|
SEMAKIN berseri wajah penyanyi Farawahida selepas lapan bulan mendirikan rumah tangga dengan pasangan, Abdul Shukur Mohd. Zain, 30, pada 16 Disember lalu.
Mata penyanyi lagu Tanpa Mu itu membuahkan rasa cinta tatkala perihal hidup berumah tangga dilayangkan kepadanya.
Tiga bulan selepas mendirikan rumah tangga, cerita Farawahida, dia dan suaminya pergi menikmati bulan madu di negara matahari terbit, Jepun.
Dua minggu bercuti ke Jepun, penyanyi berusia 29 tahun itu mengakui, begitu teruja dapat bermain salji buat pertama kali dalam hidupnya.
“Alhamdulillah, percutian kami ke Jepun mudah dan menyeronokkan. Selama dua minggu berada di sana, kami tinggal di rumah kakak saya, Marliana.
“Jadi, dapatlah jimat perbelanjaan penginapan dan juga makanan. Saya juga berpeluang bermain salji buat pertama kalinya ketika berada di sana,” kongsi Farawahida teruja.
Mengakui suaminya bukan seorang yang romantik, namun, kata Farawahida, Shukur pandai mengemas rumah. Berbeza dengan dirinya yang tidak suka mengemas rumah tetapi lebih suka memasak.
Tidak hanya suka memasak lauk-pauk, penyanyi berdarah campuran Melayu dan juga Pakistan itu juga semakin obses memasak hidangan pencuci mulut berpandukan resipi di internet.
“Satu kepuasan pada diri saya apabila dapat memasak hidangan pencuci mulut buat suami dengan menggunakan barang-barang makanan berlebihan yang ada di dalam rumah.
“Lagi satu, suami juga tidak suka makan makanan yang berminyak dan bersantan. Bayangkanlah di rumah kami mempunyai satu guni stok kentang sebab suami memang ‘gila’ makan kentang. Tidak kisah sama ada kentang itu dimasak sup atau dibakar begitu sahaja,” jelas Farawahida yang berasa bangga apabila melihat tubuh suaminya semakin berisi.
Anak
Biarpun masih dalam mood berbulan madu, Farawahida mengakui, dia terpaksa berpisah seketika dengan suami sepanjang bulan Ramadan lalu demi menguruskan perniagaan lauk-pauk keluarganya di Taiping, Perak.
“Tahun pertama sebagai isteri, saya terpaksa berpisah dengan suami selama lima hari disebabkan keluarga saya di Taiping mula berniaga lauk-pauk. Saya berulang-alik dari Taiping ke Kuala Lumpur sepanjang bulan Ramadan lalu.
“Alhamdulillah, suami tiada halangan memandangkan dia juga sibuk dengan perniagaannya,” ungkap Farawahida yang berhasrat membuka restoran dan butik pakaian sendiri pada tahun depan.
Melihat pada tubuhnya yang semakin langsing, dedah Farawahida, ada yang beranggapan dia kurus kerana merancang anak.
Namun, anak keempat daripada enam beradik itu segera menyangkal dan mengatakan, dirinya belum ada rezeki dikurniakan cahaya mata.
“Memang ada yang kata saya kurus kerana merancang. Tetapi, sebenarnya tidak. Umur saya sudah 29 tahun dan sudah tentu saya mahukan anak. Lebih-lebih lagi apabila melihat kawan-kawan yang baru berkahwin juga sudah mengandung. Tetapi itu rezeki mereka. Saya pula, belum ada rezeki anak,” luahnya.
Masih menyanyi
Biarpun sudah mendirikan rumah tangga, namun, kongsi Farawahida, suaminya tidak pernah menyekat minatnya untuk terus menyanyi.
Masih mendapat undangan menyanyi, Farawahida juga cukup teringin merakamkan single terbaharu selepas hampir tiga tahun tiada single baharu.
“Saya memang ingin buat single baharu. Kali terakhir, saya keluar dengan single Jangan Tanya Aku Lagi pada 2011. Sebenarnya, ada beberapa lagu yang saya dapat daripada komposer, tetapi, saya tidak mahu tangkap muat menerimanya,” ujarnya yang menyukai lagu berentak balada dengan lirik yang mudah dan santai.
Disoal tentang cabang lakonan pula, ternyata Farawahida tidak mempunyai kelapangan waktu biarpun ada tawaran yang datang.
Farawahida juga mengakui, dia hanya sempat berlakon dalam dua buah karya iaitu filem Baik Gila dan teater Sinbad.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: