Tuesday, September 30, 2014

Cinta sembilan bulan tunang empat bulan




TIADA kata-kata lain yang terluncur daripada mulut pengacara dan penyampai radio popular Sarimah Ibrahim, 36, selain syukur selepas dia dan kekasihnya Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar, 42, selamat mengikat tali pertunangan. Berlangsung dalam suasana tenang dan secara tertutup di Hotel Doubletree, Kuala Lumpur, Sabtu, pasangan itu ternyata sedang teruja mendepani fasa bergelar tunangan orang.
Sepanjang temu bual yang dilakukan usai majlis tersebut, kebahagiaan jelas terpancar pada wajah Sarimah dan Tunku Nadzimuddin atau lebih mesra disapa dengan nama Tunku Jamie. Mereka saling ketawa dan ramah meleraikan agenda hari nikah yang berbaki tidak sampai setahun.
"Alhamdulillah semuanya berjalan lancar mengikut perancangan. Perasaan saya selepas bergelar tunangan orang pastinya gembira kerana hubungan yang terjalin akhirnya dibawa ke peringkat yang lebih jauh," kata Sarimah.
Meskipun hanya bercinta selama sembilan bulan, Sarimah merasakan tempoh yang singkat itu sudah cukup untuknya mengenali hati budi Jamie yang merupakan kerabat diraja Negeri Sembilan.
"Bagi saya tempoh sembilan bulan itu sudah cukup untuk mengenali siapa bakal suami saya. Sebenarnya tempoh percintaan tidak menjamin hubungan itu akan kekal.
"Kalau kenal sembilan tahun sebelum berkahwin pun belum tentu saya kenal orang itu sepenuhnya kerana hati manusia sentiasa berubah-ubah. Apa yang penting kami berdua sudah bersedia untuk memberi komitmen dalam hubungan ini," balas Sarimah sambil diakui oleh Tunku Jamie yang duduk di sebelah Sarimah.
Selepas majlis pertunangan yang diadakan penuh dengan adat Melayu itu, kedua-dua keluarga menetapkan pasangan ini akan bernikah pada 2 April tahun hadapan.
Bercakap soal perkahwinan kata Sarimah, semuanya masih terlalu awal kerana setakat hari ini mereka hanya sempat untuk memutuskan tarikh pernikahan sahaja.
"Soal perancangan perkahwinan pula, saya sendiri belum mempunyai sebarang perancangan tetapi kemungkinan besar majlis perkahwinan akan diadakan di Kuala Lumpur sahaja," kata Sarimah.
Apabila ditebak soalan, adakah Sarimah sudah bersedia untuk menjadi sebahagian keluarga kerabat diraja Negeri Sembilan selepas mereka berkahwin kelak, begini jawab pengacara berkenaan:
"Sebenarnya tidak kira siapa dan apa status bakal suami saya, paling penting kami harus menghormati keluarga masing-masing. Selain itu, harus cuba mengenali dengan lebih dekat keluarga mertua.
"Namun, proses perkenalan itu mengambil masa kerana biasanya selepas berkahwin barulah kita akan lebih mengenali keluarga mertua. Buat masa sekarang saya hanya mengenali keluarganya yang terdekat sahaja."
SARIMAH akan terus aktif dalam bidang seni selepas mereka bernikah pada April tahun hadapan.


Jamie tidak sangka Sarimah popular
Sarimah yang sudah lima tahun hidup bersendirian selepas bercerai dengan bekas suaminya Amir Andrew Abdullah pada tahun 2009, tertarik dengan Tunku Jamie kerana lelaki itu cukup memahami dirinya serta kerjayanya sebagai selebriti.
"Saya bersyukur kerana bertemu dengan Tunku Jamie. Dia seorang yang sangat merendah diri dan paling penting faham diri saya. Walaupun saya ada perangai gila-gila tetapi dia boleh terima seadanya," luah wanita berdarah campur Melayu - Irish itu lagi.
Tunku Jamie pula pada mulanya tidak menyangka Sarimah merupakan selebriti popular tanah air sehinggalah beliau sendiri membuat carian di internet tentang Sarimah.
"Jujur, saya tidak mengikuti perkembangan dunia seni Malaysia, kerana itu saya tidak begitu mengenali siapa Sarimah dan apakah sebenarnya kerja seni yang dilakukan olehnya.
"Saya tahu dia artis tetapi tidak sangka dia terkenal. Apabila saya buat carian di internet saya tekejut melihat banyak cerita tentangnya ditulis selain mempunyai ramai pengikut di laman sosial. Jadi, daripada internet saya tahu serba sedikit tentang Sarimah," akui Jamie yang berstatus duda tanpa anak.
Mengambil keputusan untuk menikahi seorang selebriti, Tunku Jamie sudah bersedia dengan perhatian yang di berikan peminat dan media kepadanya.
"Pada mulanya saya agak gementar apabila gambar kami berdua diambil dan ada peminat Sarimah yang menegur apabila kami keluar bersama. Selepas diterangkan oleh Sarimah, lama-kelamaan saya juga sudah biasa dan selesa dengan perhatian yang diberikan," balas Jamie.
Apabila ditanya apakah keistimewaan Sarimah sehingga hatinya bulat untuk menyunting wanita itu sebagai suri hidupnya, Jamie tersenyum lagi sebelum menjawab. Katanya, sikap positif yang menebal dalam diri wanita itu (Sarimah) menjadi punca hatinya tertambat.
"Sarimah seorang yang selalu bersikap positif walau dalam apa keadaan sekali pun. Dia jelita, mengambil berat dan seorang yang cukup penyayang," akui Jamie sambil Sarimah tersipu malu mendengar pengakuannya.

ATAS: Majlis pertunangan pasangan ini hanya dihadiri oleh sekitar 40 tetamu yang terdiri daripada keluarga rapat dan rakan baik Sarimah dan Tunku Jamie.


Selepas berumah tangga kelak, tegas Sarimah, dia masih akan meneruskan kerjayanya seperti biasa. Tidak ada sebab untuknya bersara daripada dunia seni meskipun dia bakal memiliki anak pada masa hadapan.
"Saya tetap akan bekerja selepas menjadi isteri. Kami sudah berbincang tentang perkara tersebut dan dia memberi kebenaran. Katanya, dia mengenali saya sebagai artis, jadi dia ingin lihat saya lakukan pekerjaan yang saya suka.
"Lainlah jika sudah ada anak kelak, mungkin saya akan perlahankan kerja buat sementara waktu. Untuk bersara daripada dunia seni, memang tidak sama sekali," akui Sarimah.
Menyentuh tentang cahaya mata, ujar Sarimah masih terlalu awal bagi mereka untuk bercerita tentang perkara berkenaan. Namun, katanya, mereka mahu segera mempunyai selepas selamat berkahwin kelak.
"Saya memang ingin anak tetapi semuanya atas rezeki Allah. Kalau ikut impian saya, kalau boleh saya ingin sepasang anak, seorang lelaki dan perempuan," luah Sarimah mengakhiri bicara.
Majlis pertunangan Sarimah dan Jamie berlangsung secara tertutup hanya dihadiri sekitar 40 orang ahli keluarga dan rakan rapat. Majlis tersebut bermula dengan acara berbalas pantun dan pertukaran dulang hantaran.
Ibu saudara Jamie, Raja Datin Massaha Raja Harun mewakili pihak keluarga lelaki menyarungkan cincin ke jari Sarimah. Selain itu majlis tersebut turut dihadiri oleh nenda Tunku Jamie iaitu Tunku Ampuan Najihah Tunku Besar Burhanuddin, bondanya Tunku Dara Naquiah Tuanku Ja'afar dan ayahandanya Tunku Datuk Mudzaffar Tunku Mustapha.
Ibu bapa Sarimah, Ibrahim Ahmad, ibunya Elizabeth Hanlon dan tiga adik lelakinya turut memeriahkan majlis tersebut.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: