga, menjimatkan masa dan anda mudah mengenali hati budi masing-masing jika bekerja sepejabat.

Meskipun begitu, hubungan cinta sesama pekerja bukan sahaja sarat dengan dugaan, malah anda juga terikat dengan polisi syarikat yang ketat. Jika tersilap langkah, mungkin berisiko untuk dipecat atau dipaksa meletakkan jawatan.

Walau bagaimanapun faktor bercinta dengan rakan sepejabat boleh menjejaskan masa depan kerjaya itu bergantung kepada polisi sesebuah pejabat. Ada sesetengah pejabat tidak melarang hubungan sesama pekerja.

Manakala ada sesetengah pejabat yang meletakkan syarat agar pekerjanya tidak terlibat dengan cinta sepejabat.

Ini kerana syarikat tersebut beranggapan cinta sepejabat boleh menjejaskan prestasi kerja seseorang. Polisi ini dibuat kerana organisasi yang terlibat menitikberatkan produktiviti dan komitmen daripada pekerja.

Pelbagai faktor yang menyumbang kepada keburukan hubungan sepejabat. Antaranya pasangan yang bekerja di satu bumbung dikhuatiri tidak fokus menjalankan kerja. Mereka boleh sentiasa bertemu dan keluar makan bersama-sama. Ada yang mencuri masa rehat untuk lambat masuk balik bekerja.

Selain itu, jika cinta sepejabat ini mengalami konflik mungkin terbawa-bawa ke tempat kerja. Ini adalah kerana terlalu kerap bertemu, di rumah dan tempat kerja setiap hari boleh menimbulkan rasa jemu yang mungkin menjadi punca pergeseran.

Seseorang individu itu mungkin berbeza dalam menangani masalah dan memerlukan masa untuk bersendiri.

Tambahan lagi perhubungan akan sentiasa menjadi perhatian rakan sekerja di sekeliling. Sedikit hal berbaur negatif cepat menjadi buah mulut sepejabat.

Masalah bertambah rumit lagi kerana perhubungan ini juga dibimbangi akan mengganggu profesionalisme pekerjaan. Misalnya, jika ada yang memegang jawatan tinggi dan pasangannya pula bekerja di bawah mereka, layanan terhadap pekerja lain mungkin akan berbeza. Ini akan menimbulkan cemburu di kalangan pekerja.

Bagi mengelak cinta sepejabat ini seseorang itu perlulah menanam azam dalam diri agar tidak terlibat dengan cinta sepejabat. Buka minda anda risiko-risiko yang anda bakal hadapi jika anda bercinta sepejabat. Selalu mengingatkan diri anda bahawa polisi di pejabat tidak membenarkan anda bercinta. Jika berdegil anda akan diberhentikan.

Selain itu, anda juga perlulah membataskan hubungan dengan rakan berlainan jantina. Bataskan hubungan kepada hubungan profesional sahaja. Ini mengurangkan risiko cinta sepejabat.

Suasana tempat kerja yang kadangkala tertekan, kompetitif atau menyeronokkan akan membuatkan perasaan seseorang menjadi celaru dan biasanya anda gemar meluahkannya kepada lelaki atau wanita menarik berdekatan.

Justeru itu elakkan berkongsi masalah atau kegembiraan anda dengan rakan berlainan jantina di pejabat.

Individu cenderung bekerja dengan orang yang menyamai diri mereka dari pelbagai aspek antaranya kelas sosial, pendidikan, pendapatan, minat dan sikap.

Hubungan rakan sekerja berupaya mewujudkan rasa cinta berdasarkan persahabatan rasa hormat. Oleh itu individu perlu jelas antara admire atau love. Adakalanya anda tidak dapat membezakannya. Jangan keliru dengan perasaan anda.

Akhir sekali, pasangan itu boleh bercinta sepejabat jika kedua-duanya bekerja di lain jabatan. Selain itu, dia bukan ketua atau anak buah kepada pasangan.

Semasa bekerja sukar bertemu di pejabat kerana syarikat itu besar. Apa yang paling penting kedua-dua memahami risiko hubungan ini dan sentiasa bersikap profesional walau apa pun berlaku demi kepentingan semua pihak.

Pandangan majikan: Perlu fahami polisi syarikat
Nor Sahida Mohd Said, Pengarah Urusan Dhiya Health & Beauty Sdn Bhd

Jika sudah jodoh bercinta dengan rakan sepejabat dan hubungan berakhir di jinjang pelamin tiada siapa dapat menghalang. Bagaimanapun dalam konteks polisi kerja selagi tidak mengganggu tugasan hakiki tidak menjadi masalah.

Pekerja seharusnya memahami polisi syarikat dalam membuat sesuatu tindakan. Jangan sesekali campur adukkan masalah peribadi sehingga terbawa-bawa ke tempat kerja.

Cuma apa yang ditakutkan oleh pihak majikan yang mempunyai pekerja yang bercinta atau berkahwin dalam satu pejabat adalah wujud ketidakseimbangan terutama dalam tugasan mereka.

Sebagai majikan seboleh-bolehnya saya akan memastikan pekerja tidak mengambil langkah mudah. Jika waktu kerja tumpuan harus diberikan sepenuhnya.

Perlu ada sikap tanggungjawab dan profesional dalam bekerja. Ini bukan sahaja dapat melahirkan pekerja produktif tetapi dalam masa yang sama memberi peluang lebih baik kepada individu itu untuk terus berjaya dalam kerjaya dan menjadi pemimpin untuk keluarga.

Ada sesetengah syarikat menetapkan polisi syarikat tidak membenarkan hubungan sesama pekerja kerana bimbang akan memberi kesan jangka panjang kepada produktiviti syarikat.

Dalam hal ini saya melihat ia seakan-akan menutup peluang kepada pekerja itu. Disebabkan perkara tersebut, salah seorang perlu mengalah dengan meletakkan jawatan.

Bagaimanapun ada juga pasangan sepejabat ini tidak menghadapi sebarang kesukaran bekerja malah berjaya menunjukkan prestasi cemerlang.

Apa yang penting setiap individu yang terlibat dalam cinta sepejabat ini perlu sentiasa berfikiran matang dan bersedia dalam semua aspek bagi memastikan matlamat peribadi dan kerjaya berjaya dicapai dengan seimbang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: