Monday, September 29, 2014

Kelainan upaya bukan penghalang untuk berjaya


  • Tengku Muazam bersama Aimilia menunjukkanTengku Muazam bersama Aimilia menunjukkan

KEKURANGAN diri bukanlah bebanan malah merupakan anugerah untuk terus berusaha dan berjaya dalam hidup.

Demikian luahan seorang pemilik syarikat pembuat coklat Bumiputera jenama Grandeur yang dikategorikan sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU).

Tengku Muazam Kamal, pemilik AOM Food Industries (AOM Food) berkata jangan pernah menggunakan kekurangan diri sebagai alasan untuk tidak berjaya.

“Bagi golongan OKU di luar sana kita jangan sesekali berasa merendah diri dengan kekurangan kita, malah ia perlu dijadikan semangat untuk kita terus tabah dan berjaya.

“Saya berjaya membuktikan kalau kita cekal dan jujur dalam perniagaan kita pasti berjaya dan Alhamdulillah hampir tujuh tahun perniagaan saya makin berkembang,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Selayang baru-baru ini.

Menurut Tengku Muazam, dia dan isterinya Aimilia Omar memulakan perniagaan secara kecil-kecilan di rumah pada 2007 dengan hanya bermodalkan RM100 untuk membeli bahan mentah sahaja.

“Kami tidak membeli apa-apa peralatan tambahan untuk memulakan perniagaan tetapi menggunakan apa yang ada di dapur kami ketika itu.

“Kami mula berniaga dengan menjual kek dan biskut coklat melalui perniagaan atas talian (online) seperti memuat naik gambar produk kami di laman Foto Pages ketika itu,” katanya.


Peroleh geran dan berpindah  ke premis lebih baik

Selepas hampir setahun berniaga dan beroperasi di rumah AOM Food kemudiannya berpindah ke premis yang lebih selesa dan mula menghasilkan coklat kepada orang ramai.

“Bila kami berpindah ke premis baru maka tanggungjawab kami semakin bertambah seperti membayar sewa dan kami perlu berusaha lebih.

“Mula daripada itu kami mula memohon geran bantuan daripada Jabatan Pertanian dan alhamdulillah kami berjaya memperoleh geran sebanyak RM20,000 untuk membeli beberapa peralatan asas,” katanya.

Tengku Muazam turut membeli peti sejuk serta beberapa mesin asas yang dapat membantu meningkatkan kapasiti pengeluaran produk, manakala lebihan geran digunakan untuk menyertai pameran serta ekspo bagi memperkenalkan coklat jenama Grandeur dalam pasaran tempatan.

“Disebabkan ada peningkatan permintaan yang kami terima, pada 2009 kami berpindah sekali lagi ke premis yang lebih besar dan berjaya memperoleh geran berjumlah RM80,000 daripada Lembaga Koko Malaysia (LKM).

“Kami menggunakan geran tersebut untuk menambah kemudahan, mengubahsuai premis, membeli mesin serta peralatan lain,” katanya.


Pengeluaran semakin meningkat

Menurut Tengku Muazam selepas berpindah ke premis baharu pada 2009 produktiviti pengeluaran coklat Grandeur meningkat selain terpaksa menambah tenaga kerja bagi memenuhi permintaan.

“Waktu itu kami lebih memberi tumpuan untuk menghasilkan coklat selain mempertingkatkan kaedah pemasaran lebih efisien.

“Kami juga membekalkan coklat kepada hotel, syarikat, katering serta memasarkannya di beberapa pasar raya dan kedai runcit tempatan,” katanya.

Menyedari perlunya premis yang lebih besar serta permintaan menggalakkan dari beberapa agensi untuk melawat ke kilang AOM Food sekali lagi berpindah pada 2013 di Selayang.

“Kami sekali memohon geran bantuan dengan Kementerian Sumber Manusia di bawah skim bantuan galakan perniagaan bagi golongan OKU untuk membeli mesin dan merancakkan pengeluaran.

“Untuk geran ini kami perlu mengupah pekerja yang terdiri daripada golongan OKU dalam operasi kami,” katanya.


Lebih 100 jenis coklat Grandeur

Menurut Tengku Muazam, Grandeur coklat kini mempunyai lebih dari 100 jenis coklat dengan pelbagai perisa seperti durian, buah-buahan, kacang hazel dan lain-lain lagi.

“Coklat yang kami hasilkan boleh diperoleh dalam bentuk bar, praline serta coklat yang ditempah khas oleh pelanggan.

“Coklat bar kami merupakan produk yang paling tinggi permintaan dan menyumbang sebanyak 80 peratus kepada perolehan jualan kami,” katanya.

Untuk coklat bar Grandeur boleh didapati dengan beberapa perasa seperti kekacang Almond, coklat putih dan Mint pada harga RM1.80 bagi 25 gram dan RM3.50 untuk 45 gram.

Ditanya mengenai penembusan pasaran coklat Grandeur Tengku Muazam berkata, orang ramai boleh membeli produk tersebut di pasar raya AEON dan rangkaian Hospimart.

“Kami hanya menjual 12 produk coklat Grandeur di lapan cawangan AEON terpilih sahaja iaitu di Perak, Johor, Pulau Pinang dan Lembah Klang.

“Ini kerana hanya Aeon sahaja yang menawarkan harga berpatutan kepada kami untuk memasarkan coklat Grandeur di pasar raya,” katanya.


Tidak mudah mengalah menghadapi cabaran

Setiap peniaga pasti ada cabarannya tersendiri terutamanya untuk terus bertahan dan bangun semula selepas jatuh, begitu juga dengan Tengku Muazam yang turut menceritakan pengalamannya.

Menurutnya di awal perniagaan persaingan yang beliau terima agak sengit kerana bagi tempoh 2007 hingga 2012 terlalu ramai usahawan yang menjual coklat.

“Jadi saya terpaksa mencari jalan alternatif dengan mencari pelanggan lain daripada apa yang di cari oleh usahawan ketika itu misalnya memberi tumpuan kepada hotel.

“Saya juga berdepan dengan masalah pekerja seperti ditipu pekerja, berhenti kerja secara tiba-tiba yang mengganggu produktiviti pengeluaran kami.

Tengku Muazam turut berkongsi pengalaman tidur di kedai hingga tiada masa untuk diluangkan bersama anak-anak dan keluarga di awal perniagaan.

“Saya juga pernah ditipu oleh pelanggan dan kawan sendiri, ada yang bagi cek tendang kepada, tapi itu semua saya anggap ujian dari ALLAH.

“Dalam diri saya tidak pernah ada putus asa apabila sesuatu perkara itu berlaku cuma wujud perasaan sedih dan sayu, tetapi apabila ingat kembali kepada ALLAH, isteri, anak-anak, serta sokongan ibu bapa tiada henti, saya bangun semula,” katanya.


Sasar peningkatan jualan 20 peratus

Sementara itu AOM Food menyasarkan peningkatan jualan sebanyak 20 peratus pada 2015 berbanding tahun sebelumnya.

“Setiap bulan kami boleh memperoleh jualan sehingga RM75,000 tetapi bergantung kepada permintaan pelanggan.

“Secara kasar kami mampu memperoleh kutipan jualan sehingga RM500,000 setahun sekiranya produktiviti pengeluaran kami dapat dikekalkan,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan masa depan, Tengku Muazam berkata AOM Food kini dalam perbincangan membawa masuk semula coklat premiumnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Sebelum ini kami pernah memasuki pasaran KLIA tetapi terpaksa berhenti atas sebab tertentu, sekarang kami sudah dalam perbincangan terakhir untuk memasuki semula pasaran sana,” katanya.

Menurut Tengku Muazam apa yang penting buat masa ini adalah memberi tumpuan untuk menampung permintaan pasaran tempatan dan menambah baik kemudahan sedia ada.

“Saya belum fikir untuk mengeksport coklat Grandeur walaupun ada negara yang berminat kerana peralatan kami terhad masa ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: