Sunday, September 28, 2014

'Jauhnya hendak bayar bil air'


  • Ramli (tiga, kanan) bersama penduduk Kampung Bukit Payong dan Bekok Hulu Besut merayu
masalah pembayaran bil air dapat diselesaikan.Ramli (tiga, kanan) bersama penduduk Kampung Bukit Payong dan Bekok Hulu Besut merayu masalah pembayaran bil air dapat diselesaikan.

BUKIT PAYONG - Rata-rata penduduk di kawasan Hulu Besut merayu Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (Satu) menimbang semula untuk ejen menerima bayaran bil air (utiliti) syarikat berkenaan, terutama di kawasan pedalaman termasuk Hulu Besut supaya tidak menyusahkan pengguna terutama penduduk kampung.

Seorang pengguna, Ramli Ismail, 58, mendakwa, sejak Satu tidak lagi melantik pihak lain untuk menerima bayaran bil bulanan air, ia telah menyulitkan rakyat khususnya pengguna yang tinggal di kawasan Pasir Akar hingga Keruak.

Dakwanya, sebelum ini pengguna boleh menjelaskan bil di mana-mana wakil yang dilantik Satu di Bukit Payong atau Keruak seperti di premis ejen Bank Simpanan Nasional (BSN) dan beberapa agensi lain, tetapi sejak dua bulan lepas pengguna diberitahu tidak boleh lagi
membuat bayaran di ejen berkenaan.

“Saya difahamkan sekarang bil tersebut hanya boleh dibayar di pejabat Satu di Jerteh atau Kampung Raja serta pejabat pos.

“Bayangkan bagaimana kesulitan terpaksa ditanggung rakyat atau pengguna di kawasan jauh dan hanya bekerja sebagai penoreh getah atau petani, yang terpaksa mengeluarkan wang banyak semata-mata untuk membayar bil air mereka,” katanya.

Ramli berkata lagi, penduduk di Keruak misalnya terpaksa membayar tambang kereta sewa sebanyak RM12 sehingga RM16 pergi balik seorang untuk ke Jerteh, tidak termasuk ke Kampung Raja.

Sedangkan nilai bil yang perlu dibayar katanya, ada kalanya jumlahnya sedikit, tidak sampai RM10.

“Jadi jumlah yang perlu dikeluarkan penduduk untuk pergi membayar bil air yang tidak kurang RM30 setiap kali berurusan sedangkan sebelum ini, mereka boleh membayar di kawasan berdekatan kampung, apatah lagi mereka yang berkenderaan sendiri terpaksa
menanggung kos minyak RM20 pergi balik dari Keruak ke Jertih.

“Selain itu masa mereka banyak terbuang untuk pergi membayar bil ke lokasi yang jauh iaitu separuh hari sebelah pagi dan menyebabkan mereka hilang pendapatan kerana tidak dapat bekerja pada masa itu,” katanya yang mahukan kata-kata yang disuarakan Menteri Besar
Terengganu iaitu ‘Kecil Bagi Kita Besar Bagi Rakyat’ diambil perhatian pihak berkenaan.

Pengerusi JKKK Kampung Keruak, Jafruddin Mat Zaid turut merayu Satu membenarkan semula pengguna membayar bil di mana-mana ejen lain termasuk BSN untuk kemudahan rakyat.

“Rakyat amat terbeban dengan masalah ini. Maklumlah mereka orang kampung dan kami berharap masalah ini dapat diselesaikan segera,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: