|
DARI bahagian luar, binaan blok lego yang memaparkan watak antagonis ikonik dalam filem epik Star Wars, Darth Vader seolah-olah menyambut kehadiran pengunjung ke Star Wars Miniland.
Sambil memegang pedang lightsaber berwarna merah, Darth Vader boleh dianggap sebagai pengawal yang mengawasi bangunan berbentuk oktagon seluas 900 meter persegi yang menempatkan beberapa suasana dan babak khas dari filem Star Wars.
Merupakan satu tarikan terbaharu di Legoland Malaysia Resort (Legoland), Star Wars Miniland diinspirasikan daripada enam filem Hollywood itu termasuklah siri animasi Star Wars: The Clone Wars.
Secara keseluruhan, tarikan ini menampilkan lebih daripada 2,000 model lego yang didirikan pada platform khas mengikut skala 1:20 berbanding adegan asal di layar perak dengan menggunakan kira-kira 1.5 juta blok lego.
Pengurus Besar Legoland, Mark Germyn berkata, Star Wars Miniland dilancarkan sempena meraikan ulang tahun kedua resort tersebut pada bulan September ini. Malah, ia merupakan yang pertama seumpamanya di Asia.
“Kami yakin dengan tarikan terbaharu ini, pengunjung yang datang akan lebih teruja untuk merasai pengalaman menerokai galaksi Star Wars bersama ahli keluarga mereka.
“Dibina dalam kawasan tertutup dan berhawa dingin sepenuhnya, para pengunjung boleh meluangkan masa lebih lama di taman ini untuk menyaksikan ketelitian kerja tangan manusia dalam penghasilan binaan unik ini,” ujar Germyn ketika melancarkan Star Wars Miniland di Legoland, Johor baru-baru ini.
Kepuasan
Mula dibuka kepada pengunjung bermula 6 September lalu, Star Wars Miniland mampu menjanjikan kepuasan terutama buat penggemar filem bertemakan angkasa lepas itu.
Di sana, mereka boleh menyaksikan pelbagai karakter dan watak yang terdapat dalam filem berkenaan yang dibina mengikut tema latar planet fiksyen seperti Planet Naboo, Mustafar, Tatooine, Geonosis, Hoth, Endor dan Christophsis.
Tambah Germyn, pihaknya melaburkan sejumlah RM6 juta bagi pembinaan taman berkenaan semata-mata untuk memacu nilai pelancongan ke tahap yang lebih kukuh di samping menarik pelancong luar.
“Kunci strategi yang kami gunakan ialah menambah elemen baharu setiap tahun bagi memastikan pengunjung dapat merasai keterujaan untuk datang semula ke Legoland,” katanya.
Bangunan yang menempatkan Star Wars Miniland ini dibahagikan kepada lapan ruang berbeza. Enam ruang memaparkan satu adegan ikonik daripada enam filem tersebut manakala ruang ketujuh mempamerkan adegan daripada filem animasi Star Wars: The Clone Wars.
Sementara itu, satu lagi bahagian dikhaskan sebagai seksyen jualan runcit bagi produk-produk Lego Star Wars. Ia meliputi barangan yang sukar diperoleh seperti set bangunan Lego seperti Death Star, R2-D2, Millenium Falcon, Super Star Destroyed dan Ewok Village.
Kedai itu juga dilengkapi dengan rangkaian penuh bahan permainan Star Wars di samping rantai kunci, magnet peti sejuk, pelbagai koleksi topi dan baju-T.
Bergambar
Tidak ketinggalan, para pengunjung juga boleh bergambar kenangan dengan karakter Star Wars pilihan melalui bahagian Hall of Fame yang disediakan.
Menurut pakar pembina model Legoland, Stefan Bentivoglio, pasukannya mengambil masa kira-kira 8,000 jam untuk menyempurnakan binaan model Star Wars Miniland.
“Lima puluh peratus daripada lebih 2,000 model lego tersebut dibina di Malaysia manakala selebihnya dihantar dari Jerman dan Republik Czech.
“Proses pemasangan turut dibantu oleh pasukan teknikal dan landskap yang membangunkan paparan khas bagi mewujudkan kesan realistik yang optimum. Bagi sentuhan akhir, kesan bunyi, animatronik dan pencahayaan ditambah untuk menjadikan model berkenaan kelihatan seperti hidup,” terang Bentivoglio.
Antara karakter model yang dihasilkan termasuklah Anakin Skywalker, Boba Fett, C-3PO, Commander Rex, Darth Maul, Han Solo, Luke Skywalker, Princess Leia, Wicket the Ewok dan Yoda.
Impak
Bagi salah seorang peminat dan pengumpul koleksi filem epik itu, Azwanijaya Sukarman, 39, memberitahu, Star Wars sememangnya memberi impak yang sangat besar kepada mereka yang membesar pada awal tahun 1980-an.
Justeru, apabila diwujudkan di Legoland, sudah tentu legasinya akan berterusan kerana umum mengetahui mereka yang meminati Star Wars dan lego pasti akan teruja untuk ke sana.
“Malah, dari gabungan mantap ini, ia bakal melahirkan golongan yang kreatif kerana penghasilan lego itu sendrii diklasifikasikan sebagai ‘permainan baharu setiap hari’.
“Hari ini, masyarakat dapat menerima kehadiran mereka dalam kalangan orang dewasa yang menjadikan hobi ini sebagai suatu pendekatan yang serius. Buktinya wujud kemunculan kelab atau kumpulan yang berasaskan dari mereka yang meminati Star Wars yang suatu masa dahulu difikirkan hanya memenuhi dan menceriakan golongan kanak-kanak.
“Dengan ini, satu keadaan atau boleh diistilahkan sebagai scene akan menjadi lebih menarik seterusnya mengangkat martabat mereka yang meminati permainan ini dengan bukti kewujudan Star Wars Miniland di Legoland,” ungkap Azwanijaya yang mempunyai ribuan koleksi Star Wars dalam simpanannya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: